Friday, July 20, 2012

Lelaki berang isteri enggan sain surat poligami

MUAR  –  Seorang lelaki berusia 56 tahun nyaris membakar rumah kelamin setelah berang apabila isteri pertama enggan menandatangani surat kebenaran berpoligami, semalam.

Kejadian bermula jam 10 pagi itu berlaku ketika lelaki terbabit mengajak isterinya yang berusia 50an mengikutinya ke pejabat agama untuk menandatangani surat kebenaran berkahwin dengan seorang wanita berusia 36 tahun.

Menurut sumber, isteri lelaki terbabit tidak bersetuju lalu mendorongnya mengugut isteri dan keluarga untuk membakar rumah itu.

“Tetapi tidak jadi berbuat demikian apabila isterinya membuat laporan polis kira-kira pukul 2 petang.

“Ketika itu, lelaki berkenaan sudah bersiap sedia dengan sebotol minyak petrol dan satu tong gas bertujuan  membakar kediamannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Namun, suspek melarikan diri sebaik sahaja mengetahui isterinya membuat laporan polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Suspek telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar tengah hari semalam dan telah diambil keterangan.

“Kes ini masih siasatan dan  disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian
20 Jul 2012


Didenda RM800 cuba bakar rumah kerana isteri tidak izin kahwin lagi

MUAR – Seorang ketua UMNO peringkat cawangan di Lenga dekat sini didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana cuba membakar rumahnya sendiri selepas permintaan untuk berkahwin lagi pada 17 Julai lalu tidak dibenarkan isterinya.

Majistret Suzana Mokhtar memerintahkan Ithnin Misdani, 50, dari Kampung Sawah, Tulang Gajah, Lenga membayar denda berkenaan atau dipenjara sebulan apabila tertuduh mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Ithnin pada pukul 10.10 pagi 17 Julai lalu telah mengambil tong berisi petrol serta tong gas dan meletakkannya di ruang tengah rumah sambil mengugut untuk membakar rumah berkenaan di depan isterinya, Siti Musliha Selamat.

Tertuduh dikatakan bertindak demikian selepas berang apabila isteri pertamanya dikatakan tidak mengikuti kehendaknya untuk beristeri lain.

Berikutan itu, Ithnin dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Kosmo
27 Jul 2012


Rayu isteri pertama pulang


MUAR – Seorang peniaga dari Kampung Tulang Gajah, Lenga dekat sini merayu isteri pertamanya, Siti Muslihah Selamat, 50, yang menghilangkan diri sejak 17 Julai lalu agar kembali ke pangkuannya.

Ithnin Misdani, 50, berkata, isterinya menghilangkan diri selama 10 hari sebelum perkahwinan kedua yang berlangsung pada 13 Julai, dan pulang ke rumah pada sebelah petang selepas majlis pernikahan selesai.

Menurutnya, pernikahannya dengan isteri kedua mengikut prosedur yang betul berlangsung di sebuah masjid di bandar ini.

“Pada mulanya pernikahan ini mendapat persetujuan daripada Siti Muslihah dan kami bersama-sama pergi ke Pejabat Agama Daerah Muar untuk mengisi borang kebenaran berpoligami yang turut disertai oleh isteri kedua.

“Namun semuanya berubah apabila pihak ketiga campur tangan dan telah menjadikan keadaan lebih rumit dan akhirnya hubungan dengan isteri menjadi keruh serta dia kerap meminta cerai,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia nekad tidak akan menceraikan isteri pertama kerana masih menyayanginya yang dikahwininya sejak 30 tahun lalu dan banyak kenangan bersama yang tidak boleh dilupakan.

Ithnin berkata, pada 16 Julai, dia memujuk Siti Muslihah untuk menyelesaikan tuntutan perceraian yang dikemukakan, tetapi sikap isterinya itu memaksanya mengambil tindakan tegas untuk menakutkannya.

“Malangnya tindakan saya disalahertikan dengan membuat laporan polis palsu mengatakan saya hendak bakar rumah.

“Walaupun saya diaibkan, tetapi sedia memaafkannya dan setia menunggu kepulangannya untuk kebaikan keluarga ini,” katanya.

Katanya lagi, dia sudah berusaha menghubungi telefon bimbit isterinya tetapi tidak dijawab, bahkan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimnya langsung tidak dibalas sehingga ke hari ini (semalam).

“Sempena bulan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi, saya sekali lagi merayu isteri supaya segera kembali ke pangkuan saya.

“Saya sangat berharap hubungan ini kembali pulih seperti sediakala dan lupakan perkara yang lepas,” katanya.

Pada masa yang sama, Ithnin menafikan dakwaan mengatakan dia hendak membakar rumah dan berharap dengan penjelasan berkenaan persepsi masyarakat terhadapnya akan berubah.

Katanya, sejak laporan berkenaan disiarkan di beberapa akhbar tempatan, ramai yang memandang serong kepadanya.

Sinar Harian
14 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment