Wednesday, June 30, 2010

Pagoh bakal jadi hub IPTA

KUALA LUMPUR - Beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan membuka cawangan baru di Pagoh, untuk menjadikan kawasan di utara Johor sebagai salah satu hub pengajian tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 itu masih di dalam perancangan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Pembangunan hub pengajian tinggi itu diharap akan menyamai serta memanfaatkan pembangunan Educity, Iskandar di Nusajaya Johor yang mana ia lebih tertumpu kepada pembinaan kampus IPT dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Management Development Institute of Singapore (MDIS) dengan Education@Iskandar Sdn Bhd (EISB) bagi pembinaan kampus cawangan MDIS di Educity, di sini, semalam.

Mohamed Khaled berkata, pembukaan kampus cawangan IPT dari luar negara di Educity akan membantu hasrat Malaysia menjadi hub pendidikan serantau.

Beliau berkata, Fasa Satu Educity bermula dan diharapkan akan beroperasi pada 2013 dengan empat universiti termasuk MDIS dengan kemasukan kira-kira 4,000 pelajar tempatan dan antarabangsa.

“Di bawah Fasa Dua, empat lagi universiti asing dijangka menubuhkan kampus cawangan masing-masing dan ini akan menggandakan enrolmen pelajar,” katanya.

MDIS merupakan institut pendidikan pertama negara yang menubuhkan sebuah kampus di Educity, Iskandar.

MDIS Kampus Malaysia akan menerima kemasukan 2,000 pelajar bila fasa pertama pembangunannya siap pada 2013.

Kampus siap sepenuhnya menjelang 2023, akan menawarkan kursus dalam pengurusan perniagaan, komunikasi massa, teknologi maklumat, media digital, pengembaraan dan pelancongan.

Sinar Harian
29 Jun 2010

0 comments:

Post a Comment