REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Friday, August 31, 2012

Peguam larikan RM1j diburu

MUAR 28 Ogos - Polis sedang mengesan seorang peguam yang didakwa melarikan wang pinjaman Koperasi Perusahaan dan Perniagaan Guru-guru Agama Johor (Kogaj) sebanyak RM1 juta sejak enam tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Shahadan Jaafar berkata, suspek, Zulfadhli Mohd. Yusof, 40, dari Sungai Abong di sini merupakan peguam yang dilantik pihak Kogaj untuk urusan pinjaman daripada Tabung Pusingan Jabatan Pembangunan Koperasi.

"Pinjaman sebanyak RM1,112,000 dibayar kepada Tetuan Zulfadhli & Co. pada 2007. Bagaimanapun suspek hanya membayar RM112,000, manakala baki RM1 juta tidak dibayar kepada pihak Kogaj.

"Suspek kemudian menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan manakala baki RM1 juta masih tidak diterima sehingga hari ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi pihak polis dan kes ini disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muar di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Utusan 29 Ogos 2012

Tuesday, August 28, 2012

Pelajar Dari Muar Menangi Anugerah Utama Universiti Australia


ADELAIDE: Tiga pelajar wanita, kesemuanya dari University of Adelaide, memenangi tiga daripada empat hadiah yang ditawarkan kepada pelajar terbaik Malaysia yang belajar di universiti di Australia Selatan (SA).

Mereka ialah Faustina Niap Chai Foong dari Muar, Johor, Leong Su Ling dari Klang, Selangor dan Musfirah Syahira Musa dari Kapar, Selangor.

Hadiah keempat dimenangi pelajar University of South Australia Danial Fahmi Mohd Zamberi dari Puchong, Selangor.

Setiap tahun Majlis Perniagaan Australia-Malaysia, Cawangan SA, memberikan anugerah kepada tiga pelajar terbaik Malaysia di sini tetapi pada tahun ini tempat kedua dikongsi oleh Su Ling dan Musfirah Syahira.

Tahun lepas, ketiga-tiga anugerah dimenangi tiga pelajar wanita.

Niap, yang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah Sarjana Muda Sains (pra-veterinar), muncul pelajar paling cemerlang tahun ini dengan memenangi Trofi Sir Eric Neal, sebuah iPad dan A$1,500 (A$1 = RM3.23).

Musfirah Syahira, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Kejuruteraan (Petroleum) dan Su Ling, pelajar Sarjana Muda Kesusasteraan, masing-masing menerima trofi dan A$1,000 manakala Danial Fahmi, pelajar Sarjana Muda Kewangan Gunaan, menerima trofi dan A$750.

Anugerah disampaikan oleh Sir Eric Neal, bekas Gabenor Australia Selatan dan penanung AMBC, Cawangan SA pada majlis makan malam di sini pada Sabtu.

Majlis dihadiri kira-kira 280 tetamu termasuk Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Datuk Salman Ahmad, ketua kerajaan Australia Selatan, Jay Weatherill, Datuk Bandar Adelaide, Stephen Yarwood, Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Melbourne Choong Kai Wai, pemimpin perniagaan dan profesional serta pelajar Malaysia.

Presiden AMBC SA Sathish Dasan berkata pemberian anugerah itu bertujuan 'mengenal pasti, membimbing dan memupuk duta perniagaan generasi akan datang" tanpa mengira mereka tinggal di Australia atau kembali ke Malaysia.

"Adalah menjadi harapan kami bahawa dalam menggalakkan kepimpinan dan kecemerlangan, kami akan melabur dalam kemakmuran ekonomi di Australia Selatan dan juga Malaysia," kata Sathish, yang merupakan seorang peguam di Adelaide. - BERNAMA

28 Ogos 2012

Monday, August 27, 2012

Jerit sebelum rentung


PAGOH: “Saya dengar jeritan pemandu lori itu meminta tolong. Saya cuba membantu malangnya api marak menyebabkan gagal menghampiri lori dipandunya sebelum jeritan semakin perlahan dan berhenti,” kata saksi kemalangan yang hanya mahu dikenali sebagai Bala, 40, menceritakan kemalangan maut di Kawasan Perindustrian Pagoh, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, sebuah Proton Satria dipandu Megat Marwan Ismail, 20-an dan lori tiga tan dipandu Ah Boon, 47, bertembung menyebabkan lori berkenaan terbakar. Kedua-dua mangsa turut meninggal dunia di lokasi kejadian.

Bala berkata, sebaik kemalangan, dia melihat pemandu lori berkenaan yang cedera cuba menyelamatkan diri, tetapi gagal apabila lori itu tiba-tiba terbakar.

“Saya dengar pemandu itu ada menjerit meminta tolong tetapi suaranya lama-kelamaan semakin perlahan sebelum berhenti.

“Saya dan pengguna lain yang kebetulan melalui jalan berkenaan cuba membantu namun gagal kerana api marak begitu cepat.

myMetro
27 Ogos 2012

Friday, August 24, 2012

Tak sangka sekelip mata jadi OKU


Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada Abd Razak pada Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Yayasan Veteran ATM 2012

MUAR – “Saya sangat bersyukur kerana ALLAH SWT panjangkan umur. Walaupun lumpuh tetapi saya gembira kerana masih diberikan peluang untuk bersama keluarga tercinta,” kata bekas tentera, Abd Razak Salam, 51.

Mengimbau kembali peristiwa yang telah merubah hidupnya, Abd Razak berkata, 2008 merupakan tahun yang tidak boleh dilupakan sepanjang hayatnya kerana dia berubah status dan bergelar orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, dia tidak menyangka hasratnya untuk membaiki rumah bertukar malang apabila dinding batu rumah tersebut menghempapnya mengakibatkan tulang belakangnya patah dan menjadi lumpuh.

“Saya terlantar di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, selama sebulan kerana kecederaan pada tulang belakang.

“Saya hanya mampu menangis kecewa apabila doktor beritahu tulang belakang patah dan menjadi lumpuh sepanjang hayat,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya,  walaupun peristiwa itu sudah berlalu empat tahun lalu, tetapi kekecewaan tersebut masih terasa hingga ke hari ini.

“Usaha untuk menyembuhkan penyakit ini tidak terhenti begitu sahaja.  Pelbagai cara dilakukan  termasuk  mencuba kaedah perubatan tradisional selama setahun, tetapi tidak berjaya.

“Sekali lagi saya kecewa, namun perasaan ini berjaya dikurangkan hasil sokongan isteri Noriha Mufadi,50, yang tidak pernah jemu memberi nasihat dan setia di samping saya,” katanya.

Bapa kepada empat anak ini tidak mempunyai pencen kerana berhenti awal daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1998.

Bagi meneruskan kehidupan, Abd Razak mengambil tender mengusahakan kantin sekolah di bandar ini yang turut dibantu isterinya.

Malangnya, sejak ditimpa peristiwa itu, Abd Razak tidak berdaya meneruskan perniagaan kantin sekolah yang diusahakannya.

“Kini saya  bergantung hidup  dengan bantuan kewangan sebanyak RM 150 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM100 daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), kira-kira empat tahun lalu.

“Tiga daripada empat anak sudah bekerja dan mereka juga banyak membantu meringankan beban,” katanya yang menetap di Jalan Haji Jaib, Bakri.

Katanya, dia sangat terharu kerana JHEV dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Cawangan Muar begitu prihatin dengan nasib yang menimpanya melalui pemberian bantuan kewangan dan sumbangan Aidilfitri.

Sinar Harian
24 Ogos 2012

Jurukimpal maut ditikam adik ipar




MELAKA – Niat murni seorang lelaki yang menegur adik iparnya yang didakwa kerap memukul isteri berakhir dengan mangsa mati ditikam oleh pemuda itu di sebuah rumah di Kampung Serkam Pantai di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam, mangsa, Rashid Ahmad, 46, meninggal dunia di Hospital Melaka pada pukul 1.40 pagi semalam selepas mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang kiri akibat ditikam adik iparnya yang berusia 41 tahun.

Amat menyedihkan apabila tragedi berdarah tersebut berlaku di rumah ibu Rashid pada hari raya keempat ketika suspek, mangsa bersama sanak saudara berkumpul di rumah tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, siasatan polis mendapati sebelum kejadian mangsa yang bekerja sebagai jurukimpal di Muar, Johor dikatakan menegur sikap adik iparnya itu ekoran suspek didakwa kerap memukul isterinya yang merupakan adik perempuan mangsa.

“Teguran mangsa menyebabkan suspek marah lalu berlaku pergaduhan dan pergelutan.

“Semasa pergelutan suspek tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam mangsa,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Melaka di sini.

Menurut beliau, selepas ditikam mangsa yang masih bernyawa dihantar ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan tetapi dia disahkan meninggal dunia pada pukul 1.40 pagi.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kata beliau, polis belum menahan suspek kerana lelaki itu menghilangkan diri dengan memandu sebuah kereta Proton Iswara berwarna hitam selepas kejadian tersebut.

Raja Shahrom berkata suspek yang merupakan seorang pemandu di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya kemudian melarikan diri menaiki kenderaannya iaitu Proton Iswara berwarna hitam dan bernombor plat NCB3205.

Sementara itu, isteri Rashid, Siti Hawa Ibrahim, 44, berkata, dia tidak sangka teguran suaminya terhadap adik iparnya boleh mencetuskan pergaduhan sehingga meragut nyawanya.

“Ketika kejadian saya dan sanak saudara berada di dalam rumah manakala suami dan adik ipar berada di luar rumah selepas suami selesai menunaikan solat Maghrib.

“Saya hanya mengetahui suami saya ditikam selepas terdengar jeritan kuat ‘sakit’, ‘sakit’,” ceritanya ketika ditemui di Kampung Serkam Pantai di sini.

Siti Hawa memberitahu, dia yang keluar melihat apa yang berlaku nampak adik iparnya memegang sebilah pisau manakala suaminya terbaring berlumuran darah.

“Saya melihat suami terbaring mengerang kesakitan di bawah pokok manakala adik iparnya pula memegang pisau. Saya berlari mendapatkan arwah dan dalam keadaan lemah dia sempat memohon maaf.

“Panik dengan kejadian itu, adik ipar suami menghantar arwah dan saya ke hospital sebelum meninggalkan kami di situ,” katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya, Timah Mohamad, 74, di sini, semalam.

Abang mangsa, Izhar, 50, yang mengalami masalah lemah tangan akibat serangan angin ahmar berkata dia cuba meleraikan pergaduhan antara kedua-duanya tetapi tidak berjaya malah turut mengalami kecederaan di kaki.

Jenazah Rashid yang merupakan bapa kepada tiga orang anak berusia antara sembilan hingga 14 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Jalan Bakri Muar, Johor semalam.

Sumber Kosmo dan Berita Harian
24 Ogos 2012

Friday, August 10, 2012

Bakal pengantin maut rempuh tembok jalan


KEADAAN kereta Soon Hup yang remuk teruk selepas melanggar tembok batu dan tiang lampu di Parit Pulai, Jalan Abdul Rahman, Muar kelmarin. Gambar kecil, Chia Soon Hup.

MUAR - Seorang pemborong otak-otak terpaksa menahan kesakitan selama 20 minit akibat tersepit sebelum maut selepas kereta yang dipandunya merempuh tembok jalan dan tiang lampu di Parit Pulai, Jalan Abdul Rahman di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, Chia Soon Hup, 31, yang berasal dari Jalan Jabbar, Parit Jawa dekat sini disahkan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketika kejadian, mangsa yang dalam perjalanan ke Muar dikatakan hilang kawalan menyebabkan kereta Toyota yang dipandunya masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh tembok jalan dan tiang lampu.

Ekoran rempuhan itu, kenderaan mangsa remuk teruk dan Soon Hup tersepit di tempat duduk pemandu.

Pegawai Operasi Kanan I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmud berkata, pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang cedera parah di kepala akibat terhantuk pada stereng.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Ang, 50-an, memberitahu, sebelum kejadian, penduduk setempat mendengar bunyi dua dentuman kuat yang pada mulanya disangka bunyi guruh.

Kosmo
10 Ogos 2012


Kereta rempuh tembok jalan

Keadaan kereta Toyota Vios yang di pandu Soon Hup


Soon Hup maut di tempat kejadian selepas kereta Toyota Vios yang dipandunya merempuh tembok jalan dan tiang lampu di Parit Pulai, Jalan Abdul Rahman, malam kelmarin

MUAR – Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya merempuh tembok jalan dan tiang lampu di Parit  Pulai, Jalan Abdul Rahman, malam kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, mangsa, Chia Soon Hup, 31, meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan anggota badan lain.

Soon Hup memandu sendirian kereta Toyota Vios dari Parit Jawa menghala ke Muar, dikatakan mahu berjumpa rakannya di bandar ini.

Bagaimanapun, setiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk laluan bertentangan serta merempuh  tembok jalan di kawasan selekoh sebelum melanggar tiang lampu.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa remuk di bahagian hadapan dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa.

“Ketika operasi menyelamat dilakukan, mangsa sudah tidak bernyawa.

“Mangsa dipercayai mengalami kecederaan teruk di kepala setelah terhantuk dengan kuat di bahagian stereng.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

Sinar Harian
10 Ogos 2012


Wednesday, August 8, 2012

Padah curi beg dalam kereta


MUAR – Tindakan berani seorang lelaki yang aktif mencuri beg dalam kereta mengundang padah apabila ditangkap polis kurang 24 jam selepas melakukan kegiatan tersebut.

Kejadian kira-kira jam 2 petang, 4 Ogos lalu itu berlaku semasa mangsa iaitu remaja perempuan berusia 19 tahun memberhentikan kereta di ruang parkir berhampiran kedai di Jalan Khalidi, di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, tindakan suspek berusia 36 tahun membuka pintu belakang kereta telah disedari mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu.

Menurutnya, sebelum sempat mangsa menyelamatkan begnya, suspek bertindak melarikan diri bersama beg tersebut.

“Mangsa yang merupakan pekerja sebuah pusat kecantikan di bandar ini kemudiannya membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Susulan itu, polis melancarkan gerakan memburu sehingga berjaya menahan suspek di rumahnya di Bakri, pada 5 Ogos, kira-kira jam 12.30 pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, kelmarin.

Katanya, turut dirampas sebuah beg mengandungi kad ATM, pasport, barang kemas dan wang tunai RM906 dipercayai milik mangsa.

“Suspek yang merupakan pemandu lori itu dibawa ke IPD Muar untuk siasatan lanjut dan didapati bebas dadah ketika ujian air kencing dilakukan ke atasnya.

“Dia ditahan reman sehingga esok (hari ini), sebelum didakwa di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, dengan penangkapan suspek berjaya menyelesaikan kes kecurian dalam kereta yang didalangi suspek dan sebelum ini pernah berlaku di beberapa kawasan di daerah ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sinar Harian
8 Ogos 2012

Thursday, August 2, 2012

Ular tedung selar disangka tali



Izzuddin (tengah) bersama anggota JPAM Muar menunjukkan ular tedung selar sepanjang enam meter yang berjaya ditangkap.

MUAR – “Saya sangka tali, tetapi berasa pelik apabila objek ini bergerak-gerak dan setelah diamati rupanya seekor ular tedung selar,” kata Mohd Ghani Mahat, 26. Mohd Ghani yang merupakan pemandu jentera pengorek Kobe,  menjumpai ular tedung selar sepanjang enam meter itu ketika membersihkan sebuah parit untuk kerja-kerja pemasangan batu sangkar di Jalan Kangkar Senangar, Pagoh, dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, dia menyedari kemunculan ular tersebut semasa mengangkat pengorek jentera itu untuk membuang lalang yang dibersihkan.

“Tiba-tiba saya nampak objek bergerak-gerak dan baru sedar terdapat seekor ular tedung selar terperangkap bersama lalang pada pengorek jentera ini.

“Empat rakan lain yang menyaksikan kejadian turut terkejut, lalu mengarahkan saya supaya segera menurunkan pengorek dan tindih haiwan ini dengan pengorek bagi mengelaknya menjadi agresif,” katanya.

Katanya, mujur dia bertindak pantas, jika tidak, pasti reptilia tersebut boleh mengancam nyawa mereka. “Memang terkejut lihat reptilia ini kerana saiznya agak besar dan panjang, lebih-lebih lagi apabila ia cuba mengembangkan  kepalanya,” katanya yang pertama kali melihat ular tedung selar bersaiz seperti itu sejak lebih setahun menjadi pemandu jentera pengorek.

Mohd Ghani berkata, salah seorang rakannya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Muar untuk menangkap ular tersebut.

Sementara itu Ketua Operasi JPA Muar, Izzuddin Ali berkata, operasi menangkap ular tedung selar itu membabitkan lima anggotanya termasuk beliau sendiri.

“Kami terpaksa ambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular berkenaan yang berada di bawah pengorek. “Walaupun ular ditindih dengan pengorek, tapi kami tetap ambil langkah berjaga-jaga kerana reptilia ini sangat  merbahaya,” katanya.

Izzuddin berkata, kami bersyukur operasi berjalan dengan selamat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini dan ular itu akhirnya dapat ditangkap.

Katanya lagi, reptilia tersebut kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Sinar Harian
2 Ogos 2012

Empat ahli perniagaan rugi RM138,700


MUAR - Empat ahli perniagaan termasuk dua wanita kerugian RM138,700 selepas diperdaya satu sindiket yang menyamar sebagai pegawai bank dan meminta semua mangsa memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan kerana didakwa mempunyai hutang kad kredit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, kejadian pertama pada 11 Julai, seorang wanita berusia 52 tahun terpedaya dengan kumpulan terbabit dan memasukkan RM22,000 ke dalam akaun yang dinyatakan.

Menurutnya, kejadian kedua pada 13 Julai lalu membabitkan dua mangsa dengan  kerugian RM98,700, manakala kejadian terakhir pada 17 Julai lalu, seorang lelaki memasukkan wang sebanyak RM18,000.

“Kumpulan berkenaan menghubungi mangsa dan memberitahu kononnya mereka dari ibu pejabat sebuah bank di Kuala Lumpur.

“Mereka meminta mangsa membayar jumlah penggunaan kad kredit mereka yang dikatakan digunakan pihak lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.

Sahadan berkata, kumpulan berkenaan menggunakan nombor telefon institusi kewangan sebenar di Kuala Lumpur termasuk Bank Negara untuk memperdayakan mangsanya apabila menghubungi semula nombor tersebut.

Menurutnya, pihaknya merayu kepada orang ramai supaya tidak percaya jika terima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mengaku sebagai pegawai bank dan minta segera menghubungi pihak polis.

Sinar Harian
2 Ogos 2012

Penjual pakaian berdepan hukuman gantung


AYER KEROH - Seorang wanita bakal berdepan hukuman gantung sampai mati jika didapati bersalah atas pertuduhan memiliki 3,854 gram pelbagai jenis dadah berbahaya, bulan lalu.

Gan Chiew Thing, 30, dari Muar, Johor, didakwa atas tiga pertuduhan di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif di Mahkamah Majistret di sini, semalam, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, Chiew Thing didakwa memiliki dadah berbahaya jenis methyldioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 1,580 gram; ketamin (2,106 gram) dan methamphetamine (168 gram).

Chiew Thing yang bekerja menjual pakaian secara atas talian didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Pertam Jaya, kira-kira jam 11 pagi pada 18 Julai 2012.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B2 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi pertuduhan memiliki methyldioxymethamphetamine dan ketamin, selain Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 bagi kesalahan memiliki methamphetamine yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohamad Juhari Haron ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan tarikh sebutan semula sebelum Ida Rahayu menetapkan kes disebut semula pada 25 September depan bagi mendengar laporan kimia untuk mengetahui berat sebenar dadah.

Sinar Harian
2 Ogos 2012

Kerani bersekongkol dengan suami pecah amanah


MUAR - Seorang kerani sebuah kilang perabot di Parit Jamil dekat Parit Jawa, tergamak bersekongkol dengan suaminya memalsukan 52 cek milik syarikat bernilai RM 469,087 bertujuan untuk mengaut keuntungan dengan jalan mudah.

Bagaimanapun, perbuatannya sejak setahun lalu itu terbongkar, selepas pengurus syarikat perabot berkenaan membuat laporan polis berkaitan pecah amanah selepas mendapati akuan kewangan syarikat meragukan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, melalui laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum menahan wanita berkenaan berusia 30 tahun di Jalan Temenggung Ahmad, di sini, pada 9 Julai lalu.

Menurutnya, suami wanita itu yang berusia 35 tahun turut ditahan kerana dipercayai terbabit sama memalsukan cek berkenaan.

“Wanita ini menggunakan alat khas untuk memadamkan nama dan jumlah wang pada cek yang hendak dibayar kilangnya kepada pembekal sehingga pihak bank sendiri tidak menyedari penipuannya.

“Tetapi sebenarnya, wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun miliknya dan suami tanpa diketahui orang lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, semalam.

Sahadan berkata, pasangan berkenaan sangat licik dan dipercayai terjebak dalam kegiatan itu sejak awal 2011 serta menggunakan pelbagai peralatan canggih untuk memalsukan cek syarikat.

Jelasnya, wanita ini berhenti kerja pada hujung tahun lalu dipercayai untuk mengelak daripada kegiatannya terbongkar.

“Pasangan berkenaan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes  disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika  sabit kesalahan.

Sinar Harian
2 Ogos 2012