MUAR 9 Dis. - Seorang wanita terselamat daripada maut apabila berjaya menyelamatkan diri setelah kereta yang dipandunya tiba-tiba terbakar berhampiran bulatan di Jalan Sulaiman di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu, dia yang enggan dikenali dipercayai memandu kereta jenis Honda Civic seorang diri dari arah Jalan Junid menghala ke pusat bandar.
Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di bulatan itu dia ternampak kepulan asap keluar dari bahagian enjin dan segera memberhentikan kereta sebelum dikejutkan dengan api yang marak.
Seorang saksi, Martono Yajim, 40, berkata, ketika kejadian dia memandu selang dua buah kereta di belakang wanita berkenaan dan nampak kenderaan itu bergerak perlahan sebelum berhenti di tepi jalan.
"Mujurlah ketika itu pemandunya sudah keluar menyelamatkan diri kerana jika tidak, tentu perkara lebih buruk akan berlaku," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat daerah ketika dihubungi berkata, sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan.
Bagaimanapun katanya, ketika bomba tiba kereta berkenaan hampir keseluruhan sudah terbakar.
"Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal dan memadamkan api. Punca sebenar kebakaran sedang disiasat," katanya.
Utusan
10 Dis 2013
0 comments:
Post a Comment