Saturday, July 7, 2012

Lorong jadi port kumpul sampah


Pekerja pembersihan SWM dan PPSPPA sedang membersihkan kawasan sebuah lorong yang kelihatan seperti tapak pelupusan sampah.

MUAR – Pekerja Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan Southern Waste Management (SWM) Environment Sdn Bhd, terkejut melihat lorong belakang sebaris kawasan perumahan di Taman Bakariah telah berubah wajah menjadi tapak pelupusan sampah.

Kawasan tersebut dipenuhi dengan sampah sarap termasuk peti sejuk lama, mesin basuh, perabot dan set komputer.

Pengurus SWM Sdn Bhd, Hisham Hussin berkata, pihaknya terpaksa menggunakan jentera berat untuk membersihkan serta memindahkan beberapa perabot berat termasuk peti sejuk lama yang memenuhi kawasan berkenaan.

“Saya sangat terkejut melihat kawasan ini yang tidak ubah seperti pusat kitar semula atau tapak pelupusan sampah.

“Kami percaya sampah ini ditinggalkan oleh seseorang sebelum menjual kepada peniaga besi buruk,” katanya.

Hisham berkata, operasi membersihkan kawasan tersebut adalah sebahagian daripada rancangan untuk menjadikan daerah Muar dan Ledang bersih serta indah seperti Melaka.

Katanya, ini kerana selepas SWM negeri Melaka dan PPSPPA mengambil alih pengurusan sisa pepejal di kedua-dua daerah berkenaan.

“Kedua-dua pentadbiran daerah ini bersetuju untuk terima pakai sistem yang digunakan di Melaka dalam usaha membersihkan sampah termasuk kerja-kerja pembersihan parit di tepi jalan di daerah terlibat.

“Seramai 30 pekerja terlibat dalam kerja-kerja pembersihan ini termasuk beberapa pegawai kanan akan membantu membersihkan kawasan terpilih,” katanya.

Hisham berkata, kami akan menggunakan mesin berat termasuk mesin semburan air, traktor dan jengkaut jika perlu, semata-mata untuk membersihkan kawasan termasuk padang permainan kanak-kanak.

“Beberapa penduduk, terutamanya mereka yang tinggal berhampiran dengan kawasan lapang dan gemar tanam pokok, diminta supaya menjaga tanaman masing-masing.

“Banyak tanaman yang terbiar menyebabkan kawasan taman ini kelihatan tidak terurus dan kotor kerana daun gugur,” katanya.

Katanya lagi, kami telah memulakan kerja pembersihan itu sejak minggu lalu di Taman Pagoh Jaya dan kini di Taman Bakariah.

Sinar Harian
7 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment