Saturday, December 21, 2013

Dapur rumah tanpa dinding

Ishah dibahagian dapur yang tidak berdinding bersama dua cucunya.

Pegawai Penerangan Daerah Muar, Hanan Mohd Yusof (kiri) turut membantu gotong royong membaiki Ishah

MUAR - Memasak menggunakan kayu api tidak dianggap pelik di negara yang sudah 56 tahun mencapai kemerdekaan.

Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila masih ada keluarga yang tinggal dalam rumah usang dengan keadaan dapur tidak berdinding.

Itu hakikat kehidupan dilalui pasangan suami isteri, Yani Ali, 62, dan Ishah Mohamad, 63, dari Kampung Parit Kachau, Seri Menanti, dekat sini, lebih 40 tahun lalu.

Kediaman terbabit dianggap syurga buat warga emas berkenaan meskipun hampir 60 peratus bumbung rumah mengalami kebocoran selain lantai dan dinding kian mereput dimakan anai-anai sekali gus menunggu masa untuk rebah menyembah bumi.

Ishah berkata, rumah berusia lebih 40 tahun yang pada asalnya hanyalah sebuah pondok dan kemudian diperbesarkan dengan tiang rumah menggunakan batang pokok hutan itu dibina sendiri oleh suaminya.

Katanya, rumah terbabit turut dihuni anak menantu serta dua cucunya yang baru berpindah dari Segamat.

“Tidur malam kami sering terganggu sekiranya hujan kerana terpaksa bangun mencari bahagian rumah yang tidak bocor untuk berlindung.

“Pendapatan saya sebagai penoreh getah dan suami yang sebelum ini bekerja sebagai pemotong buah sawit yang tidak seberapa telah halang niat untuk baiki rumah.

“Tapi suami sudah setahun tidak bekerja kerana menghidap penyakit sukar membuang air kecil. Saya terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga,” katanya.

Ibu kepada lapan cahaya mata itu berkata, setiap hari sekitar jam 6.30 pagi, dia memulakan tugas mengambil upah menoreh getah milik rakannya di Kampung Parit Karjo sehingga jam 10.30 pagi.

“Pendapatan bulanan RM250 hasil menoreh getah digunakan untuk menyara kehidupan. Saya perlu berjimat cermat ketika berbelanja supaya wang itu mencukupi sehingga hujung bulan.

“Makan tengahari sering berlaukkan sayuran kampung yang dipetik di kawasan sekitar rumah. Kadang-kadang sehingga seminggu tidak makan lauk ikan,” katanya.

Ishah mengakui pernah membuat permohonan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) beberapa tahun lalu, tetapi tidak berjaya dan kegagalan itu membuatkannya serik untuk membuat permohonan semula.

Katanya, meskipun mempunyai anak yang ramai, dia tidak pernah meminta anak-anaknya untuk membina rumah baru kerana memahami kehidupan masing-masing.

Katanya, dia bersyukur apabila pemimpin setempat begitu prihatin dengan kehidupannya sehingga menerima bantuan membaik pulih rumah bernilai hampir RM4,000 menerusi program Gotong Royong Antara Komuniti 1Malaysia Mukim Seri Menenti.

“Bantuan ini merangkumi kerja baik pulih bahagian anjung dan menggantikan zink yang bocor. Ia sekali gus memberikan keselesaan kepada keluarga kerana tidak lagi terkena air hujan dalam rumah,” katanya.

Sinar Harian
21 Dis 2013

0 comments:

Post a Comment