Thursday, August 2, 2012

Kerani bersekongkol dengan suami pecah amanah


MUAR - Seorang kerani sebuah kilang perabot di Parit Jamil dekat Parit Jawa, tergamak bersekongkol dengan suaminya memalsukan 52 cek milik syarikat bernilai RM 469,087 bertujuan untuk mengaut keuntungan dengan jalan mudah.

Bagaimanapun, perbuatannya sejak setahun lalu itu terbongkar, selepas pengurus syarikat perabot berkenaan membuat laporan polis berkaitan pecah amanah selepas mendapati akuan kewangan syarikat meragukan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, melalui laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum menahan wanita berkenaan berusia 30 tahun di Jalan Temenggung Ahmad, di sini, pada 9 Julai lalu.

Menurutnya, suami wanita itu yang berusia 35 tahun turut ditahan kerana dipercayai terbabit sama memalsukan cek berkenaan.

“Wanita ini menggunakan alat khas untuk memadamkan nama dan jumlah wang pada cek yang hendak dibayar kilangnya kepada pembekal sehingga pihak bank sendiri tidak menyedari penipuannya.

“Tetapi sebenarnya, wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun miliknya dan suami tanpa diketahui orang lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, semalam.

Sahadan berkata, pasangan berkenaan sangat licik dan dipercayai terjebak dalam kegiatan itu sejak awal 2011 serta menggunakan pelbagai peralatan canggih untuk memalsukan cek syarikat.

Jelasnya, wanita ini berhenti kerja pada hujung tahun lalu dipercayai untuk mengelak daripada kegiatannya terbongkar.

“Pasangan berkenaan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes  disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika  sabit kesalahan.

Sinar Harian
2 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment