Wednesday, June 30, 2010

Kami sudah lali

LEDANG - Penduduk di Kampung Ponorogo di sini, sudah lali dengan banjir yang kerap melanda kawasan kediaman mereka.

Salah seorang mangsa banjir, Ramlah Abdul Hamid berkata, insiden rumahnya dinaiki air ketika hujan lebat bukan sesuatu yang luar biasa malah ahli keluarganya sentiasa bersedia menghadapi banjir pada bila-bila masa.

“Jika hujan lebat sehari semalam, rumah kami mesti dimasuki air dan kami menghadapinya dua kali setahun.

“Jika banjir kilat, kami sekeluarga hanya mampu menghadapinya dengan sabar dan sementara menunggu air surut kami akan bermalam di surau,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pusat pemindahan sementara mangsa banjir iaitu di Surau Kampung Ponorogo di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa banjir, Khayati Sarindin berkata, banjir kilat yang sering menimpa kampung ini menyebabkan beliau kerugian harta benda termasuk perabot.

“Kami harap pihak berkuasa memberi bantuan dari segi kewangan bagi membaiki rumah yang rosak akibat banjir.

“Kami tidak mampu untuk membaiki rumah yang rosak akibat banjir kerana ia sering berlaku di kampung ini,” katanya.

Walaupun banjir sudah tiga hari berlaku, tinjauan Sinar Harian mendapati air masih belum surut di mana pihak Jabatan Kerja Raya Ledang terpaksa memasang pancang penanda aras banjir di kawasan yang kritikal.

Selain rumah kediaman, jalan utama ke kampung itu yang turut dinaiki air menyukarkan laluan penduduk kampung untuk keluar bekerja dan ke sekolah.

Ketua UMNO Cawangan Parit Ponorogo yang juga Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan Kampung (JKKK) Parit Bunga, Isnin Mansor berkata, lapan keluarga mangsa banjir di sini mungkin dibenarkan pulang ke rumah pada esok hari jika banjir surut.

Sinar Harian
29 Jun 2010


Isu banjir selesai


LEDANG - Masalah banjir yang sering berlaku di Kampung Parit Ponorogo mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

Yang DiPertua Majlis Daerah Tangkak, Amran Abd Rahman berkata, cadangan peruntukan bagi penambahbaikan sistem perparitan, pengairan dan saliran di Kampung Parit Ponorogo telah dimasukkan ke dalam belanjawan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diberi keutamaan dan tanggungjawab dalam menyelesaikan masalah banjir ini dan pihaknya akan memainkan peranan penting memastikan ia diselesaikan segera.

“Memang diakui kawasan kampung ini sering dilanda banjir kerana secara semula jadinya ia berada pada paras rendah dan tanah jenis gambut.

“Kes banjir kali ini disebabkan oleh hujan lebat dan juga air pasang di Sungai Muar yang melimpah ke kampung ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Amran sempat meluangkan masa melawat mangsa banjir di pusat penempatan sementara di Surau Kampung Ponorogo selain meninjau kawasan yang dilanda banjir kilat di kampung itu.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Ledang yang memberi bantuan makanan, keperluan asas, selimut dan tikar kepada mangsa banjir.

Beliau berkata, bagi menyelesaikan masalah banjir ini dalam masa terdekat, pihaknya akan menjalankan kerja pembersihan parit dan longkang di kampung ini.

“Kita akan menjalankan kerja membersihkan parit dan longkang yang tersumbat segera bagi memudahkan pengaliran air,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk di kampung ini yang bercadang membina rumah kediaman supaya memikirkan perkara itu dalam jangka masa panjang.

“Jika ada permintaan mendapatkan lesen membina rumah kediaman, MDT akan meminta mereka menambak kawasan itu lebih tinggi bagi mengelakkan banjir,” katanya.

Sinar Harian
29 Jun 2010

0 comments:

Post a Comment