Tuesday, June 22, 2010

Terkejut barang elektrik meletup

AIR HITAM - Penduduk di Kampung Parit Hassan Ahmad 1, terkejut apabila mendapati banyak barangan elektrik di rumah mereka meletup tiba-tiba.

Rentetan daripada kejadian itu, banyak barangan elektrik rosak dipercayai akibat bekalan elektrik berlebihan.

Salah seorang penduduk, Mariam Sarwal, 52, berkata, kejadian itu disedarinya apabila mendengar bunyi letupan kecil televisyen dan mesin jahitnya.

Menurutnya, lampu kalimantang di rumahnya sudah banyak kali rosak dan sehingga kini sudah menukar hampir 16 biji transformer lampu akibat lebihan elektrik ini.

“Kejadian seperti ini sangat merbahaya kerana jika tidak dikawal boleh mengundang kebakaran,” katanya, di sini.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Milati, 45, berkata, kejadian itu mengejutkan kerana ia adalah kejadian pertama berlaku di kampung berkenaan.

“Disebabkan kejadian itu, banyak peralatan elektrik rosak dan ada sebahagian sahaja yang boleh diperbaiki,” katanya.

Sementara itu, Hassan Khalid, 66, berkata, penduduk di sini memohon jasa baik pihak berkenaan memberikan penjelasan dan menuntut ganti rugi atas kerosakan yang dialami.

“Kami berharap masalah ini tidak berulang kerana ia boleh mengundang bahaya kepada penduduk di sini,” katanya.

Sinar Harian
21 Jun 2010

0 comments:

Post a Comment