Kerja-kerja menaik taraf Uptown Muar sedang giat dilakukan sejak penghujung tahun lalu.
MUAR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Daerah Muar menyerahkan memorandum kepada Pejabat Majlis Perbandaran Muar (MPM) sebagai menyokong usaha MPM menaik taraf Uptown Muar di Jalan Sisi, semalam.
Setiausahanya, Hamizan Maspar berkata, kerja-kerja menaik taraf Uptown Muar dengan memasang bumbung yang bermula pada penghujung tahun lalu, menerima banyak bantahan daripada pelbagai pihak terutamanya peniaga berhampiran.
Menurutnya, bantahan tersebut dengan alasan mengatakan Uptown Muar menjadi punca kesesakan di bandar tersebut pada waktu malam adalah tidak munasabah.
“Kami lihat masalah ini tidak akan terjadi, sekiranya semua pihak memberikan kerjasama secara adil.
“Bantahan ini hanyalah alasan pihak terbabit yang tidak mahu melihat bangsa Melayu terlibat dalam perniagaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, Uptown Muar mempunyai hampir 100 peniaga sejak ia ditubuhkan kira–kira dua tahun lalu, hasil cetusan idea oleh bekas Yang Dipertua MPM, Fuad Rezduan.
Bagaimanapun, kerja-kerja menaik taraf Uptown Muar dilakukan selepas mendapat kelulusan peruntukan kira-kira RM4 juta, menerusi lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Muar pada Mac tahun lalu.
Hamizan berkata, Uptown Muar bakal dijadikan salah satu tarikan produk pelancongan di negeri ini.
“Daerah Muar yang cukup terkenal dengan kepelbagaian makanan diyakini mampu menjadi lebih terkenal apabila siapnya Uptown Muar ini.
“Dengan kemudahan yang lengkap akan dapat menarik lebih ramai pengunjung dari dalam juga luar negara,” katanya.
Katanya, secara tidak langsung dapat menghidupkan bandar Muar pada waktu malam yang terkenal sebagai bandar pencen.
Pada masa yang sama, Uptown Muar juga dapat menggalakkan orang Melayu menceburi bidang perniagaan untuk menambah pendapatan keluarga.
Tegas beliau, Perkasa Muar akan terus memberikan sokongan padu terhadap usaha murni MPM untuk membantu rakyat.
Sinar Harian 20 Jun 2012
0 comments:
Post a Comment