Tuesday, June 22, 2010

'Kerana kakak tertidur'



MUAR: Setakat manalah sangat kudrat seorang kanak-kanak yang baru berusia 12 tahun, apatah lagi untuk menjaga adik sepanjang hari ketika ketiadaan ibu bapa di rumah.

Akibat tertidur sekejap di ruang tamu, adik bongsunya berusia 16 bulan yang dijaganya ketika ibu bapa keluar bekerja, ditemui tersembam dalam sebuah akuarium yang diletakkan di lantai dapur.

Bayi yang bertarung nyawa selama 14 jam selepas ditemui berkeadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dalam akuarium di rumahnya di Jalan Ismail di sini, kelmarin, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Dalam tragedi malang itu, mangsa, Nurul Najwa Atika, yang tidak diawasi selepas kakak sulungnya tertidur di ruang tamu, dipercayai tertarik untuk bermain dengan pelbagai ikan peliharaan dalam akuarium yang diletakkan di atas lantai dapur.

Ketika kejadian, tiada orang dewasa di rumah itu kerana bapanya, Robin Gantilan, 37, bekerja di sebuah ladang manakala ibu, Norbayah Salbi, 35, bekerja di sebuah kantin sekolah berhampiran.

Menceritakan detik yang tidak dapat dilupakan isterinya itu, Robin berkata, Norbayah pulang dari kantin untuk menjenguk anak di rumah, kira-kira jam 11 pagi.

“Ketika kejadian saya bekerja di ladang manakala isteri terpaksa meninggalkan anak kerana bekerja di kantin sekolah tidak jauh dari rumah,” katanya.

Menurutnya, sebaik sampai dia mendapati anak bongsu daripada empat beradik itu tiada, manakala anak sulungnya berusia 12 tahun sedang nyenyak tidur di ruang tamu.

Katanya, isterinya mula cemas dan terus mencarinya di sekitar kawasan rumah sebelum terkejut besar apabila menjumpai bayi itu tersembam ke dalam akuarium di dapur.

Robin berkata, ketika ditemui anaknya itu masih bernafas dan isteri dengan bantuan jiran bergegas membawanya mendapatkan rawatan di HPSF sebelum dimasukkan ke ICU kerana Nurul Najwa tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, katanya, Nurul Najwa disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 1 pagi ketika dirawat di ICU hospital berkenaan.

Katanya, kejadian itu mengejutkan mereka kerana tidak menyangka akuarium diletakkan di bawah dan menempatkan beberapa jenis ikan akan meragut nyawa anak kesayangan mereka yang dipercayai asyik melihat ikan sebelum jatuh tertumus.

“Allahyarham seorang periang dan manja menyebabkan kami benar-benar terasa kehilangannya, tambahan pula kejadian itu tidak disangka akan menimpa kami sekeluarga,” katanya.

Jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Jalan Bakri, selepas solat Zuhur, semalam.

Keluarga Robin berasal dari Sabah dan sudah 15 tahun menetap di Muar.

Oleh Junita Mat Rasid
myMetro
30 April 2010

0 comments:

Post a Comment