REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Wednesday, June 30, 2010

Operasi kilang ganggu penduduk

JALAN BAKARIAH - Hasrat kira-kira 300 penduduk di sini untuk hidup dalam suasana persekitaran yang bersih dan selamat musnah dengan kewujudan sebuah kilang perabot berhampiran kediaman mereka.

Kilang perabot yang mula beroperasi sejak dua tahun lalu telah memberikan penderitaan kepada penduduk di sini.

Pada mulanya, tempat itu dikatakan sebagai tempat menyimpan barang tetapi telah disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Penduduk mendakwa, sejak kewujudan kilang berkenaan mengakibatkan pencemaran bunyi berlebihan di samping pencemaran bau dan habuk serta keselamatan mereka turut terancam.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kedudukan kilang itu terlalu hampir dengan rumah penduduk di sini.

Kedudukan kilang itu dengan rumah penduduk yang berhampiran hanya pada jarak kira-kira satu meter dan hanya dipisahkan pagar di situ.

Salah seorang penduduk, Adah Mohd Yusof, 48, berkata, pelbagai langkah telah dilakukan penduduk kediaman berkenaan termasuk membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan berbincang dengan pemilik kilang namun sehingga ke hari ini masih tiada penyelesaiannya.

Menurutnya, sejak kewujudan kilang itu, kehidupan penduduk di sini menjadi tidak tenteram kerana setiap hari mereka diganggu dengan bunyi bising yang kuat bermula pagi sehingga lewat malam.

“Tidak cukup dengan itu, setiap hari saya juga terpaksa menahan bau yang menusuk hidung dan meloyakan dipercayai berpunca daripada semburan bahan kimia pada perabot kilang berkenaan.

“Saya sudah tidak sanggup lagi untuk terus berhadapan keadaan seperti ini kerana sering sakit kepala akibat terlalu kerap menghidu bau bahan kimia yang kuat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Katanya, kilang itu juga tidak dilengkapi dengan sistem saliran yang sistematik menyebabkan air sisa daripada kilang itu dibiarkan mengalir ke kawasan rumahnya.

“Saya bimbang kerana air sisa dari kilang ini mengandungi bahan kimia yang boleh memudaratkan saya sekeluarga,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Ismail, 71, berkata, sebelum ini, MPM pernah mengarahkan kilang haram itu menghentikan semua operasinya serta merta pada April 2008.

“Namun penutupan operasi ini hanya sementara apabila pemilik kilang ini melanggar arahan MPM dan memulakan semula operasi kilang kira-kira empat bulan lalu,” katanya.

“Isu kilang ini juga telah mendapat perhatian dan pernah disiarkan dalam sebuah televisyen swasta,” katanya.

Katanya, pembinaan kilang itu tidak sesuai kerana dibina dalam kawasan perkampungan dan terlalu hampir dengan rumah penduduk.

“Sebelum ini, pemilik kilang pernah mengatakan akan berpindah ke kawasan lain namun sehingga ke hari ini mereka masih berada di sini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rosnita Sofian, 28, berkata, penduduk di sini sudah tahan lagi untuk menanggung penderitaan yang dibuat kilang berkenaan.

Menurutnya, pemilik kilang itu seolah-olah tidak menghormati penduduk kerana sering mengeluarkan bunyi bising terutama pada waktu malam.

“Rumah saya juga sering dicemari debu yang dipercayai berpunca daripada habuk kayu yang dilepaskan ke rumah penduduk,” katanya.

Selain itu, penduduk di sini juga terdedah dengan ancaman penyakit berbahaya.

Katanya, ada di antara penduduk telah menghidap batuk dan sehingga ke hari ini masih belum sembuh sepenuhnya.

Malahan mereka juga mengalami masalah penyakit kulit seperti alahan.

Sinar Harian
29 Jun 2010

Pagoh bakal jadi hub IPTA

KUALA LUMPUR - Beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan membuka cawangan baru di Pagoh, untuk menjadikan kawasan di utara Johor sebagai salah satu hub pengajian tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 itu masih di dalam perancangan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Pembangunan hub pengajian tinggi itu diharap akan menyamai serta memanfaatkan pembangunan Educity, Iskandar di Nusajaya Johor yang mana ia lebih tertumpu kepada pembinaan kampus IPT dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Management Development Institute of Singapore (MDIS) dengan Education@Iskandar Sdn Bhd (EISB) bagi pembinaan kampus cawangan MDIS di Educity, di sini, semalam.

Mohamed Khaled berkata, pembukaan kampus cawangan IPT dari luar negara di Educity akan membantu hasrat Malaysia menjadi hub pendidikan serantau.

Beliau berkata, Fasa Satu Educity bermula dan diharapkan akan beroperasi pada 2013 dengan empat universiti termasuk MDIS dengan kemasukan kira-kira 4,000 pelajar tempatan dan antarabangsa.

“Di bawah Fasa Dua, empat lagi universiti asing dijangka menubuhkan kampus cawangan masing-masing dan ini akan menggandakan enrolmen pelajar,” katanya.

MDIS merupakan institut pendidikan pertama negara yang menubuhkan sebuah kampus di Educity, Iskandar.

MDIS Kampus Malaysia akan menerima kemasukan 2,000 pelajar bila fasa pertama pembangunannya siap pada 2013.

Kampus siap sepenuhnya menjelang 2023, akan menawarkan kursus dalam pengurusan perniagaan, komunikasi massa, teknologi maklumat, media digital, pengembaraan dan pelancongan.

Sinar Harian
29 Jun 2010

Kami sudah lali

LEDANG - Penduduk di Kampung Ponorogo di sini, sudah lali dengan banjir yang kerap melanda kawasan kediaman mereka.

Salah seorang mangsa banjir, Ramlah Abdul Hamid berkata, insiden rumahnya dinaiki air ketika hujan lebat bukan sesuatu yang luar biasa malah ahli keluarganya sentiasa bersedia menghadapi banjir pada bila-bila masa.

“Jika hujan lebat sehari semalam, rumah kami mesti dimasuki air dan kami menghadapinya dua kali setahun.

“Jika banjir kilat, kami sekeluarga hanya mampu menghadapinya dengan sabar dan sementara menunggu air surut kami akan bermalam di surau,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pusat pemindahan sementara mangsa banjir iaitu di Surau Kampung Ponorogo di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa banjir, Khayati Sarindin berkata, banjir kilat yang sering menimpa kampung ini menyebabkan beliau kerugian harta benda termasuk perabot.

“Kami harap pihak berkuasa memberi bantuan dari segi kewangan bagi membaiki rumah yang rosak akibat banjir.

“Kami tidak mampu untuk membaiki rumah yang rosak akibat banjir kerana ia sering berlaku di kampung ini,” katanya.

Walaupun banjir sudah tiga hari berlaku, tinjauan Sinar Harian mendapati air masih belum surut di mana pihak Jabatan Kerja Raya Ledang terpaksa memasang pancang penanda aras banjir di kawasan yang kritikal.

Selain rumah kediaman, jalan utama ke kampung itu yang turut dinaiki air menyukarkan laluan penduduk kampung untuk keluar bekerja dan ke sekolah.

Ketua UMNO Cawangan Parit Ponorogo yang juga Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan Kampung (JKKK) Parit Bunga, Isnin Mansor berkata, lapan keluarga mangsa banjir di sini mungkin dibenarkan pulang ke rumah pada esok hari jika banjir surut.

Sinar Harian
29 Jun 2010


Isu banjir selesai


LEDANG - Masalah banjir yang sering berlaku di Kampung Parit Ponorogo mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

Yang DiPertua Majlis Daerah Tangkak, Amran Abd Rahman berkata, cadangan peruntukan bagi penambahbaikan sistem perparitan, pengairan dan saliran di Kampung Parit Ponorogo telah dimasukkan ke dalam belanjawan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diberi keutamaan dan tanggungjawab dalam menyelesaikan masalah banjir ini dan pihaknya akan memainkan peranan penting memastikan ia diselesaikan segera.

“Memang diakui kawasan kampung ini sering dilanda banjir kerana secara semula jadinya ia berada pada paras rendah dan tanah jenis gambut.

“Kes banjir kali ini disebabkan oleh hujan lebat dan juga air pasang di Sungai Muar yang melimpah ke kampung ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Amran sempat meluangkan masa melawat mangsa banjir di pusat penempatan sementara di Surau Kampung Ponorogo selain meninjau kawasan yang dilanda banjir kilat di kampung itu.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Ledang yang memberi bantuan makanan, keperluan asas, selimut dan tikar kepada mangsa banjir.

Beliau berkata, bagi menyelesaikan masalah banjir ini dalam masa terdekat, pihaknya akan menjalankan kerja pembersihan parit dan longkang di kampung ini.

“Kita akan menjalankan kerja membersihkan parit dan longkang yang tersumbat segera bagi memudahkan pengaliran air,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk di kampung ini yang bercadang membina rumah kediaman supaya memikirkan perkara itu dalam jangka masa panjang.

“Jika ada permintaan mendapatkan lesen membina rumah kediaman, MDT akan meminta mereka menambak kawasan itu lebih tinggi bagi mengelakkan banjir,” katanya.

Sinar Harian
29 Jun 2010

Monday, June 28, 2010

Laluan maut

20 keluarga terperangkap

HASNAH Malik (kanan) bersama ahli keluarga di luar rumahnya yang digenangi banjir selama tiga hari di Kampung Parit Raja, Jalan Temenggong Ahmad, Muar, semalam.

MUAR 27 Jun - Kira-kira 20 keluarga di Kampung Parit Raja, Jalan Temenggong Ahmad di sini terperangkap di dalam rumah selama tiga hari akibat banjir yang disebabkan limpahan air parit tersumbat.

Hujan selama dua jam sahaja sudah cukup untuk menimbulkan resah para penduduk kerana limpahan air itu turut memasuki bahagian rumah dan membataskan kehidupan seharian mereka.

Menurut seorang penduduk, Hasnah Malik, 58, kejadian banjir itu mula berlaku pada Jumaat lalu selepas hujan lebat pada kira-kira pukul 4 pagi.

"Air dari parit di depan rumah saya ini melimpah dan keluarga saya menjadi kelam-kabut kerana sebahagian daripada rumah saya dimasuki air setinggi paras buku lali.

"Kami sangka banjir ini akan surut semalam tetapi hujan selama dua jam pagi tadi menyebabkan air sekali lagi masuk ke dalam rumah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kata Hasnah, dia percaya masalah banjir akibat limpahan air parit itu berpunca daripada laluan air di bawah Jalan Temenggong Ahmad yang tersekat dan tidak dapat mengalirkan air dengan baik.

"Selagi lubang saliran air itu tidak diselenggara atau ditukar baru, selagi itu masalah banjir ini akan menimpa penduduk di Kampung Parit Raja," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Norfadzlin Fadzil, 21, berkata, kejadian banjir itu adalah yang pertama untuk tahun ini dan dia bimbang situasi sama akan berulang jika langkah untuk mengatasinya tidak diambil pihak berkuasa.

"Disebabkan masalah banjir ini, banyak penduduk kampung yang tidak dapat tidur di rumah sendiri dan terpaksa menumpang di rumah jiran.

"Saya berharap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat melihat sendiri masalah ini dan menyelenggara parit di kawasan rumah kami ini kerana aliran di bahagian lain tidak nampak pun bermasalah," katanya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat guaman.

Sementara itu, menurut seorang lagi penduduk, Mohd. Raya Sharif, 44, segala urusan kerja dan persekolahan anak-anaknya terganggu akibat masalah banjir yang berpunca daripada limpahan air di parit di depan rumahnya.

Utusan
28 Jun 2010

Tuesday, June 22, 2010

'Kerana kakak tertidur'



MUAR: Setakat manalah sangat kudrat seorang kanak-kanak yang baru berusia 12 tahun, apatah lagi untuk menjaga adik sepanjang hari ketika ketiadaan ibu bapa di rumah.

Akibat tertidur sekejap di ruang tamu, adik bongsunya berusia 16 bulan yang dijaganya ketika ibu bapa keluar bekerja, ditemui tersembam dalam sebuah akuarium yang diletakkan di lantai dapur.

Bayi yang bertarung nyawa selama 14 jam selepas ditemui berkeadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dalam akuarium di rumahnya di Jalan Ismail di sini, kelmarin, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Dalam tragedi malang itu, mangsa, Nurul Najwa Atika, yang tidak diawasi selepas kakak sulungnya tertidur di ruang tamu, dipercayai tertarik untuk bermain dengan pelbagai ikan peliharaan dalam akuarium yang diletakkan di atas lantai dapur.

Ketika kejadian, tiada orang dewasa di rumah itu kerana bapanya, Robin Gantilan, 37, bekerja di sebuah ladang manakala ibu, Norbayah Salbi, 35, bekerja di sebuah kantin sekolah berhampiran.

Menceritakan detik yang tidak dapat dilupakan isterinya itu, Robin berkata, Norbayah pulang dari kantin untuk menjenguk anak di rumah, kira-kira jam 11 pagi.

“Ketika kejadian saya bekerja di ladang manakala isteri terpaksa meninggalkan anak kerana bekerja di kantin sekolah tidak jauh dari rumah,” katanya.

Menurutnya, sebaik sampai dia mendapati anak bongsu daripada empat beradik itu tiada, manakala anak sulungnya berusia 12 tahun sedang nyenyak tidur di ruang tamu.

Katanya, isterinya mula cemas dan terus mencarinya di sekitar kawasan rumah sebelum terkejut besar apabila menjumpai bayi itu tersembam ke dalam akuarium di dapur.

Robin berkata, ketika ditemui anaknya itu masih bernafas dan isteri dengan bantuan jiran bergegas membawanya mendapatkan rawatan di HPSF sebelum dimasukkan ke ICU kerana Nurul Najwa tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, katanya, Nurul Najwa disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 1 pagi ketika dirawat di ICU hospital berkenaan.

Katanya, kejadian itu mengejutkan mereka kerana tidak menyangka akuarium diletakkan di bawah dan menempatkan beberapa jenis ikan akan meragut nyawa anak kesayangan mereka yang dipercayai asyik melihat ikan sebelum jatuh tertumus.

“Allahyarham seorang periang dan manja menyebabkan kami benar-benar terasa kehilangannya, tambahan pula kejadian itu tidak disangka akan menimpa kami sekeluarga,” katanya.

Jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Jalan Bakri, selepas solat Zuhur, semalam.

Keluarga Robin berasal dari Sabah dan sudah 15 tahun menetap di Muar.

Oleh Junita Mat Rasid
myMetro
30 April 2010

Mayat dua beradik terjatuh ke dalam Sungai Muar ditemui

MUAR 27 April – Polis hari ini menemui mayat pasangan adik-beradik yang terjatuh ke dalam Sungai Muar semasa menunggang motosikal berhampiran jeti Parit Bunga di sini semalam.

Mayat Mohd. Fadli Razak, 15, dijumpai terapung-apung berhampiran Pengkalan Tiram di sini pada pukul 11.55 pagi, manakala mayat adiknya, Mohd. Syafiq, 11, ditemui pada pukul 5 petang tidak jauh dari tempat kejadian.

Ketua Polis Marin Muar, ASP Lajis Tahir berkata, kedua-dua mereka dipercayai terjatuh ke dalam sungai kira-kira 1 petang.

"Kemalangan berlaku semasa Mohd. Fadli membawa adiknya pulang dari sekolah,” katanya.

Mohd. Fadli sudah tidak bersekolah sementara Mohd. Syafiq adalah murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Parit Bunga.

Motosikal mangsa belum ditemui. – Bernama

27 April 2010


Mengemis urus jenazah

MUAR: Siapa sangka, tragedi mengorbankan dua beradik Muhammad Fadzly, 15 dan Muhamad Syafiq Razak, 11, pada Isnin lalu akhirnya membongkar episod duka kehidupan sebuah keluarga yang hidup daif sejak 20 tahun lalu serta terpinggir daripada bantuan kerajaan.

Malah, pasangan suami isteri, Razak Manap, 52 dan Zuliha Yahya, 42, terpaksa mengemis dan mengharap belas ihsan adik-beradik mereka bagi menguruskan pengebumian dua jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, di sini, semalam. Kehadiran wartawan Harian Metro, semalam antara saat dinantikan keluarga terbabit kerana selain sedih kehilangan dua anak, mereka mempunyai kisah duka yang ingin dikongsi bersama.

Ketika mula-mula ditanyakan perasaannya, Zuliha hanya menjawab ringkas: “Ibu mana yang tidak sedih kehilangan anak?” Kemudian bermulalah episod pembongkaran kisah hidup menyayat hati sembilan sekeluarga yang sebenarnya jauh lebih menyedihkan daripada tragedi terbaru kehilangan dua beradik itu.

Zuliha berkata, kedua-dua Allahyarham pelajar cemerlang dan pintar di dalam kelas, namun Muhammad Fadzly berhenti sekolah bermula tahun ini kerana keluarganya tidak mampu membayar yuran persekolahan.

Menurutnya, sejak berhenti bersekolah, Allahyarham Muhammd Fadzly membantu menguruskan hal dua adik lain yang masih bersekolah dan dia tidak pernah merungut walaupun sedar masa depannya mungkin lebih suram apabila tiada pendidikan formal.

“Arwah dua beradik itu rapat dan juga pelajar pintar dalam pelajaran masing-masing. Sebenarnya mereka harapan keluarga kami, namun saya reda Allah lebih sayangkan mereka. “Jika diikutkan hati, mahu saya meraung sekuat hati menangis dan meratap pemergian mereka. Malangnya, kami sudah lali dengan kehidupan daif dan pelbagai dugaan selama ini mengajar apa itu erti kesabaran,” kata ibu kepada tujuh anak itu.

Menurutnya, disebabkan tidak mendapat sebarang bantuan, tiga daripada tujuh anaknya berhenti sekolah dan bekerja bagi membantu meringankan beban keluarga.

Katanya, disebabkan suaminya, Razak bekas penagih dadah, mereka seperti dihukum seumur hidup pemimpin masyarakat serta dinafikan pelbagai bantuan termasuk rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Malah, ketika tinjauan dilakukan di rumah pasangan itu di Tanjong Agas, tiada kenduri tahlil diadakan berikutan keluarga allahyarham tiada duit membeli kuih bagi menjamu tetamu.

Lebih menyedihkan majlis bacaan surah Yasin yang diadakan antara keluarga tidak dilawati masyarakat setempat termasuk ketua kampung mahupun pemimpin politik kawasan.

Sementara itu, Razak mengaku dia pernah melakukan kesilapan, namun tetap dipinggirkan masyarakat.

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my
myMetro
29 April 2010

Keluhan ibu tunggal

SEROM UTAMA - Kepayahan Madziah Abdullah, 45, membesarkan tiga anak menjadi lebih sukar apabila suaminya, Abd Aziz Noh yang menjadi tempat bergantung sejak sekian lama, meninggal dunia tiga tahun lalu.

Kini ibu tunggal itu terpaksa berdikari dan bergantung sepenuhnya kehidupan sebagai penjual ikan dan sayur di kedai peninggalan arwah suaminya.

Menurutnya, perniagaannya mengalami kemerosotan berikutan pelanggan semakin berkurangan.

“Saya hanya mampu bertahan walaupun pendapatan yang diperoleh kian merosot.

“Kehidupan kami sekeluarga hanya sekadar cukup makan dan saya perlu bijak menguruskan perbelanjaan supaya dapat membeli keperluan lebih penting,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Katanya, beliau telah membuat permohonan sebanyak dua kali kepada pihak berkenaan bagi mendapatkan bantuan meringankan beban hidup.

“Namun keputusan yang diperoleh menyedihkan dan saya dikatakan tidak layak menerima sebarang bantuan.

“Dua daripada tiga anak saya yang masih bersekolah juga tidak mendapat sebarang bantuan kewangan sejak berpindah ke sekolah baru,” katanya.

Selain itu, Madziah turut menjaga dan menanggung dua anak saudaranya yang kematian ibu bapa dan salah seorang daripadanya adalah orang kurang upaya (OKU).

Harapannya supaya permohonan bantuan diluluskan pihak berkenaan bagi meringankan beban sekeluarga.

Sinar harian
21 Jun 2010

Ledang jadi pusat perabot

LEDANG - Ledang bakal menjadi pusat pameran perabot dan Industri Kecil Sederhana (IKS) negara, kata Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM150 juta dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) bagi membina pusat perabot negara tersebut.

“Pembinaan pusat perabot ini telah diusulkan kira-kira empat tahun lalu dan kini ianya sudah di peringkat reka bentuk.

“Lokasi pembinaan pusat perabot dan IKS negara ini telah dikenal pasti di satu tapak yang sesuai di Tangkak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikanProgram Juara Rakyat, Karnival Pertanian Ledang sempena ulang tahun pengisytiharan ke-2 daerah Ledang di Pulau Penarek, Sungai Mati di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Ledang, Ir Hamim Samuri dan Pegawai Daerah Ledang, Amran A Rahman.

Menurutnya, pusat perabot dan IKS ini bukan sahaja untuk negeri Johor dan seluruh negara malah ianya tidak mustahil menjadi pusat sehenti di rantau Asia Tenggara memandangkan kedudukan daerah Ledang yang strategik.

“Walaupun Ledang tidak terletak di kawasan Lembah Klang dan Wilayah Iskandar, tetapi kedudukannya yang strategik tidak jauh dari Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) amat meyakinkan saya.

“Kita menyambutnya dengan rasa yakin di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pengumuman RMK-10 menitikberatkan pembangunan IKS dengan memberi pelbagai kemudahan dalam bentuk pinjaman, bantuan kepakaran, pengurusan dalam membangunkan industri ini,” katanya.

Menurutnya, Ledang amat sesuai dijadikan pusat perabot dan IKS negara kerana daerah ini adalah daerah yang paling tinggi mengeksport perabot di negeri Johor.

Abdul Ghani juga berharap masyarakat Ledang melipatgandakan usaha dalam membangunkan IKS tidak kira dalam bentuk pertanian, penternakan dan produk makanan selain memperbagaikan produk mereka.

“Johor adalah antara negeri yang ramai melahirkan usahawan IKS dengan nilai pendapatan tahunan mereka mencapai lebih RM1 juta.

“Malah, kerajaan negeri juga ada menyediakan peruntukan RM2 juta setahun dalam bentuk bantuan kewangan daripada Bank Pertanian (Agro Bank) kepada pengusaha IKS yang ingin mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah memberi kemudahan dalam bentuk geran kepada pengusaha IKS.

Sinar Harian
21 Jun 2010

Lapan pasukan rebut Piala Tan Sri Muhyiddin Yassin

MUAR - Lapan pasukan yang dibarisi pemain pelbagai kaum dari mukim-mukim di Parlimen Pagoh berentap bagi merebut Piala Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Biro Integrasi Kaum Parlimen Pagoh di dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gersik, Pagoh.

Katanya, kejohanan itu bertujuan, mengukuhkan semangat kerjasama dan perpaduan masyarakat di situ.

“Hubungan masyarakat berbilang kaum di kawasan itu boleh dieratkan lagi apabila lebih banyak program dianjurkan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

Hadir sama isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Mohd Taat.

Sinar harian
21 Jun 2010

Terkejut barang elektrik meletup

AIR HITAM - Penduduk di Kampung Parit Hassan Ahmad 1, terkejut apabila mendapati banyak barangan elektrik di rumah mereka meletup tiba-tiba.

Rentetan daripada kejadian itu, banyak barangan elektrik rosak dipercayai akibat bekalan elektrik berlebihan.

Salah seorang penduduk, Mariam Sarwal, 52, berkata, kejadian itu disedarinya apabila mendengar bunyi letupan kecil televisyen dan mesin jahitnya.

Menurutnya, lampu kalimantang di rumahnya sudah banyak kali rosak dan sehingga kini sudah menukar hampir 16 biji transformer lampu akibat lebihan elektrik ini.

“Kejadian seperti ini sangat merbahaya kerana jika tidak dikawal boleh mengundang kebakaran,” katanya, di sini.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Milati, 45, berkata, kejadian itu mengejutkan kerana ia adalah kejadian pertama berlaku di kampung berkenaan.

“Disebabkan kejadian itu, banyak peralatan elektrik rosak dan ada sebahagian sahaja yang boleh diperbaiki,” katanya.

Sementara itu, Hassan Khalid, 66, berkata, penduduk di sini memohon jasa baik pihak berkenaan memberikan penjelasan dan menuntut ganti rugi atas kerosakan yang dialami.

“Kami berharap masalah ini tidak berulang kerana ia boleh mengundang bahaya kepada penduduk di sini,” katanya.

Sinar Harian
21 Jun 2010

Friday, June 18, 2010

Mohon pindah hentian teksi

JALAN PETRIE - Kira-kira 62 pemandu teksi Perhentian Teksi Maharani meminta Majlis Perbandaran Muar (MPM) supaya memindahkan perhentian tersebut berhampiran dengan Perhentian Bas Maharani kerana sukar mendapatkan penumpang.

Pengerusi Pakatan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa, Mazlan Ab Wahab berkata, di Muar ada dua perhentian teksi iaitu Perhentian Teksi Maharani dan Perhentian Teksi Pagoh. Tetapi perhentian teksi ini didakwa dianak-tirikan apabila permohonan bagi berpindah ke tempat yang lebih strategik tidak dilayan.

Menurutnya, kedudukan perhentian teksi yang sedia ada ini terpisah daripada perhentian bas menyebabkan mereka sukar untuk dapatkan penumpang.

“Kami telah kemukakan dua permohonan kepada MPM pada 1997 dan terbaru 2007. Tetapi sehingga hari ini, masih tiada sebarang perkembangan.

“Sebelum ada perubahan, sambutan penumpang sangat menggalakkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Semasa dalam pembinaan perhentian baru, pemandu berpindah sementara ke Stadium Sultan Ibrahim, Muar selama dua tahun tujuh bulan dan sambutan sangat menggalakkan kerana perhentian teksi dan bas disatukan.

Mazlan berkata, kedudukan perhentian baru itu yang terpisah daripada perhentian teksi dan terlindung dengan Kompleks Pekan Rabu Bandar Maharani menyebabkan penumpang tidak mahu datang ke perhentian itu.

“Kewujudan teksi haram dan kereta sapu di Perhentian Bas Maharani telah merumitkan masalah ini kerana mereka sentiasa menunggu penumpang di perhentian bas ini sekali gus menghalang penumpang menuju ke Perhentian Teksi Maharani,” katanya.

Beliau berkata, jika boleh kami mahu berbincang dengan pihak atasan MPM supaya masalah itu diberikan perhatian yang sewajarnya. Tambahan pula kadar sewa yang tinggi sebanyak RM 3800 sebulan sangat membebankan.

“Sebagai alternatif, kami mengenakan bayaran kepada individu yang meletakkan kenderaan di kawasan ini bagi menampung sewa bulanan tempat ini,” katanya.

Pemandu teksi, Latif Mat Tamin, 63, berkata, dia terkilan kerana tiada penumpang datang ke perhentian ini dan menjejaskan sumber pendapatan pemandu teksi di sini.

Sinar Harian
18 Jun 2010

Thursday, June 17, 2010

Hidu bau busuk

PARIT JAWA - Kira-kira 20 penjaja di pasar awam di sini, terpaksa berhadapan bau busuk terutama ketika hujan kerana longkang berhampiran tidak diselenggara dan mengandungi sampah sarap.

Masalah itu berlaku disebabkan perbuatan tidak bertanggungjawab penduduk dan segelintir peniaga yang mengambil jalan mudah membuang sampah di situ.

Pelajar, Nor Budiman Ahad, 16, berkata, perbuatan seperti itu tidak sepatutnya diamalkan kerana mencemarkan kawasan persekitaran kawasan berkenaan.

Menurutnya, tempat buang sampah sudah disediakan namun tidak digunakan dengan sebaiknya.

“Disebabkan banyak sampah di buang di situ, sistem pengaliran tersekat sekali gus menyebabkan bau busuk dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Apa yang menyedihkan, perbuatan membuang sampah yang tidak terkawal ini menjejaskan kualiti kebersihan di kawasan ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sementara itu, peniaga yang hanya dikenali sebagai Din berkata, mereka terpaksa menghidu bau busuk setiap hari akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Katanya, sikap mengambil mudah menyebabkan orang lain menerima padah.

”Sepatutnya mereka membuang sampah di tempat yang disediakan, bukan dituang ke dalam longkang berkenaan.

”Pihak berkuasa tempatan juga perlu menyelenggara longkang ini daripada terus tersumbat dan menimbulkan masalah,” katanya.

Sinar Harian
17 Jun 2010

Wednesday, June 16, 2010

37 lokasi kemalangan diberi tumpuan

ARKIB BERITA

37 lokasi kemalangan diberi tumpuan

JOHOR BAHRU 22 Sept. - Polis akan memberi tumpuan ke atas 37 lokasi yang dikenal pasti kawasan yang kerap berlaku kemalangan jalan raya dan kesesakan lalu lintas di negeri ini dalam Ops Sikap XVII (ke-17) mulai 24 September hingga 8 Oktober sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kawasan itu dikenal pasti berdasarkan Ops Sikap yang dijalankan pada 7 hingga 21 Oktober sempena Aidilfitri pada tahun lalu.

"Berdasarkan statistik tahun lalu, bilangan kematian pengguna jalan raya seramai 35 orang, cedera parah (29) dan cedera ringan (69) daripada keseluruhan 2,138 kemalangan yang dilaporkan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, daerah Johor Bahru Selatan mencatatkan bilangan terbanyak dari segi lokasi yang menjadi tumpuan dalam operasi itu iaitu 9 kawasan, diikuti Batu Pahat (5), Mersing (4) Kota Tinggi (4), Johor Bahru Utara (3), Muar (3), Kluang (3), Seri Alam (2) manakala Nusajaya, Kulaijaya, Segamat dan Pontian masing-masing satu kawasan.

"Di Johor Bahru Selatan, kawasan dikenal pasti paling banyak berlaku kemalangan adalah di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi iaitu di Kilometer (Km) 3.5, Km4.5, Km7.5, Km8.2, Km18 dan Km21.

"Lokasi lain di Johor Bahru Selatan yang diberikan tumpuan adalah di Km7 dan Km9 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam serta Km5 Jalan Skudai-Teluk Danga," katanya.

Mohd. Mokhtar berkata, kawasan yang akan diberi tumpuan di Batu Pahat adalah Km6 hingga Km14 dan Km18 hingga Km26 Jalan Kluang, Km118 hingga Km125 Jalan Johor Bahru-Melaka, Km86 hingga Km94 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam serta Km77 hingga Km86 Lebuh Raya Utara Selatan.

Di Mersing pula, katanya, adalah di Km1 hingga Km5 dan Km17 hingga 20 Jalan Endau-Mersing, Km1 hingga Km5 Jalan Jemaluang-Mersing serta Km40 hingga Km48 Jalan Kota Tinggi-Mersing.

Menurutnya, kawasan tumpuan di Kota Tinggi adalah di Km24 hingga Km35 dan Km40 hingga Km60 Jalan Johor Bahru-Mersing, Km40 hingga Km60 Jalan Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi serta Km20 hingga Km40 Jalan Kulai-Kota Tinggi.

"Sementara di Johor Bahru Utara adalah di Km9 hingga Km20 dan Km18 hingga Km21 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam serta Km12 hingga Km15 Lebuh Raya Pasir Gudang-Pelangi," katanya.

Menurut Mohd. Mokhtar, kawasan tumpuan operasi di Muar adalah di Km5 hingga Km26 Jalan Muar-Segamat, Km1 hingga Km12 Jalan Muar-Yong Peng dan Km128 hingga Km174 Lebuh Raya Utara Selatan.

Di Kluang pula katanya, adalah di Km41 hingga Km60 dan Km50 hingga Km73 Jalan Batu Pahat-Mersing serta Km71 hingga Km75 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam manakala di Seri Alam melibatkan lokasi di Km21 hingga Km35 Lebuh Raya Pasir Gudang dan Km11 hingga Km19 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi.

"Kawasan tumpuan operasi lain adalah di Km24 hingga Km35 Jalan Johor Bahru-Pontian di Nusajaya, Km38 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam (Kulaijaya), Km181 hingga Km185 Jalan Johor Bahru-Seremban (Segamat) dan Km56 hingga Km63 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat," katanya.

Mohd. Mokhtar berkata, seramai 450 pegawai serta anggota polis trafik akan ditugaskan dalam Ops Sikap XVII di negeri ini dan Bilik Gerakan Cawangan Trafik akan dibuka sepanjang operasi itu.

Sementara itu, katanya, polis mengeluarkan 19,545 saman membabitkan pelbagai kesalahan pada Ops Sikap XIII (ke-13) sempena Aidilfitri pada tahun lalu.

Justeru, menurutnya, semua pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi undang- undang jalan raya bagi mengelakkan dikenakan tindakan dan memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.

Statistik kemalangan lebuh raya antara Pagoh-Tangkak menggerunkan

ARKIB : 02/02/2010

MUAR 1 Feb. - Statistik kemalangan bagi laluan Lebuhraya Utara Selatan antara Pagoh hingga Tangkak dekat sini didapati amat menggerunkan kerana secara puratanya sebanyak dua kematian dicatatkan setiap bulan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kajian daripada tahun 2000 hingga 2009 menyaksikan sebanyak 958 kemalangan direkodkan di laluan berkenaan.

"Daripada jumlah kemalangan tersebut, sebanyak 253 kematian telah dicatatkan sepanjang tempoh sembilan tahun ini.

"Secara puratanya, jumlah kes kemalangan maut di laluan ini adalah sebanyak 28 kes setahun atau kira-kira dua kes untuk setiap bulan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Bangunan Pentadbiran JPJ cawangan Muar di Sungai Abong di sini hari ini.

Menurut beliau, kajian yang dilakukan juga mendapati tiada sebarang masalah bagi permukaan laluan lebuh raya sejauh kira-kira 30 kilometer itu yang cukup lebar dan lurus.

"Punca masalah ini mungkin kerana laluan yang terlalu selesa sehingga pemandu mengambil kesempatan untuk memecut laju.

"Bagi saya, usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan ini perlu digerakkan menerusi kesedaran para pemandu agar mereka sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan had laju," katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan kadar kemalangan yang tinggi itu kerana ia turut melibatkan sikap para pemandu di negara ini.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, Abdul Rahim yakin penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang berkuat kuasa 1 Jun depan akan dapat membantu menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

"Penggunaan pengangkutan awam di negara ini adalah sekitar 10 hingga 15 peratus kerana orang ramai lebih gemar menggunakan pengangkutan sendiri walaupun berlakunya kesesakan.

"Dengan pelbagai galakan daripada kerajaan menerusi matlamat NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Nasional), kita berharap peratus penggunaan akan dapat meningkat kepada 25 peratus," katanya.

Menurut beliau, kerajaan juga mengalu-alukan syarikat pengangkutan untuk membuka operasi di kawasan luar bandar bagi menjaga kepentingan masyarakat secara menyeluruh.

Utusan Online

Sunday, June 6, 2010

SELERA MENGHIRUP DI PARIT JAWA

TANPA dirancang, Parit Jawa, sebuah pangkalan nelayan di Muar yang dianggap agak terpencil satu ketika dahulu telah menaikkan populariti masakan asam pedas.
Hari ini, 17 tahun selepas gerai pertama yang menghidangkan asam pedas di situ dibuka, tempahan awal perlu dibuat agar tidak kempunan.

Jika sudah ada tempahan, menunggu dalam kenderaan sehingga sejam kerana ketiadaan tempat meletak kenderaan adalah satu lagi dugaan.

Namun bagi kaki makan lebih-lebih lagi peminat masakan itu, keistimewaan asam pedas sembilang, pari, mayong, jenahak dan merah, apatah lagi dijamu dengan nasi panas atau roti canai mengatasi segalanya.

Yang sudah terkena penangan asam pedas Parit Jawa, jarak beratus batu bukan lagi penghalang untuk mengulangi kunjungan ke jeti nelayan ini.

Suasana kuala sungai yang cukup jelas sebagai pangkalan nelayan dipenuhi bot dan sampan, disertai kehangatan angin laut menambah selera tidak kira di waktu matahari tegak di atas kepala mahupun dikala kesunyian malam.

Bermula dengan sebuah warong yang diusahakan Yusof Merah di tebing sungai berhampiran pangkalan itu pada 1990, gerai asam pedas telah bercambah melebihi 10 buah termasuk yang dibina dengan lebih kemas oleh Majlis Perbandaran Muar.

Menurut Yusof, ketika mula-mula berniaga, hanya gerainya yang menyediakan menu asam pedas untuk pelanggan yang terdiri daripada kalangan penduduk setempat dan juga nelayan yang hendak ke laut.

“Hari berlalu dan ditakdirkan Tuhan semakin ramai yang mengunjungi tempat ini sementara bilangan gerai bertambah dan semuanya menghidangkan masakan asam pedas.

“Sekarang sudah ada kira-kira 10 gerai yang menjadikan asam pedas menu utamanya dan sambutan sungguh menggalakkan sehingga menjadikan tempat ini terkenal dengan asam pedas,” katanya.

Yusof bagaimanapun hanya kembali mengusahakan sendiri Gerai Asam Pedas Ani miliknya sejak dua tahun lalu selepas menyewakannya kepada peniaga lain. Beliau menyewakan gerai itu kerana tidak mampu menguruskannya sendiri.

“Ketika itu tiada sesiapa membantu saya tetapi kini saya mengusahakannya sendiri bersama-sama anak dan menantu.

“Saya tidaklah mahu mengatakan kami pengasas asam pedas di sini, tapi kamilah yang mula-mula sekali membuka gerai di sini,” katanya.

Yusof berkata pelanggan datang dari merata tempat.

Katanya mengetahui ada yang datang dari Kuala Lumpur dan Singapura untuk menikmati keenakan asam pedas Parit Jawa bukanlah suatu perkara baru.

“Tetapi bila ada yang mengatakan bahawa mereka sanggup memandu sejauh itu semata-mata untuk makan asam pedas Parit Jawa adalah sesuatu yang menakjubkan,” katanya.

Yusof berkata kebanyakan gerai dibuka pada jam 10 pagi tetapi waktu menutupnya tidak menentu.

Namun, melihat gerai-gerai di situ terus dipenuhi pengunjung hingga seawal 2 pagi adalah perkara biasa.

Lain ikan lain peminatnya

Boleh dikatakan setiap ikan seperti sembilang, pari, mayong, jenahak dan merah mempunyai peminatnya sendiri, sebagaimana diakui Zaini, anak Yusof yang membantunya di gerai.

Menurutnya, orang Melayu amat gemar dengan asam pedas ikan sembilang dan kepala ikan mayong yang tentunya ikan segar yang didaratkan nelayan di pangkalan di situ yang dimakan bersama nasi putih panas.

Pelanggan Cina pula, katanya lebih gemar mencecah roti canai dengan asam pedas pari dan jenahak.

Namun, ada ketikanya pelanggan menjilat tapak tangan apabila ikan yang dicari sudah habis kerana kekurangan bekalan ikan segar dari nelayan di situ dan di bandar Muar.

“Bukan mereka sahaja yang kecewa malah kami pun sedikit terkilan tidak dapat menghidangkan masakan kebangaan kami terutamanya apabila yang datang dari jauh bersama keluarga,” kata Zaini.

Rahsia asam pedas Parit Jawa

Keistimewaan asam pedas Parit Jawa mengundang pertanyaan mengenai rahsia memasaknya.

Adakah ramuannya atau cara memasaknya yang menjadikan asam pedas di pangkalan nelayan ini disebut di merata negara?

Yusof yang dianggap ramai sebagai perintis gerai asam pedas di sini pun tidak dapat menyatakan rahsia yang membuatkan asam pedas Parit Jawa begitu istimewa.

“Bagi saya apa yang paling penting ialah bahan-bahannya mestilah yang terbaik.

“Lada kering adalah yang penting sekali. Saya gunakan lada kering gred satu kerana bila dimasak, kuah akan menjadi lebih merah dan pekat serta rasanya lebih sedap berbanding lada kering gred lain,” jelasnya.

Yusof berkata pernah terjadi apabila beliau secara tidak sengaja menggunakan lada kering gred lain, warna kuah asam pedasnya kurang merah dan ia disedari pelanggan tetapnya.

“Saya tidak menganggap itu rahsia sebaliknya petua saya,” katanya.

Ditanya mengenai perbezaan antara asam pedas Parit Jawa dengan asam pedas Melaka, beliau berkata kedua-duanya agak sama.

“Kalau ada pun cuma daripada segi ramuannya. Asam pedas Melaka menggunakan belacan dan lengkuas sedangkan di sini, kedua-dua bahan itu tidak digunakan,” katanya.

Yusof juga bercadang mengembangkan sayap perniagaannya dengan membuka sebuah gerai asam pedas di Melaka.

“Saya dan anak sudah ke sana untuk meninjau lokasi yang sesuai. InsyaAllah, jika ada rezeki saya akan membuka satu gerai di sana,” katanya.

Dipetik dari www.pmbj.gov.my