Monday, December 16, 2013

Bomoh didakwa larikan isteri, wang RM20,000

ROZMAN Jamil menunjukkan gambar Zainon Ibrahim dan salinan laporan polis merayu orang ramai bantu mencari isterinya itu yang hilang di Hentian R&R Pagoh, Johor, semalam.

PAGOH 15 Dis. - Seorang ahli perniagaan di sini kini hidup tertekan dan tidak tenteram setelah isterinya serta wang tunai lebih RM20,000 dilarikan seorang lelaki yang mendakwa bomoh handalan dipercayai dari negara jiran sejak lebih sebulan lalu.

Rozman Jamil, 46, dari Kampung Jawa, Panchor berkata, isterinya, Zainon Ibrahim, 41, yang menguruskan gerai buah-buahan mereka di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan Pagoh, hilang sejak pukul 3.30 petang, 2 November lalu.

Dia mendakwa, Zainon mengikut lelaki itu yang berusia lewat 30-an, bertubuh kurus, berkulit hitam manis dan berperwatakan seakan-akan alim dengan kadang-kadang berkopiah selain gemar menghisap rokok keretek.

“Lelaki ini menggunakan nama Azman. Melalui cerita isteri saya sebelum ini, Azman memberinya beberapa botol minyak kononnya sebagai pelaris perniagaan dan menyatakan kedainya perlu dipulihkan kerana terkena buatan orang. Dia kata berasal dari Selangor mendakwa handal dalam mengubati pelbagai penyakit dan melariskan perniagaan.

“Saya pernah menasihati isteri supaya menjauhkan diri tetapi lelaki itu tetap mencari jalan menemui Zainon setiap kali saya tiada di kedai. Sebelum menghilangkan diri, isteri tidak pernah menunjukkan sebarang tanda pelik atau mempunyai masalah dengan saya, begitu juga dengan dua anak kami, Mohd. Naim, 15, dan Norhafifi, 14," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, sejak menghilangkan diri, Zainon terus mematikan telefon bimbitnya sekali gus menyukarkan lagi usaha menjejakinya yang telah dibuat di kampungnya di Sungai Mati, Muar dan di rumah adik-beradik serta saudara-maranya hampir di seluruh negara.

Keadaan itu membuatkan Rozman buntu ditambah lagi laporan yang dibuat di Balai Polis Panchor pada hari isterinya menghilangkan diri tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif.

“Sekarang situasi semakin teruk kerana anak kedua kami demam sejak seminggu lalu kerana sering teringatkan ibunya. Sudah banyak pengamal perubatan tradisional dan ustaz yang saya temui, mereka menyatakan Azman menyihir isteri saya.

“Azman mengambil kesempatan meminta hasil jualan kedai daripada isteri saya setiap hari sehingga mencecah lebih RM20,000 dalam masa tiga bulan dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun bank berbeza," katanya.

Rozman dan isteri mengenali Azman semasa bercuti di Pulau Besar, Melaka, Jun lalu apabila lelaki itu tiba-tiba menghampiri mereka semasa di kedai makan lantas menawarkan diri membantu ‘memulihkan’ kedai sebelum meminta nombor telefon.

Tiga minggu selepas itu, katanya, Azman datang ke kedainya secara senyap-senyap dan bertemu Zainon sebelum memberikan beberapa botol minyak, tasbih dan beberapa barang lain.

Azman meminta Zainon menggunakannya bagi tujuan perniagaan.

Sehubungan itu, Rozman merayu orang ramai yang terjumpa atau ternampak isterinya supaya menghubunginya menerusi 010-7196678 kerana mereka sekeluarga bimbang keselamatan Zainon selain keluarga amat merinduinya.

Utusan
16 Dis 2013

0 comments:

Post a Comment