Wednesday, July 18, 2012

Lelaki ubah suai lori, beli minyak diesel subsidi dalam kuantiti banyak



Nordin menunjukkan tangki yang diubahsuai bagi membolehkan minyak diesel diisi melebihi kapasiti ditetapkan.

MUAR - Tindakan licik seorang lelaki mengubahsuai lori miliknya untuk membeli lebih banyak minyak diesel subsidi mengundang padah apabila ditahan sepasukan Gerakan Marin Muar (PGM), kelmarin.

Lelaki berusia 31 tahun dan berasal dari Melaka itu ditahan setelah didapati berada dalam keadaan mencurigakan semasa memandu lori tersebut, berhampiran sebuah tokong Cina dekat Jalan Parit Jawa, di sini.

Pegawai Pemerintah (PGM) Muar, Asisten Superintendan Nordin Osman berkata, lelaki berkenaan dikatakan mengubahsuai tangki lori terbabit bagi membolehkan minyak yang dibeli daripada beberapa stesen minyak di bandar ini dan Batu Pahat dipam ke tangki utama di atas lori berkenaan yang boleh memuatkan sehingga 6,000 liter diesel.

Menurutnya, minyak itu kemudiannya dijual kepada pihak industri bagi tujuan mengaut keuntungan banyak dengan cara mudah.

“Suspek dipercayai membeli minyak berkenaan yang dijual pada harga RM1.80 seliter di beberapa stesen minyak sebelum menjualnya pada harga RM2.30 kepada pihak industri di Melaka.

“Ini kerana penjualan minyak diesel yang ditetapkan untuk industri ialah RM2.90, jadi suspek mengaut keuntungan dengan cara mudah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, suspek ditahan pada jam 3.30 pagi, apabila pemeriksaan dilakukan menemui satu tangki hitam di bahagian belakang lori terbabit yang direka khas untuk mengisi minyak selain 3,000 liter minyak berharga kira-kira RM5,400 sudah diisi di dalamnya.

Katanya, ketika disoal siasat, suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen mengenai pembelian diesel subsidi itu.

“Kita percaya, suspek sudah lama terbabit dalam kegiatan ini kerana dia hanya mengisi minyak pada waktu malam dan awal pagi supaya tidak dapat dihidu pihak berkuasa.

“Pada kebiasaannya tangki lori terbabit hanya boleh  memuatkan kira-kira 200 liter diesel, namun suspek menyambungkannya dengan paip khas membolehkan minyak terbabit dipam ke tangki utama yang boleh memuatkan lebih 6,000 liter minyak,” katanya.

Nordin berkata, suspek diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan selanjutnya.

“Dia ditahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa permit sah,” katanya.

Sinar Harian
18 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment