Saturday, July 14, 2012

15 lokasi panas dipasang CCTV


MUAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di 15 lokasi panas seluruh negeri dalam usaha mencegah dan mengurangkan kadar jenayah di kawasan terbabit.

Ketua Jabatan Pengurusan PDRM negeri, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ahmad berkata, CCTV itu akan dipantau seorang petugas di setiap daerah dan dijadualkan pemasangannya  dalam masa dua atau tiga tahun lagi.

“Untuk mencegah jenayah di 15 lokasi panas termasuk satu kawasan di Muar, kita akan memasang CCTV.

“Sebelum ini, polis melakukan segala-galanya untuk mencegah jenayah terutama di kawasan panas namun masih memerlukan lebih usaha membanterasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan PDRM Dengan Ketua Komuniti Jawatankuasa Kemajuan Kampung Parlimen Muar di Parit Jawa dekat sini, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, beliau menggesa penduduk setempat bekerjasama dan memberi sokongan penuh kepada pihak polis dalam usaha mengurangkan jenayah walaupun indeks jenayah Johor menurun sejak empat tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, walaupun ia satu pencapaian memberangsangkan, pihaknya masih tidak berpuas hati dengan kejayaan itu kerana kes-kes seperti rompakan, ragut dan curi motosikal  masih berlaku.

Abdul Aziz turut mengingatkan polis Johor untuk memberi perkhidmatan terbaik dan mengubah pendekatan melalui cara berdamping dengan masyarakat bagi mengetahui keadaan di sesuatu kawasan.

Katanya, keadaan kini sudah berubah dan permintaan untuk mencegah jenayah juga semakin meningkat dan polis tidak boleh lagi bergantung dengan cara lama.

“Keperluan masa kini dalam memerangi jenayah dan mewujudkan keadaan lebih selamat sudah berbeza.

“Polis harus mengikut tuntutan semasa dengan pendekatan baru iaitu lebih mesra rakyat dan sedia menerima apa sahaja rungutan berkaitan jenayah,” katanya.

Sinar Harian
12 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment