Thursday, August 2, 2012

Empat ahli perniagaan rugi RM138,700


MUAR - Empat ahli perniagaan termasuk dua wanita kerugian RM138,700 selepas diperdaya satu sindiket yang menyamar sebagai pegawai bank dan meminta semua mangsa memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan kerana didakwa mempunyai hutang kad kredit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, kejadian pertama pada 11 Julai, seorang wanita berusia 52 tahun terpedaya dengan kumpulan terbabit dan memasukkan RM22,000 ke dalam akaun yang dinyatakan.

Menurutnya, kejadian kedua pada 13 Julai lalu membabitkan dua mangsa dengan  kerugian RM98,700, manakala kejadian terakhir pada 17 Julai lalu, seorang lelaki memasukkan wang sebanyak RM18,000.

“Kumpulan berkenaan menghubungi mangsa dan memberitahu kononnya mereka dari ibu pejabat sebuah bank di Kuala Lumpur.

“Mereka meminta mangsa membayar jumlah penggunaan kad kredit mereka yang dikatakan digunakan pihak lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.

Sahadan berkata, kumpulan berkenaan menggunakan nombor telefon institusi kewangan sebenar di Kuala Lumpur termasuk Bank Negara untuk memperdayakan mangsanya apabila menghubungi semula nombor tersebut.

Menurutnya, pihaknya merayu kepada orang ramai supaya tidak percaya jika terima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mengaku sebagai pegawai bank dan minta segera menghubungi pihak polis.

Sinar Harian
2 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment