MUAR – “Saya pernah diikat kaki, disimbah air serta dikurung dalam bilik air berjam lamanya hanya kerana kesalahan pulang lewat dari sekolah.
“Puas saya merayu agar tidak dikurung, tapi ayah tak mengendahkannya dan biarkan saya kesejukan dalam bilik air,” demikian luahan mangsa dera bapa tiri.
Mangsa yang berusia 12 tahun itu berkata, bapa tirinya sangat garang dan tidak teragak- agak menggunakan apa saja peralatan yang ada berhampiran untuk memukulnya jika dia membuat kesalahan.
“Selasa lalu, ayah pukul dan tumbuk muka saya kerana mengatakan saya bercakap tidak benar.
“Saya tidak tahu kesalahan apa yang telah saya lakukan sehingga menimbulkan kemarahannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Hampir seminggu selepas kejadian, rahsia murid tahun enam itu bagaimanapun terbongkar apabila guru di sekolahnya mengesan kecederaan yang dialami mangsa ketika sesi perhimpunan sekolah, pagi semalam.
“Saya terpaksa berterus terang kerana kecederaan pada mata sangat ketara dan tidak boleh disembunyikan lagi. “Guru terus bawa saya buat laporan polis dan menjalani pemeriksaan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF),” katanya.
Mangsa yang masih trauma mengalami kecederaan di bahagian mata, pipi dan kedua belah paha dipercayai akibat ditumbuk dan dipukul dengan menggunakan tukul besi serta tin penyembur serangga.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Shahdan Jaafar berkata, pemeriksaan di HPSF itu juga mendapati anak kedua daripada tiga beradik itu turut memiliki kesan luka lama di belakang badan.
“Lelaki terbabit yang juga bapa tiri mangsa ditahan selepas polis menerima laporan daripada pihak sekolah mengenai kecederaan dialami mangsa.
“Ketika ditahan, kami juga menemui dadah jenis ganja, hasil pemeriksaan di rumah berkenaan,” katanya.
Shahadan berkata, lelaki terbabit kini ditahan untuk membantu siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-kanak 2001 kerana melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.
“Ibu mangsa walau bagaimanapun tidak ditahan, tapi dia hanya disoal siasat. “Pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada kemungkinan dua lagi adikberadik mangsa turut didera atau pun tidak,” katanya.
Sinar Harian
10 Jul 2012
Derita mangsa dera berakhir
MUAR 9 Julai - Penderitaan seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa dera dipercayai oleh bapa tirinya sejak beberapa tahun lalu berakhir, apabila lelaki terbabit ditahan oleh polis di rumahnya, di Taman Sri Bakri, di sini hari ini.
Bapa tiri kanak-kanak malang itu, Hamnenaclejard Noo A. Rahman, 12, ditahan kira-kira pukul 11 pagi selepas pihak sekolah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pukul 9.30 pagi ini.
Semuanya terbongkar apabila salah seorang guru sekolah itu menyedari kesan lebam di mata kanak-kanak tersebut semasa menghadiri perhimpunan di Sekolah Rendah Simpang Jeram, Sungai Abong, di sini.
Setelah didesak, kanak-kanak itu mengaku matanya lebam akibat ditumbuk oleh bapa tirinya dan pemeriksaan lanjut menemui beberapa kesan kecederaan di kedua-dua belah kaki akibat dipukul dengan tukul besi serta tin penyembur racun serangga.
Mangsa ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini selepas menjalani rawatan berkata, bapa tirinya sangat garang, panas baran dan tidak ragu-ragu untuk menggunakan apa saja peralatan berhampiran untuk memukulnya jika dia membuat kesalahan.
"Saya pernah diikat kaki, disimbah air serta dikurung dalam bilik air berjam-jam lamanya kerana pulang lewat dari sekolah. Puas saya merayu agar tidak dikurung tetapi ayah tidak mengendahkan rayuan dan membiarkan saya kesejukan dalam bilik air," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Shahadan Jaafar berkata, rentetan kecederaan mangsa mendorong pihak sekolah membawanya ke balai polis untuk membuat laporan dan menjalani pemeriksaan di HPSF.
"Pemeriksaan mendapati anak kedua daripada tiga beradik itu turut memiliki kesan luka lama di belakang badan. Lelaki terbabit yang juga bapa tiri mangsa ditahan selepas pihak kami menerima laporan.
"Ketika ditahan, polis menemui dadah jenis ganja di rumahnya. Suspek merupakan pengajar di sebuah institut latihan memandu di bandar ini," katanya ketika ditemui di IPD Muar hari ini.
Utusan
11 Jul 2012
0 comments:
Post a Comment