Sunday, July 8, 2012

Wanita tersepit 30 minit, patah kaki kanan



Keadaan kereta yang dinaiki Rohana dan suaminya remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Muar-Labis,semalam.

MUAR  - Seorang wanita terpaksa menahan sakit selama 30 minit akibat tersepit setelah kereta yang dipandu suaminya terlibat dalam kemalangan di Jalan Muar-Labis, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu berlaku kira-kira 200 meter dari simpang empat Sungai Terap.

Rohana Mahmud, 36, tersepit di tempat duduk sebelah pemandu kerana kereta Kancil yang dinaikinya dirempuh dari arah belakang oleh lori seberat tiga tan, manakala suaminya tercampak ke atas jalan raya.

Lebih malang lagi apabila dalam keadaan cemas itu, datang pula sebuah kereta Wira dari arah bertentangan dan merempuh Kancil yang dinaiki suami isteri berkenaan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan cuba membantu Rohana yang tersepit, tetapi tidak berjaya.

Salah seorang saksi kejadian, Khairil Rizal Abdul Hadi, 33, yang memandu dari arah bertentangan berkata, kereta Kancil dari arah Muar itu memberi isyarat masuk ke kanan sebelum dirempuh lori berkenaan.

“Kemudian datang kereta Wira yang dipandu seorang wanita dari arah bertentangan melanggar kereta Kancil tersebut.

“Setelah melihat mangsa sukar dikeluarkan, orang ramai kemudian menghubungi bomba,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Abdul Rahman Taib ketika dihubungi berkata,  pihaknya menerima panggilan jam 8.13 pagi dan berjaya mengeluarkan mangsa tersepit kira-kira 20 minit kemudian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan.

“Selain Rohana yang patah kaki kanan, semua mangsa terlibat hanya mengalami cedera ringan dan keadaan tersebut membuatkan jalan sesak lebih satu kilomter di kedua-dua laluan,” katanya.

Sinar Harian 8 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment