Friday, July 20, 2012

Pagoh jadi hab pendidikan



PAGOH: Kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran akan membangunkan Pagoh sebagai hab pendidikan tinggi terbaru negara ini membabitkan projek bernilai lebih RM1 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, proses memajukan kawasan itu akan dilakukan mengikut beberapa fasa dan dimulakan tidak lama lagi.

Katanya, setakat ini empat institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan sebuah politeknik bersetuju membuka cawangan di Pagoh. “Bagi fasa pertama, 500 ekar tanah akan digunakan bagi membina kampus pengajian, asrama penginapan serta pelbagai kemudahan lain.

“Semua kemudahan berkenaan disediakan bagi kegunaan 10,000 penuntut empat IPT berkenaan,” katanya selepas menghadiri Majlis Himpunan Mesra Bersama Pesara di Dewan Kompleks Seri Pekembar di sini, semalam.

Menurutnya, pembinaan hab pendidikan itu dijangka selesai dalam tiga hingga empat tahun akan datang.

“Pemilik tanah, Sime Darby dengan syarikat usaha sama dilantik akan membangunkan kolej penginapan pelajar, pusat komersial, rumah dan kemudahan lain.

“Bagaimanapun, kerajaan akan pastikan semua bangunan dibina menepati piawaian Indeks Bangunan Hijau (GBI) supaya lebih mesra alam dan menjimatkan tenaga,” katanya.

Katanya, dalam usaha mewujudkan hab pendidikan itu Kementerian Pelajaran diminta menawarkan tempat kepada universiti antarabangsa yang ingin membuka cawangannya di sini.

“Kita boleh bagi ruang jika universiti antarabangsa mahu membuka cawangan mereka di situ.

“Ini kerana Pagoh mempunyai keluasan tanah yang mencukupi,” katanya.

myMetro
20 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment