Friday, June 18, 2010

Mohon pindah hentian teksi

JALAN PETRIE - Kira-kira 62 pemandu teksi Perhentian Teksi Maharani meminta Majlis Perbandaran Muar (MPM) supaya memindahkan perhentian tersebut berhampiran dengan Perhentian Bas Maharani kerana sukar mendapatkan penumpang.

Pengerusi Pakatan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa, Mazlan Ab Wahab berkata, di Muar ada dua perhentian teksi iaitu Perhentian Teksi Maharani dan Perhentian Teksi Pagoh. Tetapi perhentian teksi ini didakwa dianak-tirikan apabila permohonan bagi berpindah ke tempat yang lebih strategik tidak dilayan.

Menurutnya, kedudukan perhentian teksi yang sedia ada ini terpisah daripada perhentian bas menyebabkan mereka sukar untuk dapatkan penumpang.

“Kami telah kemukakan dua permohonan kepada MPM pada 1997 dan terbaru 2007. Tetapi sehingga hari ini, masih tiada sebarang perkembangan.

“Sebelum ada perubahan, sambutan penumpang sangat menggalakkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Semasa dalam pembinaan perhentian baru, pemandu berpindah sementara ke Stadium Sultan Ibrahim, Muar selama dua tahun tujuh bulan dan sambutan sangat menggalakkan kerana perhentian teksi dan bas disatukan.

Mazlan berkata, kedudukan perhentian baru itu yang terpisah daripada perhentian teksi dan terlindung dengan Kompleks Pekan Rabu Bandar Maharani menyebabkan penumpang tidak mahu datang ke perhentian itu.

“Kewujudan teksi haram dan kereta sapu di Perhentian Bas Maharani telah merumitkan masalah ini kerana mereka sentiasa menunggu penumpang di perhentian bas ini sekali gus menghalang penumpang menuju ke Perhentian Teksi Maharani,” katanya.

Beliau berkata, jika boleh kami mahu berbincang dengan pihak atasan MPM supaya masalah itu diberikan perhatian yang sewajarnya. Tambahan pula kadar sewa yang tinggi sebanyak RM 3800 sebulan sangat membebankan.

“Sebagai alternatif, kami mengenakan bayaran kepada individu yang meletakkan kenderaan di kawasan ini bagi menampung sewa bulanan tempat ini,” katanya.

Pemandu teksi, Latif Mat Tamin, 63, berkata, dia terkilan kerana tiada penumpang datang ke perhentian ini dan menjejaskan sumber pendapatan pemandu teksi di sini.

Sinar Harian
18 Jun 2010

0 comments:

Post a Comment