REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Thursday, December 26, 2013

Guru cemas burung hering masuk laman rumah

MOHD. FADLI (kiri) dan anggota JPAM menunjukkan seekor burung hering yang ditangkap di Muar, Johor semalam.

Burung hering 'singgah rumah' ditangkap

MUAR 25 Dis. - Seorang guru sekolah rendah menerima 'tetamu' tidak diundang iaitu seekor burung hering sebesar anjing dewasa yang 'singgah' di pekarangan rumahnya di Taman Seri Aman Sari, Parit Keroma di sini hari ini.

Remy Azman Abdul Rashid, 40, berkata, pada mulanya burung pemakan bangkai itu berada di luar pagar rumah kira-kira pukul 1.15 petang dan kelihatan kurang sihat kerana tidak banyak bergerak.

Tidak lama kemudian, burung berkenaan secara tiba-tiba terbang dan singgah di pekarangan rumahnya.

"Saya bercadang menangkapnya tetapi kerana bimbangkan sifat burung ini yang boleh menyerang dan menjadi agresif, saya membatalkan hasrat itu.

"Bimbangkan keselamatan isteri dan tiga orang anak di rumah, saya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Muar untuk meminta bantuan," katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Raya, Bukit Pasir dekat sini.

Beliau yang pertama kali melihat burung berkenaan di taman tersebut mengesyaki unggas itu datang dari kawasan belukar berdekatan.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Muar, Mohd. Fadli Mohd. Juki berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap burung itu yang bertenggek di sebatang pokok di belakang rumah berkenaan.

Katanya, empat anggota JPAM terpaksa mengepung burung itu sebelum menjerut kakinya sehingga jatuh.

"Kita terpaksa menyerkup burung ini dengan kain kerana sangkar yang dibawa tidak muat.

"Pemeriksaan mendapati burung ini cedera di bahagian sayap kiri, kemungkinan terlanggar objek tajam atau keras dan bergaduh dengan burung yang lain," katanya.

Utusan dan Kosmo
26 Dis 2013

Wednesday, December 25, 2013

Hilang tangan digigit babi hutan

Amirudin menunjukkan tangannya yang dipotong selepas digigit babi hutan semasa bertugas pada 5 Disember lalu.

MUAR – Seorang tukang kebun menempuh pengalaman mengerikan apabila diserang seekor babi hutan liar ketika bertugas di Sekolah Rendah Pendidikan Khas Muar (P), Jalan Tunku Bendahara di sini, 5 Disember lalu.

Ekoran kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Amirudin Osman, 35, kehilangan tangan kiri akibat kecederaan parah selepas digigit haiwan berkenaan.

Menceritakan kembali peristiwa tersebut, Amirudin berkata, dia dilanggar daripada arah belakang oleh haiwan itu semasa menyiram pokok bunga di tepi pagar dalam kawasan sekolah.

Katanya, akibat disondol haiwan berkenaan, dia terjatuh dan babi hutan bertindak lebih agresif dengan menggigit bahagian siku tangan kirinya.

Dia bergelut dengan haiwan tersebut selama lima minit untuk menyelamatkan diri tetapi tidak berjaya.

“Isteri (Noraini Muharam, 36) turut bekerja sebagai tukang kebun dan kebetulan  berada pada jarak kira-kira 15 meter daripada saya. Dia yang menyedari kejadian itu cuba membantu dengan memukul kepala haiwan itu menggunakan kayu.

“Haiwan tersebut melepaskan gigitan dan kemudiannya berlari bersembunyi ke dalam tandas berdekatan dengan tempat kejadian,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Jalan Panglima Salleh, Kampung Kenangan Tun Dr Ismail, Sungai Abong di sini, semalam.

Amirudin berkata, kekecohan itu telah menyedarkan pekerja lain dalam kawasan sekolah berkenaan dan kemudian membantu menghantarnya yang dalam keadaan berlumuran darah ke hospital.

Katanya, haiwan itu kemudiannya ditembak mati oleh penduduk berhampiran bagi mengelakkan ia kembali menceroboh ke dalam kawasan sekolah.

“Mujur kejadian berlaku ketika musim cuti sekolah dan jika tidak, mungkin murid sekolah menjadi sasaran babi hutan ini.

“Saya tidak sedar babi hutan masuk melalui pintu hadapan sekolah dan dipercayai datang dari kawasan semak berhampiran sekolah,” katanya.

Menurutnya, kecederaan itu memaksanya menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) selama seminggu.

“Saya masih trauma dengan kejadian itu yang menjadi pengalaman pahit dalam hidupnya terutamanya apabila diberitahu tangan terpaksa dipotong berikutan banyak urat yang putus.

“Saya menangis sedih tetapi tidak ada pilihan lain dan terpaksa akur dengan keputusan perubatan untuk keselamatan diri,” katanya yang sudah satu tahun tiga bulan bertugas di sekolah berkenaan.

Jelasnya, pujukan dan kata-kata perangsang isteri, menjadikannya lebih tabah menjalani kehidupan dengan status sebagai orang kurang upaya (OKU).

Sinar Harian
25 Dis 2013

Tuesday, December 24, 2013

Berjalan kaki kutip derma bantu golongan gelandangan

OTTO Klaus Mitchell melalui bandar Muar, Johor semalam dalam perjalanan dari Singapura ke Thailand bagi mengutip derma untuk golongan gelandangan United Kingdom.

MUAR 23 Dis. - Bosan dengan kesakitan dialaminya, seorang pemuda dari London berazam berjalan kaki secara solo merentasi Semenanjung Malaysia dalam usaha untuk membantu Rumah Kebajikan Shelter yang khusus untuk membantu golongan gelandangan di United Kingdom.

Otto Klaus Mitchell, 23, sudah lebih tiga minggu berjalan kaki bermula dari Singapura pada 26 November lalu dengan sasaran untuk sampai ke Thailand dengan jarak keseluruhan 1,000 kilometer.

Beliau yang ditemui ketika sampai di bandar ini baru-baru ini berkata, usahanya itu adalah satu cabaran baharu buatnya dan dilakukan semata-mata untuk membantu golongan gelandangan di negara kelahirannya itu.

Katanya, motivasi untuk berjalan merentasi Malaysia timbul apabila berasa bosan dengan kaki kanannya yang sakit akibat penyakit 'post thrombotic syndrome' selepas kecederaan ketika bermain bola sepak.

"Penyakit ini membuatkan kaki saya sakit apabila kerap duduk atau berdiri, kerana itu saya mengambil keputusan untuk berjalan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mitchell mengaku menggemari aktiviti lasak, malah sebelum ini pernah mengembara selama tiga tahun dengan mengayuh basikal merentasi Amerika Selatan.

Cabaran itu dilakukan untuk kepuasan peribadi, namun usahanya kali ini bagi membantu rumah kebajikan itu dan memilih Malaysia kerana negara ini selamat serta rakyatnya peramah.

"Saya hanya membawa sedikit wang dan mahu berjalan kaki hingga ke utara Semenanjung sebelum memasuki Thailand dan pulang ke UK. Saya jangkakan boleh sampai dalam tempoh antara dua hingga tiga bulan.

"Pada mulanya saya merancang untuk tidur dalam khemah di mana-mana saja saya berhenti, tetapi hujan menyebabkan saya tidak berani melakukannya apatah lagi sebelum ini saya terjumpa seekor ular berhampiran khemah saya.

"Buat masa ini saya hanya menyewa hotel murah," katanya sambil berharap akan dapat menyumbang sebanyak £1,000 (kira-kira RM5,000) menerusi usahanya itu dan hingga kini sudah menerima hampir separuh daripada sasaran itu menerusi sumbangan dermawan dari seluruh dunia.

Sumbangan boleh dihulurkan menerusi pembayaran dalam talian atau melayari laman sesawang http://www.justgiving.com/ klaus-mitchell untuk maklumat lanjut.

Utusan
24 Dis 2013

Saturday, December 21, 2013

Dapur rumah tanpa dinding

Ishah dibahagian dapur yang tidak berdinding bersama dua cucunya.

Pegawai Penerangan Daerah Muar, Hanan Mohd Yusof (kiri) turut membantu gotong royong membaiki Ishah

MUAR - Memasak menggunakan kayu api tidak dianggap pelik di negara yang sudah 56 tahun mencapai kemerdekaan.

Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila masih ada keluarga yang tinggal dalam rumah usang dengan keadaan dapur tidak berdinding.

Itu hakikat kehidupan dilalui pasangan suami isteri, Yani Ali, 62, dan Ishah Mohamad, 63, dari Kampung Parit Kachau, Seri Menanti, dekat sini, lebih 40 tahun lalu.

Kediaman terbabit dianggap syurga buat warga emas berkenaan meskipun hampir 60 peratus bumbung rumah mengalami kebocoran selain lantai dan dinding kian mereput dimakan anai-anai sekali gus menunggu masa untuk rebah menyembah bumi.

Ishah berkata, rumah berusia lebih 40 tahun yang pada asalnya hanyalah sebuah pondok dan kemudian diperbesarkan dengan tiang rumah menggunakan batang pokok hutan itu dibina sendiri oleh suaminya.

Katanya, rumah terbabit turut dihuni anak menantu serta dua cucunya yang baru berpindah dari Segamat.

“Tidur malam kami sering terganggu sekiranya hujan kerana terpaksa bangun mencari bahagian rumah yang tidak bocor untuk berlindung.

“Pendapatan saya sebagai penoreh getah dan suami yang sebelum ini bekerja sebagai pemotong buah sawit yang tidak seberapa telah halang niat untuk baiki rumah.

“Tapi suami sudah setahun tidak bekerja kerana menghidap penyakit sukar membuang air kecil. Saya terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga,” katanya.

Ibu kepada lapan cahaya mata itu berkata, setiap hari sekitar jam 6.30 pagi, dia memulakan tugas mengambil upah menoreh getah milik rakannya di Kampung Parit Karjo sehingga jam 10.30 pagi.

“Pendapatan bulanan RM250 hasil menoreh getah digunakan untuk menyara kehidupan. Saya perlu berjimat cermat ketika berbelanja supaya wang itu mencukupi sehingga hujung bulan.

“Makan tengahari sering berlaukkan sayuran kampung yang dipetik di kawasan sekitar rumah. Kadang-kadang sehingga seminggu tidak makan lauk ikan,” katanya.

Ishah mengakui pernah membuat permohonan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) beberapa tahun lalu, tetapi tidak berjaya dan kegagalan itu membuatkannya serik untuk membuat permohonan semula.

Katanya, meskipun mempunyai anak yang ramai, dia tidak pernah meminta anak-anaknya untuk membina rumah baru kerana memahami kehidupan masing-masing.

Katanya, dia bersyukur apabila pemimpin setempat begitu prihatin dengan kehidupannya sehingga menerima bantuan membaik pulih rumah bernilai hampir RM4,000 menerusi program Gotong Royong Antara Komuniti 1Malaysia Mukim Seri Menenti.

“Bantuan ini merangkumi kerja baik pulih bahagian anjung dan menggantikan zink yang bocor. Ia sekali gus memberikan keselesaan kepada keluarga kerana tidak lagi terkena air hujan dalam rumah,” katanya.

Sinar Harian
21 Dis 2013

Monday, December 16, 2013

Bomoh didakwa larikan isteri, wang RM20,000

ROZMAN Jamil menunjukkan gambar Zainon Ibrahim dan salinan laporan polis merayu orang ramai bantu mencari isterinya itu yang hilang di Hentian R&R Pagoh, Johor, semalam.

PAGOH 15 Dis. - Seorang ahli perniagaan di sini kini hidup tertekan dan tidak tenteram setelah isterinya serta wang tunai lebih RM20,000 dilarikan seorang lelaki yang mendakwa bomoh handalan dipercayai dari negara jiran sejak lebih sebulan lalu.

Rozman Jamil, 46, dari Kampung Jawa, Panchor berkata, isterinya, Zainon Ibrahim, 41, yang menguruskan gerai buah-buahan mereka di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan Pagoh, hilang sejak pukul 3.30 petang, 2 November lalu.

Dia mendakwa, Zainon mengikut lelaki itu yang berusia lewat 30-an, bertubuh kurus, berkulit hitam manis dan berperwatakan seakan-akan alim dengan kadang-kadang berkopiah selain gemar menghisap rokok keretek.

“Lelaki ini menggunakan nama Azman. Melalui cerita isteri saya sebelum ini, Azman memberinya beberapa botol minyak kononnya sebagai pelaris perniagaan dan menyatakan kedainya perlu dipulihkan kerana terkena buatan orang. Dia kata berasal dari Selangor mendakwa handal dalam mengubati pelbagai penyakit dan melariskan perniagaan.

“Saya pernah menasihati isteri supaya menjauhkan diri tetapi lelaki itu tetap mencari jalan menemui Zainon setiap kali saya tiada di kedai. Sebelum menghilangkan diri, isteri tidak pernah menunjukkan sebarang tanda pelik atau mempunyai masalah dengan saya, begitu juga dengan dua anak kami, Mohd. Naim, 15, dan Norhafifi, 14," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, sejak menghilangkan diri, Zainon terus mematikan telefon bimbitnya sekali gus menyukarkan lagi usaha menjejakinya yang telah dibuat di kampungnya di Sungai Mati, Muar dan di rumah adik-beradik serta saudara-maranya hampir di seluruh negara.

Keadaan itu membuatkan Rozman buntu ditambah lagi laporan yang dibuat di Balai Polis Panchor pada hari isterinya menghilangkan diri tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif.

“Sekarang situasi semakin teruk kerana anak kedua kami demam sejak seminggu lalu kerana sering teringatkan ibunya. Sudah banyak pengamal perubatan tradisional dan ustaz yang saya temui, mereka menyatakan Azman menyihir isteri saya.

“Azman mengambil kesempatan meminta hasil jualan kedai daripada isteri saya setiap hari sehingga mencecah lebih RM20,000 dalam masa tiga bulan dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun bank berbeza," katanya.

Rozman dan isteri mengenali Azman semasa bercuti di Pulau Besar, Melaka, Jun lalu apabila lelaki itu tiba-tiba menghampiri mereka semasa di kedai makan lantas menawarkan diri membantu ‘memulihkan’ kedai sebelum meminta nombor telefon.

Tiga minggu selepas itu, katanya, Azman datang ke kedainya secara senyap-senyap dan bertemu Zainon sebelum memberikan beberapa botol minyak, tasbih dan beberapa barang lain.

Azman meminta Zainon menggunakannya bagi tujuan perniagaan.

Sehubungan itu, Rozman merayu orang ramai yang terjumpa atau ternampak isterinya supaya menghubunginya menerusi 010-7196678 kerana mereka sekeluarga bimbang keselamatan Zainon selain keluarga amat merinduinya.

Utusan
16 Dis 2013

‘Bomoh alim’ larikan isteri


Muar: “Saya tidak sangka bomoh yang berperwatakan alim itu bukan saja sanggup menggunakan ilmu hitam untuk melarikan isteri, malah turut melesapkan RM20,000 hasil perniagaan kami, “ kata seorang peniaga, Rozman Jamil, 46.

Peniaga buah dari Kampung Jawa, Panchor di sini, mendakwa isterinya, Zainon Ibrahim, 41, yang menguruskan gerai buah-buahan di hentian Rawat dan Rehat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan Pagoh, hilang dipercayai dilarikan seorang lelaki pada jam 3.30 petang, pada 2 November lalu.

Rozman berkata, dia percaya kehilangan Zainon ada kaitan dengan seorang lelaki dikenali Azman yang baru dikenali ketika mereka bercuti di Pulau Besar, Melaka, Jun lalu.

Menurutnya, ketika dia dan isteri sedang makan di sebuah kedai di Pulau Besar, Azman lingkungan 40-an tiba-tiba menghampiri mereka dan berbual mesra.

“Lelaki itu kelihatan peramah selain memaklumkan dia bomoh handal dari negara jiran dan dapat membantu jika ada masalah berkaitan perniagaan.

“Azman kemudian meminta nombor telefon kami sebelum meminta diri.

Saya sangka ia hanya setakat itu namun tiga minggu kemudian, lelaki terbabit menemui Zainon secara bersembunyi dan memaklumkan ada beberapa botol minyak, tasbih serta beberapa barang lain yang kononnya dapat membantu melariskan jualan,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia percaya lelaki itu mengenakan ilmu hitam terhadap isterinya menyebabkan wanita itu menuruti kata-kata lelaki terbabit.

Katanya, selepas beberapa bulan berhubung, Zainon menghilangkan diri tanpa meninggalkan apa-apa pesan.

“Sejak Zainon menghilangkan diri saya ada bertemu dengan beberapa pengamal perubatan tradisional untuk mengesan isteri, namun semuanya memberi jawapan sama iaitu isteri dikenakan ilmu hitam.

“Itu mungkin ada benarnya kerana saya dapati isteri memasukkan wang hasil perniagaan kami hampir setiap hari lebih RM20,000 ke beberapa akaun bank berbeza dalam tempoh tiga bulan selepas mengenali lelaki itu,” katanya yang turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, November lalu.

Menurut Rozman, dia pernah menasihatkan Zainon menjauhkan diri daripada lelaki itu berikutan curiga dengan kelakuannya.

Katanya, sebelum menghilangkan diri, Zainon tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan, malah mereka juga tidak berdepan dengan masalah rumah tangga.

Rozman berkata, dia serta anak mereka, Mohd Naim, 15, dan Norhafifi, 14, risau memikirkan keselamatan wanita itu kerana usaha mengesannya sehingga kini menemui jalan buntu.

“Sejak menghilangkan diri, Zainon tidak dapat dihubungi kerana telefon bimbitnya dimatikan.

Saya berusaha mengesan Zainon di rumah saudara di seluruh negara, tetapi tidak berjaya.

“Kehilangan Zainon juga memberi kesan kepada Mohd Naim dan Norhafifi yang demam teruk sejak seminggu lalu kerana terlalu merindui ibu mereka.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Zainon diminta menghubungi saya di talian 010-7196678,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kehilangan wanita berkenaan.

myMetro
16 Dis 2013

Tuesday, December 10, 2013

PBTM bantu baik pulih rumah bekas tentera

TAJUL Arifin Chu Johari (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Asnah Saat bagi meringankan beban yang terpaksa menanggung dua anak OKU di Batu 4 Simpang Baba, Jalan Bukit Pasir, Muar, Johor, semalam.

MUAR 9 Dis. - Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) akan membantu seorang bekas tentera tidak berpencen yang mahu membaik pulih rumah dan memastikannya mendapat keistimewaan yang terdapat dalam persatuan itu.

Yaakob Arman, 52, berhenti menjadi Askar Diraja Melayu di Kem Sungai Besi selepas berkhidmat selama sembilan tahun dan tidak mendapat kemudahan atau bantuan kerana disebabkan masalah disiplin.

Setiausaha Agung PBTM, Kolonel (B) Tajul Arifin Chu Johari berkata, Yaakob yang kini melakukan kerja-kerja kampung boleh menikmati pelbagai bantuan disediakan PBTM untuk membantu bekas tentera yang diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Vateran (JHEV).

"Dia (Yaakob) dihukum semasa berkhidmat dan selepas berhenti juga masih dihukum (tidak layak menerima bantuan). Dia yang berhenti atas kesalahan tata tertib menyebabkannya tidak layak menerima apa-apa bantuan.

"Namun perkara ini sudah dibawa dalam mesyuarat di peringkat Kementerian Pertahanan untuk pembelaan bagi membolehkannya mendapat bantuan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan mesra keluarga Yaakob di Batu 4 ½ Simpang Baba, Jalan Bukit Pasir di sini hari ini.

Katanya, tidak wajar Yaakob terus dihukum termasuk ahli keluarganya dan berharap dapat dimaafkan kerana dia mempunyai dua anak orang kurang upaya (OKU) iaitu Mohd. Faezal Hairy, 21 dan Siti Fairus Hanatasia, 17.

Menurut beliau, pihaknya mencadangkan untuk memberikan bantuan membaik pulih rumah agar keluarga tersebut dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa terutamanya kepada dua anak OKU itu.

Kunjungan tersebut disertai oleh Pengerusi PBTM Cawangan Muar, Shamsudin Rais dan 10 ahlinya selain Tajul turut memberikan sumbangan RM400 serta beras untuk meringankan beban keluarga berkenaan.

Isteri Yaakob, Asnah Saat, 45, berkata, dia terharu apabila pihak PBTM mengunjungi rumahnya dan bertemu dua anaknya serta hasrat membantu baik pulih rumah.

"Rumah ini dibina oleh suami secara berperingkat menggunakan wang simpanan tetapi masih ada sedikit kekurangan kerana tidak mempunyai wang mencukupi. Suami kadang-kadang tidak bekerja kerana membantu saya menguruskan kedua-dua anak istimewa kami," ujarnya.

Utusan
10 Dis 2013

Wanita nyaris maut kereta terbakar


MUAR 9 Dis. - Seorang wanita terselamat daripada maut apabila berjaya menyelamatkan diri setelah kereta yang dipandunya tiba-tiba terbakar berhampiran bulatan di Jalan Sulaiman di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu, dia yang enggan dikenali dipercayai memandu kereta jenis Honda Civic seorang diri dari arah Jalan Junid menghala ke pusat bandar.

Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di bulatan itu dia ternampak kepulan asap keluar dari bahagian enjin dan segera memberhentikan kereta sebelum dikejutkan dengan api yang marak.

Seorang saksi, Martono Yajim, 40, berkata, ketika kejadian dia memandu selang dua buah kereta di belakang wanita berkenaan dan nampak kenderaan itu bergerak perlahan sebelum berhenti di tepi jalan.

"Mujurlah ketika itu pemandunya sudah keluar menyelamatkan diri kerana jika tidak, tentu perkara lebih buruk akan berlaku," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat daerah ketika dihubungi berkata, sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan.

Bagaimanapun katanya, ketika bomba tiba kereta berkenaan hampir keseluruhan sudah terbakar.

"Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal dan memadamkan api. Punca sebenar kebakaran sedang disiasat," katanya.

Utusan
10 Dis 2013