Sunday, July 22, 2012

Ahli perniagaan cedera dihentak dengan topi keledar


MUAR - Seorang ahli perniagaan bergelar datuk cedera di kepala akibat dihentak dengan topi keledar oleh seorang pemuda ketika dalam mesyuarat pakatan di sebuah kampung di Sungai Terap, di sini, semalam.

Akibat hentakan dua kali menyebabkan ahli perniagaan berusia 39 tahun yang menetap di Kuala Lumpur itu pengsan dan mengalami pendarahan di bahagian mulut.

Kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, dipercayai berpunca daripada perasaan dendam terhadap ahli perniagaan berkenaan kerana membuat laporan polis membongkar kegiatan perjudian di kampung tersebut yang didalangi lelaki terbabit.

Menurut sumber, sejak itu aktiviti perjudian di kampung berkenaan yang sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu menjadi lumpuh.

“Tetapi suspek bersama rakan-rakannya masih tidak berpuas hati dan sering melontarkan kata-kata kesat apabila terserempak dengan mangsa setiap kali pulang ke kampung pada cuti hujung minggu.

“Keadaan ini berterusan sejak enam bulan lalu, tetapi kemuncaknya malam semalam, apabila suspek tiba-tiba bertindak biadab dengan mengugut untuk mencederakan mangsa dan rakannya sebelum bertindak menghentak mangsa menggunakan topi keledar,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata sumber lagi, ahli perniagaan terbabit dihantar keHospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil selepas sedar sekitar jam 8 pagi semalam.

“Mangsa bakal menjalani ujian imbasan untuk mengesan kemungkinan terdapat keretakan di kepalanya,” katanya.

Difahamkan, mangsa juga akan mengambil tindakan undang-undang ke atas lelaki terbabit.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Sinar Harian
22 Jul 2012

0 comments:

Post a Comment