Tuesday, December 10, 2013

PBTM bantu baik pulih rumah bekas tentera

TAJUL Arifin Chu Johari (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Asnah Saat bagi meringankan beban yang terpaksa menanggung dua anak OKU di Batu 4 Simpang Baba, Jalan Bukit Pasir, Muar, Johor, semalam.

MUAR 9 Dis. - Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) akan membantu seorang bekas tentera tidak berpencen yang mahu membaik pulih rumah dan memastikannya mendapat keistimewaan yang terdapat dalam persatuan itu.

Yaakob Arman, 52, berhenti menjadi Askar Diraja Melayu di Kem Sungai Besi selepas berkhidmat selama sembilan tahun dan tidak mendapat kemudahan atau bantuan kerana disebabkan masalah disiplin.

Setiausaha Agung PBTM, Kolonel (B) Tajul Arifin Chu Johari berkata, Yaakob yang kini melakukan kerja-kerja kampung boleh menikmati pelbagai bantuan disediakan PBTM untuk membantu bekas tentera yang diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Vateran (JHEV).

"Dia (Yaakob) dihukum semasa berkhidmat dan selepas berhenti juga masih dihukum (tidak layak menerima bantuan). Dia yang berhenti atas kesalahan tata tertib menyebabkannya tidak layak menerima apa-apa bantuan.

"Namun perkara ini sudah dibawa dalam mesyuarat di peringkat Kementerian Pertahanan untuk pembelaan bagi membolehkannya mendapat bantuan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan mesra keluarga Yaakob di Batu 4 ½ Simpang Baba, Jalan Bukit Pasir di sini hari ini.

Katanya, tidak wajar Yaakob terus dihukum termasuk ahli keluarganya dan berharap dapat dimaafkan kerana dia mempunyai dua anak orang kurang upaya (OKU) iaitu Mohd. Faezal Hairy, 21 dan Siti Fairus Hanatasia, 17.

Menurut beliau, pihaknya mencadangkan untuk memberikan bantuan membaik pulih rumah agar keluarga tersebut dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa terutamanya kepada dua anak OKU itu.

Kunjungan tersebut disertai oleh Pengerusi PBTM Cawangan Muar, Shamsudin Rais dan 10 ahlinya selain Tajul turut memberikan sumbangan RM400 serta beras untuk meringankan beban keluarga berkenaan.

Isteri Yaakob, Asnah Saat, 45, berkata, dia terharu apabila pihak PBTM mengunjungi rumahnya dan bertemu dua anaknya serta hasrat membantu baik pulih rumah.

"Rumah ini dibina oleh suami secara berperingkat menggunakan wang simpanan tetapi masih ada sedikit kekurangan kerana tidak mempunyai wang mencukupi. Suami kadang-kadang tidak bekerja kerana membantu saya menguruskan kedua-dua anak istimewa kami," ujarnya.

Utusan
10 Dis 2013

0 comments:

Post a Comment