REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Monday, June 8, 2015

Menang RM50,000 cipta trak pelbagai guna


Trak pelbagai guna ciptaan Zakaria telah memenangi johan Anugerah Ilham Desa peringkat kebangsaan 2015

MUAR – Menjadi satu kebanggaan kepada warga Mukim  Ayer Hitam, di sini apabila produk inovasi yang dihasilkan anak tempatan mukim berkenaan memenangi johan Anugerah Ilham Desa peringkat kebangsaan 2015, baru-baru ini.

Zakaria Selamat, 67, merupakan pencipta asal gerabak atau trak pelbagai guna iaitu sejenis pengangkutan membawa hasil pertanian yang cukup terkenal di mukim berkenaan sejak puluhan tahun lalu, dan kreativitinya itu kini diiktiraf kerajaan menerusi kemenangan tersebut.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Zakaria meraih hadiah wang tunai RM50,000 serta lawatan ke luar negara yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Rembau, Negeri Sembilan.

Penghulu mukim tersebut, Mohd Afezan Yahya berkata, Zakaria atau lebih dikenali sebagai Wak Jakan mewakili negeri ini bagi pertandingan tersebut bersama peserta lain dari 13 negeri.

Menurutnya, terdapat tujuh kategori dalam pertandingan bertemakan Komuniti Kreatif Desa Kreatif,  bertujuan mengetengahkan ilham dan inovasi penduduk kampung dari segi projek-projek yang dijalankan untuk meningkatkan pendapatan penduduk.

“Saya terpanggil mengajak Wak Jakan menyertai pertandingan itu untuk menonjolkan bakat lain, apatah lagi dia merupakan pencipta asal trak pelbagai guna ini dan alhamdulillah dia bersetuju.

“Beberapa pembuat jentera ini yang lain sudah ditonjolkan oleh pemimpin terdahulu sebelum ini.

"Kita mahu lebih ramai bakat penduduk di sini diiktiraf pihak luar,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kompleks Penghulu Mukim Ayer Hitam, di sini semalam.

Mohd Afezan berkata, jentera itu sebelum ini sinonim dengan panggilan gerabak tetapi ditukar kepada baharu yang mempunyai nilai komersial iaitu trak pelbagai guna untuk tujuan pertandingan tersebut.

“Terdapat antara lima hingga lapan pengusaha jentera tersebut di mukim berkenaan, sementara lebih 500 penduduk di sini memiliki trak pelbagai guna ini.

“Momentum kemenangan akan diteruskan dengan menggalakkan lebih ramai belia mukim ini untuk menghasilkan produk baharu berinovasi tinggi dan pada masa yang sama memberi nilai tambahan kepada Mukim Ayer Hitam,” katanya.

Menurutnya, pembuatan jentera yang menggunakan enjin motosikal jenis Vespa serta digabungkan dengan besi-besi itu, amat sesuai digunakan untuk kegiatan pertanian bagi kawasan tanah gambut.

Sinar Harian
6 Jun 2015

Sunday, June 7, 2015

Penduduk cemas ribut landa kampung di Pagoh


MUAR - Beberapa penduduk Batu 10, Kampung Paya Panjang, Sungai Raya, Pagoh di sini menempuh saat cemas apabila ribut melanda kampung itu petang semalam.

Ribut selama 10 minit itu disusuli hujan batu dan turut merosakkan enam rumah penduduk selain menumbangkan beberapa batang pokok dalam kejadian kira-kira 5 petang itu.

Seorang penduduk, Zulkifli Enjah, 54, berkata, ketika kejadian beliau berada di beranda rumah sebelum ribut kencang yang disusuli hujan batu dan guruh melanda kampung itu.

"Saya ketika itu bersama isteri dan ahli keluarga lain sedang sibuk menyiapkan masakan untuk kenduri tahlil pada sebelah malam. Banyak dahan pokok durian di hadapan rumah pada masa itu patah dipukul angin kencang," katanya.

Beliau mendakwa melihat seperti kepulan kabus besar datang menghala ke arah rumah menyebabkan dirinya bersama keluarga berpaut pada tingkap akibat angin kencang.

"Alhamdulillah hanya beberapa keping zink rumah dan garaj kereta melayang ditiup angin manakala semua anggota keluarga tidak cedera," katanya.

Seorang lagi mangsa, Abu Ibrahim, 61, berkata, ketika kejadian dia berada di kebun getahnya di Kampung Jayor, Pagoh dan mengetahui rumahnya rosak akibat bencana itu apabila diberitahu jirannya.

"Saya segera pulang ke rumah dan mendapati sebahagian bumbung dapur sudah tercabut diterbangkan angin sejauh 50 meter.

"Pada masa itu, hanya isteri dan tiga anak ada di rumah. Saya bersyukur kesemua ahli keluarga selamat," katanya.

Seorang ibu tunggal Noriah Marzuki, 55, berkata ketika kejadian dia terdengar bunyi kuat di bahagian bumbung dan serta-merta bahagian ruang tamu rumah dimasuki air hujan.

"Saya bersama anak bongsu terpaksa berlindung di dalam bilik kerana bimbang keadaan menjadi lebih buruk. Bahagian ruang tamu rumah habis basah dipenuhi air hujan," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Datuk Senator Noriah Mahat berkata, Jawatankuasa Parlimen Pagoh mengambil tindakan proaktif membantu kesemua mangsa terlibat termasuk sudah melakukan dua lawatan ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan insiden tersebut.

"Kami turut membawa wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat bertemu dengan mangsa untuk mengenal pasti bentuk bantuan bersesuaian yang akan diberikan kepada mereka," katanya. - Bernama

7 Jun 2015


Nyaris diterbangkan angin kencang

Nyaris diterbangkan angin kencang Noriah melawat rumah Abu yang bumbungnya diterbangkan ribut.

MUAR - Kira-kira 30 penduduk menempuh detik mencemaskan dalam kejadian ribut yang melanda Batu 10, Kampung Paya Panjang, Sungai Raya, Pagoh, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan enam rumah penduduk mengalami kerosakan pada bumbung akibat angin kencang selama 10 minit itu.

Mangsa, Zulkifli Enjah, 54, berkata, dia tidak menyangka hujan kasar seakan-akan hujan batu berserta angin kencang dan guruh boleh menyebabkan bencana seperti itu.

Menurutnya, ketika itu, dia berada di beranda rumah bersama isteri dan ahli keluarga lain yang sedang sibuk menyiapkan masakan kenduri tahlil pada sebelah malam.

“Banyak dahan pokok durian di dusun hadapan rumah patah dan kami nampak kepulan kabus besar seperti asap datang menghala ke arah rumah.

“Bila kepulan itu menghampiri rumah, saya dapat rasa tekanan angin kuat sampai terpaksa berpaut pada tingkap elak daripada diterbangkan angin,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, mujur angin itu tidak tepat ketika melintasi bumbung rumah dan hanya menerbangkan beberapa keping zink pada garaj kereta.

Mangsa, Abu Ibrahim, 61, berkata, ketika kejadian dia berada di kebun getahnya di Kampung Jayor, Pagoh, dan mengetahui rumahnya terlibat bencana tersebut apabila diberitahu jiran.

“Saya segera pulang dan mendapati sebahagian bumbung dapur sudah tercabut diterbangkan angin sejauh 50 meter di kawasan tanah lapang bersebelahan rumah.

“Masa itu, hanya isteri dan tiga anak ada di rumah dan mereka menceritakan pengalaman berdepan detik tersebut. Syukur kesemua ahli keluarga selamat,” katanya.

Ibu tunggal, Noriah Marzuki, 55, berkata, dia terdengar bunyi kuat di bahagian bumbung dan serta-merta ruang tamu rumah dimasuki hujan, sebaik selesai menunaikan solat Asar.

“Saya bersama anak bongsu terpaksa berlindung dalam bilik kerana bimbang keadaan jadi lebih buruk. Ruang tamu rumah banjir dipenuhi hujan.

“Saya bersihkan rumah apabila hujan berhenti jam 6 petang dan bersyukur tidak berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Pagoh, Datuk Senator Noriah Mahat berkata, jawatankuasa Parlimen Pagoh membantu kesemua mangsa terlibat termasuk sudah melakukan dua lawatan ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan insiden tersebut.

“Kita turut membawa wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Muar bertemu mangsa untuk mengenal pasti bentuk bantuan bersesuaian yang akan diberikan kepada mereka.

“Tindakan awalan, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pagoh akan membantu mangsa untuk membaik pulih semula kerosakan dengan menanggung sebahagian daripada kos tersebut,” katanya.

Sinar Harian
8 Jun 2015

Saturday, June 6, 2015

Peniaga kerugian hampir RM1 juta

Pasukan bomba bertungkus lumus memadamkan api bagi mengelakkan kebakaran merebak ke bangunan berhampiran

MUAR – Seorang peniaga perabot, barangan elektrik dan sarang burung walet mengalami kerugian hampir RM1 juta apabila premisnya di Jalan Jorak, Pekan Bukit Pasir, di sini, musnah terbakar.

Kebakaran membabitkan dua blok bangunan tiga tingkat itu hanya disedari penduduk berhampiran selepas terlihat kepulan asap hitam keluar daripada tingkat bawah premis berkenaan sebelum menghubungi pihak bomba untuk bantuan kecemasan dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi.

Pemilik premis terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 60-an, berkata, dia mengetahui insiden itu selepas menerima panggilan telefon daripada adik yang tinggal di kawasan berhampiran.

"Saya yang tinggal di bandar bergegas kedai dan terkejut melihat api menjulang tinggi membakar keseluruhan bangunan perniagaan yang berusia lebih 10 tahun.

“Saya sangat terkejut serta tergamam kerana seperti sukar hendak percaya kebakaran berlaku di kedai ini. Tingkat bawah bangunan menempatkan barangan jualan perabot dan elektrik, tingkat kedua ialah bilik pameran perabot manakala tingkat ketiga pula ternakan sarang burung walet,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Marzuki Ismail berkata, seramai 22 anggota terlibat dalam operasi berkenaan termasuk pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir sebaik menerima panggilan kecemasan jam 7.52 pagi.

"Bomba terpaksa mengambil tindakan memecahkan pintu utama premis berkenaan bagi tujuan memadamkan api yang sedang marak di bahagian dalam tingkat bawah bangunan.

“Kita ambil masa selama 10 minit pada peringkat awal operasi untuk mengawal api daripada merebak ke deretan 10 kedai lain yang  berhampiran," katanya.

Beliau berkata, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Yunus Daim dapat dilakukan dengan mudah kerana mendapat bekalan air mencukupi daripada pili bomba yang terdapat di kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, dua kedai terletak di sebelah kiri dan kanan bangunan itu sedikit terjejas tetapi tindakan pantas pasukan berjaya menyelamatkan daripada musnah," katanya.

Marzuki berkata, punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihaknya.

Sinar Harian
6 Jun 2015

Monday, June 1, 2015

Port belakang tokong diserbu

Azman menunjukkan peralatan perjudian yang dirampas termasuk wang tunai dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini semalam.

MUAR - Tindakan berani lapan kaki judi tegar menjadikan belakang sebuah tokong Cina di Bukit Pasir, di sini sebagai ‘port’ baharu bermain judi mengundang padah apabila ditahan Jumaat lalu yang membabitkan rampasan melebihi RM220,000.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kesemua mereka itu mempunyai 20 rekod lampau berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953  dan jenayah pada tahun  1983 hingga 1989.

Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar itu turut menahan sembilan kaki judi yang lain.

“Ketika serbuan, kesemua mereka sedang mengelilingi sebuah meja empat segi yang dipercayai sedang  leka bermain judi jenis dadu.

“17 suspek  yang ditahan itu  terdiri daripada 12 lelaki berusia antara 49 hingga 63 tahun, empat perempuan (61 hingga 73 tahun) dan seorang wanita warganegara Vietnam berusia 27 tahun,” katanya dalam sidang media di IPD Muar, di sini semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi serbuan menemukan wang tunai berjumlah RM151,892, cip judi bernilai RM70,185 dan peralatan judi yang lain.

Katanya, tindakan ke atas suspek dilakukan hasil daripada maklumat orang awam  dan intipan yang dilakukan selama dua hari di belakang tokong tersebut.

“Hasil siasatan mendapati suspek sering bertukar lokasi perjudian bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 2 Jun ini  untuk membantu siasatan dan mereka juga negatif dadah berdasarkan ujian air kencing yang dilakukan ke atasnya,” katanya.

Azman berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah ataupun judi yang berlaku dalam kawasan berhampiran kediaman mereka.

Kata Azman lagi, ia sebagai usaha untuk mewujudkan suasana kediaman yang selamat dan kondusif kepada orang ramai.

Sinar Harian
1 Jun 2015


Polis rampas dadah, senapang angin

MUAR - Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita dan merampas dadah jenis heroin dan syabu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Bukit Pasir di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, polis juga turut menemui selaras senapang angin buatan sendiri di rumah itu dalam serbuan 5.15 petang 21 Mei lalu.

"Polis menemui dadah dipercayai syabu seberat 2.7 gram dan dadah disyaki heroin seberat 16 gram dalam serbuan itu dan selaras senapang angin buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

"Ketika serbuan polis menahan tiga lelaki berumur 25, 30 dan 37 tahun. Serta seorang wanita berumur 21 tahun dalam keadaan khayal dan kesemua dadah yang dirampas itu bernilai lebih RM5,000," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, ujian air kencing mendapati keempat-empat suspek positif methamphetamine dan mereka dipercayai mengambil dadah sebelum serbuan itu.

Sementara itu, seorang peneroka maut selepas kereta dipandunya terbabas di Kilometer 139.4 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Selatan) berdekatan Pagoh, di sini malam tadi.

Azman berkata dalam kejadian 9.30 malam itu, Bachok Latamah, 68, yang berasal dari Felda Tunggal, Kota Tinggi maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.

Katanya kemalangan itu melibatkan dua kereta lain dan mangsa bersama seorang rakannya dalam perjalanan ke rumah mereka di Kota Tinggi dari Kuala Lumpur. Rakan mangsa tidak mengalami kecederaan.

"Proton Persona dipandu Bachok hilang kawalan lalu terbabas ke kiri dan kanan lebuh raya serta berpusing beberapa kali sebelum terhenti di tengah lebuh raya berkenaan sebelum dua kenderaan lain dari arah belakang iaitu kereta BMW dan Honda Civic tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan mangsa," katanya.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya. - Bernama

28 Mei 2015

Polis berjaya tahan 472 warga asing

MUAR - Polis berjaya menahan seramai 472  warga asing di daerah ini dari pelbagai negara menerusi 36 operasi yang dilakukan pada 1 Januari hingga 27 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, daripada jumlah tersebut ia  melibatkan 255  lelaki dan 217 wanita dalam operasi bersepadu yang dilakukan di sekitar daerah ini dengan 1475 pemeriksaan.

“Kesemua warga asing terbabit  daripada negara China, Indonesia, Myanmar, Thailand, Vietnam, India dan Nepal.

“Warga asing paling ramai ditahan dari Indonesia iaitu 137 orang diikuti Thailand (123 orang), Vietnam (79 orang), Myanmar (52 orang), China (19 orang), Nepal (lapan orang) dan India (empat orang),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini semalam.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dipercayai melakukan beberapa kesalahan seperti ketiadaan pas dan permit yang sah, tinggal melebihi tempoh masa pas dan kesalahan menyalahgunakan  pas lawatan sosial.

Katanya, mereka disiasat di bawah Seksyen 39b Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 55B Akta Inigresen 1959/63.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Azman berkata, pihaknya turut menahan 67 warga asing wanita dalam Ops Noda bagi tempoh yang sama kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti tidak bermoral iaitu  pelacuran.

Katanya, ia terdiri daripada 42 warganegara Vietnam; Thailand (13 orang), China (lapan orang) dan Indonesia (empat)

Tambahnya, kesemua mereka dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

Sinar Harian
1 Jun 2015