OTTO Klaus Mitchell melalui bandar Muar, Johor semalam dalam perjalanan dari Singapura ke Thailand bagi mengutip derma untuk golongan gelandangan United Kingdom.
MUAR 23 Dis. - Bosan dengan kesakitan dialaminya, seorang pemuda dari London berazam berjalan kaki secara solo merentasi Semenanjung Malaysia dalam usaha untuk membantu Rumah Kebajikan Shelter yang khusus untuk membantu golongan gelandangan di United Kingdom.
Otto Klaus Mitchell, 23, sudah lebih tiga minggu berjalan kaki bermula dari Singapura pada 26 November lalu dengan sasaran untuk sampai ke Thailand dengan jarak keseluruhan 1,000 kilometer.
Beliau yang ditemui ketika sampai di bandar ini baru-baru ini berkata, usahanya itu adalah satu cabaran baharu buatnya dan dilakukan semata-mata untuk membantu golongan gelandangan di negara kelahirannya itu.
Katanya, motivasi untuk berjalan merentasi Malaysia timbul apabila berasa bosan dengan kaki kanannya yang sakit akibat penyakit 'post thrombotic syndrome' selepas kecederaan ketika bermain bola sepak.
"Penyakit ini membuatkan kaki saya sakit apabila kerap duduk atau berdiri, kerana itu saya mengambil keputusan untuk berjalan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mitchell mengaku menggemari aktiviti lasak, malah sebelum ini pernah mengembara selama tiga tahun dengan mengayuh basikal merentasi Amerika Selatan.
Cabaran itu dilakukan untuk kepuasan peribadi, namun usahanya kali ini bagi membantu rumah kebajikan itu dan memilih Malaysia kerana negara ini selamat serta rakyatnya peramah.
"Saya hanya membawa sedikit wang dan mahu berjalan kaki hingga ke utara Semenanjung sebelum memasuki Thailand dan pulang ke UK. Saya jangkakan boleh sampai dalam tempoh antara dua hingga tiga bulan.
"Pada mulanya saya merancang untuk tidur dalam khemah di mana-mana saja saya berhenti, tetapi hujan menyebabkan saya tidak berani melakukannya apatah lagi sebelum ini saya terjumpa seekor ular berhampiran khemah saya.
"Buat masa ini saya hanya menyewa hotel murah," katanya sambil berharap akan dapat menyumbang sebanyak £1,000 (kira-kira RM5,000) menerusi usahanya itu dan hingga kini sudah menerima hampir separuh daripada sasaran itu menerusi sumbangan dermawan dari seluruh dunia.
Sumbangan boleh dihulurkan menerusi pembayaran dalam talian atau melayari laman sesawang http://www.justgiving.com/ klaus-mitchell untuk maklumat lanjut.
Utusan
24 Dis 2013
0 comments:
Post a Comment