Thursday, June 17, 2010

Hidu bau busuk

PARIT JAWA - Kira-kira 20 penjaja di pasar awam di sini, terpaksa berhadapan bau busuk terutama ketika hujan kerana longkang berhampiran tidak diselenggara dan mengandungi sampah sarap.

Masalah itu berlaku disebabkan perbuatan tidak bertanggungjawab penduduk dan segelintir peniaga yang mengambil jalan mudah membuang sampah di situ.

Pelajar, Nor Budiman Ahad, 16, berkata, perbuatan seperti itu tidak sepatutnya diamalkan kerana mencemarkan kawasan persekitaran kawasan berkenaan.

Menurutnya, tempat buang sampah sudah disediakan namun tidak digunakan dengan sebaiknya.

“Disebabkan banyak sampah di buang di situ, sistem pengaliran tersekat sekali gus menyebabkan bau busuk dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Apa yang menyedihkan, perbuatan membuang sampah yang tidak terkawal ini menjejaskan kualiti kebersihan di kawasan ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Sementara itu, peniaga yang hanya dikenali sebagai Din berkata, mereka terpaksa menghidu bau busuk setiap hari akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Katanya, sikap mengambil mudah menyebabkan orang lain menerima padah.

”Sepatutnya mereka membuang sampah di tempat yang disediakan, bukan dituang ke dalam longkang berkenaan.

”Pihak berkuasa tempatan juga perlu menyelenggara longkang ini daripada terus tersumbat dan menimbulkan masalah,” katanya.

Sinar Harian
17 Jun 2010

0 comments:

Post a Comment