Saturday, June 23, 2012

Tepi jalan jadi lubuk buang sampah


Longgokan sampah yang dibuang oleh individu tidak bertanggungjawab.

MUAR – Gara-gara sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat, tepi jalan pintasan ke Taman Temiang Utama, Jalan Salleh berhampiran kilang memproses getah menjadi lubuk tempat membuang sampah.

Penduduk mendakwa keadaan tersebut sudah berlarutan lebih dua tahun lalu dan seakan–akan tiada penyelesaiannya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat longgokan sampah di kawasan berkenaan yang dibuang secara terang-terangan oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu.

Penduduk yang hanya dikenali sebagai Ramli, 42, berkata, senario itu sangat memalukan kerana jalan tersebut menjadi tumpuan penduduk dari Jalan Salleh untuk ke jalan pintasan Muar.

Menurutnya, dia juga sering melihat penduduk setempat yang tanpa segan silu membuang sampah di kawasan berkenaan pada waktu siang.

“Ada juga individu yang berpura-pura datang ke kawasan ini menaiki kereta dan  memberhentikan kenderaan di kawasan berhampiran, tetapi setelah mengenal pasti tiada orang yang lalu lalang di situ, mereka terus membuang sampah.

“Apa yang saya kesalkan, sangat ramai individu tidak bertanggungjawab menggunakan taktik seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pada cuti hujung minggu terlalu banyak terdapat longgokan sampah di sini, sehinggakan  kadang-kadang berasa loya akibat terhidu bau busuk dari sampah tersebut. Jelasnya, lebih menghairankan apabila pokok di kawasan itu turut menjadi sasaran dengan terdapat tiga patung teddy bear di atasnya. Ramli berkata,  permasalahan itu tidak akan terjadi sekiranya masyarakat setempat tidak mengamalkan sikap mementingkan diri.

“Seharusnya mereka mempunyai inisiatif sendiri untuk melupuskan sampah masing-masing sama ada dengan cara tanam ataupun bakar di rumah.

“Pihak bertanggungjawab seperti Southern Waste Management (SWM) ada pungut  sampah dan membersihkan kawasan berkenaan tetapi masalah ini masih berulang,” katanya.

Sinar Harian 23 Jun 2012

0 comments:

Post a Comment