REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Thursday, September 29, 2011

Tragedi ragut nyawa dua beranak

BEGINILAH keadaan sebuah van persiaran selepas terlibat dalam kemalangan yang meragut tiga nyawa di Parit Buntar, Perak semalam.

PARIT BUNTAR – Kegembiraan sebuah keluarga dari Muar, Johor untuk menghantar anak bongsu mereka mendaftarkan diri di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas van sewa yang dinaiki terlibat dalam kemalangan semalam.

Kejadian pukul 5.40 pagi di Kilometer 186.6, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan susur keluar Bukit Merah itu mengakibatkan Tukijah Isa, 59, dan Nurul Haniza Mohd. Jamil, 34, maut di tempat kejadian. Turut maut ialah pemandu van persiaran itu, Chua Wee Chor, 33.

Sebelum kejadian, mereka bersama lapan lagi ahli keluarga bertolak dari Muar pada pukul 10 malam untuk menghantar Nur Shahila Mohd. Jamil, 19, mendaftar masuk sebagai pelajar baharu kursus Ijazah Sarjana Muda Perbankan di UUM. Mereka dijangka tiba pada pukul 8 pagi.

Bapa, abang dan anak saudara Nur Shahila, Mohd. Jamil Anuar, 68; Mohd. Nazir, 29, dan Aliya Madiha Abdullah yang berusia satu tahun cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Taiping.

Seorang lagi abangnya, Mohd. Fairuz, 27, serta dua abang iparnya, Mustafa Kamal Mohd. Khamis, 38, dan Khairul Khafiza Isnin, 29, serta kakak iparnya, Liayana Mat, 31, cedera ringan.

Kosmo
8 Sep 2011


Emak merintih sebelum maut

KERIAN: “Tolong tarik, , mak sakit sangat ni,” rintih Tukijah Esa, 59, beberapa minit sebelum dia menghembuskan nafas terakhir selepas van dinaiki bersama 10 ahli keluarganya terpelanting ke dalam longkang di Kilometer 186.6 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Bukit Merah, di sini, awal pagi semalam.

Lebih menyayat hati apabila kemalangan kira-kira jam 5.40 pagi itu turut mengorbankan anak perempuannya, Norruhanizah Mohd Jamil, 34, dan pemandu van persiaran berkenaan, Chua Wee Chaur, 33.

Nurshahila Mohd Jamil, 19, yang juga seorang mangsa menjadi orang paling sedih kerana nahas berlaku ketika ahli keluarganya dalam perjalanan menghantarnya mendaftar sebagai pelajar baru jurusan perbankan di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah.

Menceritakan detik akhir sebelum pemergian ibunya, Nurshahila berkata ibunya sempat meminta tolong mengeluarkannya yang tersepit di tempat duduk.

“Saya cukup sedih kerana masih terngiang-ngiang suara emak merintih kesakitan dan meminta menariknya keluar. Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana keadaan ketika itu kelam-kabut.

myMetro
8 Sep 2011

Lelaki ditemui mati dalam kebun

MUAR - Seorang lelaki ditemui mati oleh seorang pembeli buah-buahan di sebuah kebun di Bukit Pasir, di sini semalam.

Dalam penemuan jam 3 petang itu, pembeli berkenaan, menjumpai mayat terbabit yang kebetulan datang berurusan untuk membeli buah-buahan di kebun terbabit yang juga milik keluarga si mati.

Mangsa dikatakan tidak lagi mampu bekerja kerana menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Jurucakap polis berkata, pihak polis menjumpai sebuah botol kaca yang dipercayai bekas berisi racun dan sebuah bekas minyak petrol kosong berhampiran mayat mangsa.

“Mangsa tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas berhenti bekerja di sebuah kilang perabot dan sejak tidak mempunyai pekerjaan.

“Ketika mayatnya dijumpai, hampir 80 peratus badan mangsa melecur dan mayatnya kemudiannya dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya,” katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sinar Harian
29 Sep 2011

Lebuh raya Segamat-Tangkak-Muar mula dibina November

SEGAMAT 29 Sept. - Lebuh raya empat lorong Segamat-Tangkak-Muar sepanjang 63 kilometer yang dianggarkan bernilai antara RM750 dan RM770 juta akan mula dibina November depan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Mansor.

Pelaksanaan projek itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengotakan janjinya yang dibuat semasa kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang yang lalu.

"Dalam pilihan raya kecil DUN Tenang lalu, saya ada menyatakan kerajaan akan menyegerakan projek menaik taraf jalan Segamat-Tangkak-Muar kepada empat lorong yang diimpikan penduduk sejak 20 tahun lalu.

"Kita umumkannya bukan untuk memancing undi atau sekadar janji kosong pilihan raya tetapi kerana sedar projek itu perlu diberi keutamaan, berlaku banyak kemalangan termasuk melibatkan nyawa pengguna jalan raya di sepanjang jalan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak laluan projek itu di Jalan Muar di sini hari ini. - Bernama

29 Sep 2011

Wednesday, September 28, 2011

Lapan tinggal sehelai sepinggang

ANUAR Jamian dan Norhaizan Kassim melihat rumah mereka yang musnah terbakar di Parit Kachau, Seri Menanti, Muar, semalam.

MUAR 27 Sept. – Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Parit Kachau, Seri Menanti di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 9.50 malam itu, api yang dipercayai berpunca daripada litar pintas bermula di bahagian dapur sebelum merebak ke seluruh rumah.

Menurut mangsa, Anuar Jamian, 37, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang tidur dan dia yang menyedari kebakaran apabila terhidu asap cuba memadamkan kebakaran namun gagal.

“Saya kemudian segera mengejutkan isteri, Norhaizan Kassim, 37, dan enam anak berusia dua hingga 15 tahun serta membawa mereka ke tempat selamat kerana kebakaran itu merebak dengan cepat.

“Seluruh rumah saya dan dua buah motosikal musnah dalam kebakaran ini dan saya cuma sempat selamatkan kereta dan dua buah motosikal sahaja,” katanya sambil memberitahu hujan renyai berlaku semasa kebakaran itu.

Walaupun kehilangan harta benda yang banyak, namun dia bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat dalam kebakaran itu.

Dia yang bekerja sebagai penjual kuih berkata, pihak bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian dengan dua jentera serta berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran tersebut kira-kira pukul 11 malam.

Utusan
28 Sep 2011

Friday, September 9, 2011

Mercu tanda replika tarian singa bakal dibina di Muar

MUAR 8 Sept. - Sebuah mercu tanda baru berbentuk replika tarian singa bakal dibina di bandar ini bagi mengiktiraf keunggulan pasukan tarian singa dari daerah ini yang muncul juara di peringkat dunia sebanyak beberapa kali.

Pembinaan replika bernilai RM120,000 di tapak berhampiran Pusat Penjaja Bentayan itu dijayakan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Muar dan diharap dapat merancakkan lagi kegiatan pelancongan di daerah ini.

Majlis pecah tanah bagi pembinaan replika tersebut disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Chris Lee Ching Yong serta Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua Muar, Datuk Ng Kok Hwa.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Kok Hwa berkata, pembinaan replika singa itu merupakan pengiktirafan kepada keunikan dalam kepelbagaian budaya di negeri ini.

"Replika tarian singa ini dibina kerana Muar adalah daerah yang melahirkan pasukan tarian singa yang sering menjadi juara di peringkat antarabangsa dan menewaskan pasukan dari China, Hong Kong, Singapura dan negara lain.

"Kami berharap replika tarian singa di tapak ini akan menjadi tarikan pelancongan yang baru di daerah Muar dan mempromosikan lagi kebudayaan masyarakat Tionghua," katanya.

Jelas beliau, pembinaan replika setinggi tiga meter itu akan dilakukan oleh tukang batu yang didatangkan dari negara China dan ia dijangka siap Disember ini.

Utusan
9 Sep 2011

Thursday, September 8, 2011

Bantah pembinaan pencawang

MUAR – Kira-kira 200 penduduk di Lorong Hj Mohamad Amin, Bakri di sini berhadapan dengan risiko masalah kesihatan selepas pencawang elektrik dibina berhampiran kediaman mereka.

Penduduk mendakwa pencawang tersebut dibina sejak 1999 meskipun telah mendapat tentangan daripada penduduk tetapi hanya sia-sia.

Salah seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Amalina, 25, berkata, kewujudan menara pencawang elektrik yang terletak kurang 30 meter dari rumahnya dikhuatiri boleh mengundang bahaya terhadap kesihatan dalam jangka masa panjang.

Menurutnya, isu itu sudah dibangkitkan penduduk termasuk bagaimana pencawang elektrik bervoltan tinggi itu boleh diluluskan dan dibina berhampiran kawasan perumahan.

“Perkara utama yang dibimbangkan penduduk mengenai risiko pancaran gelombang dari pencawang yang boleh ternyata boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

“Selain risiko letupan yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk sekitar, pencawang yang dibina kira-kira 20 meter dari kawasan kediaman penduduk dikhuatiri akan memberi kesan radiasi kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, katanya, sejak kewujudan pencawang itu, kehidupannya dan keluarga sudah tidak tenteram kerana bimbang akan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Kami juga bimbang dengan tahap kesihatan penduduk di sini untuk tempoh masa yang panjang.

“Saya sangat sedih kerana lokasi kediaman kami menjadi tempat pembinaan pencawang sedangkan kawasan ini sudah diduduki oleh nenek lebih 50 tahun lalu,” katanya.

Sejak daripada itu juga, pemandangan di hadapan rumahnya menjadi tidak menarik kerana dihiasi dengan pencawang elektrik.

Justeru, pihak berkenaan perlu memandang berat masalah tersebut dan mengambil langkah sewajarnya supaya risiko tersebut dapat dielakkan.

Sinar Harian
8 Sep 2011

Wednesday, September 7, 2011

PGM Muar rampas mercun, bunga api bernilai RM40,000

Nordin Osman (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dirampas di Muar, semalam.

MUAR 6 Sept. - Taktik sekumpulan penyeludup menyembunyikan 3,072 kotak mercun dan bunga api bernilai RM40,000 di sebuah pondok dalam ladang buah-buahan di Jalan Sepang, Jorak di sini, terbongkar apabila diserbu Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Muar, semalam.

Pegawai Pemerintah PGM wilayah berkenaan, Asisten Supritendan Nordin Osman berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 4 petang selepas pihaknya membuat intipan di lokasi tersebut selama tiga hari.

Katanya, siasatan mendapati barangan tersebut yang dibalut rapi dengan plastik dipercayai untuk kegunaan sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi dan pondok itu dijadikan lokasi simpanan sementara

"Operasi diketuai Inspektor Mohd. Naser Marzuke bersama tiga anggota Unit Serbuan PGM Muar. Ketika serbuan, pondok itu tidak berpenghuni.

"Kesemua mercun dan bunga api itu dipercayai dibawa masuk secara haram dan tanpa cukai Kastam," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Pihaknya kini menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemilik ladang berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957.

Utusan
7 Sep 2011


Pondok transit mercun

MUAR – Sebuah pondok di sebuah ladang buah-buahan di Jalan Sepang, Jorak, Bukit Pasir, di sini diserbu Unit Risikan Marin (URM) dari Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua Muar kerana dipercayai menjadi markas untuk menyimpan mercun dan bunga api, kelmarin.

Serbuan hasil daripada maklumat risikan URM selama tiga hari itu berjaya menemui 3,072 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenis dengan anggaran harga RM40,000 tidak termasuk cukai.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin Wilayah 2, Muar, Asisten Superintendan Nordin Osman berkata, mercun dan bunga api itu dipercayai untuk kegunaan pada musim perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Menurutnya, kesemua barangan rampasan dijumpai dalam keadaan baik yang mana kesemua kotak mercun dan bunga api dibungkus dengan plastik.

“Ia bertujuan untuk memastikan barangan rampasan tidak rosak dan boleh digunakan dalam tempoh masa yang lebih lama.

“Operasi ini diketuai oleh Pegawai Perisik dan Operasi Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua Muar, Inspektor Mohd Naser Marzuke bersama tiga anggota Unit Serbuan PGM Muar,” katanya dalam sidang media di Markas Operasi PGM Wilayah Dua Muar di sini, semalam.

Beliau berkata, tiada penghuni ketika serbuan di pondok yang tidak bernombor itu.

“Anggota Unit Serbuan PGM terpaksa mengambil masa yang agak panjang untuk menunggu bagi mengenal pasti pemilik barangan tersebut tetapi tiada sesiapa pun yang hadir di pondok berkenaan yang akhirnya anggota Unit Serbuan memecah pintu pondok kerana dikunci dari luar,” katanya.

Nordin berkata, pondok itu hanya dijadikan sebagai tempat penyimpanan sementara mercun dan bunga api kerana tiada kesan orang tinggal di pondok berkenaan.

Katanya, ia juga menjadi transit sebelum bahan letupan tersebut diagihkan kepada para peniaga di sekitar daerah Muar.

“Kesemua barangan rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PGM Wilayah Dua untuk tujuan dokumentasi.

“Siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengenal pasti sama ada pemilik ladang ini terlibat ataupun tidak,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957.

Sinar Harian
7 Sep 2011