Friday, August 24, 2012

Jurukimpal maut ditikam adik ipar




MELAKA – Niat murni seorang lelaki yang menegur adik iparnya yang didakwa kerap memukul isteri berakhir dengan mangsa mati ditikam oleh pemuda itu di sebuah rumah di Kampung Serkam Pantai di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam, mangsa, Rashid Ahmad, 46, meninggal dunia di Hospital Melaka pada pukul 1.40 pagi semalam selepas mengalami kecederaan parah di bahagian pinggang kiri akibat ditikam adik iparnya yang berusia 41 tahun.

Amat menyedihkan apabila tragedi berdarah tersebut berlaku di rumah ibu Rashid pada hari raya keempat ketika suspek, mangsa bersama sanak saudara berkumpul di rumah tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, siasatan polis mendapati sebelum kejadian mangsa yang bekerja sebagai jurukimpal di Muar, Johor dikatakan menegur sikap adik iparnya itu ekoran suspek didakwa kerap memukul isterinya yang merupakan adik perempuan mangsa.

“Teguran mangsa menyebabkan suspek marah lalu berlaku pergaduhan dan pergelutan.

“Semasa pergelutan suspek tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam mangsa,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Melaka di sini.

Menurut beliau, selepas ditikam mangsa yang masih bernyawa dihantar ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan tetapi dia disahkan meninggal dunia pada pukul 1.40 pagi.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kata beliau, polis belum menahan suspek kerana lelaki itu menghilangkan diri dengan memandu sebuah kereta Proton Iswara berwarna hitam selepas kejadian tersebut.

Raja Shahrom berkata suspek yang merupakan seorang pemandu di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya kemudian melarikan diri menaiki kenderaannya iaitu Proton Iswara berwarna hitam dan bernombor plat NCB3205.

Sementara itu, isteri Rashid, Siti Hawa Ibrahim, 44, berkata, dia tidak sangka teguran suaminya terhadap adik iparnya boleh mencetuskan pergaduhan sehingga meragut nyawanya.

“Ketika kejadian saya dan sanak saudara berada di dalam rumah manakala suami dan adik ipar berada di luar rumah selepas suami selesai menunaikan solat Maghrib.

“Saya hanya mengetahui suami saya ditikam selepas terdengar jeritan kuat ‘sakit’, ‘sakit’,” ceritanya ketika ditemui di Kampung Serkam Pantai di sini.

Siti Hawa memberitahu, dia yang keluar melihat apa yang berlaku nampak adik iparnya memegang sebilah pisau manakala suaminya terbaring berlumuran darah.

“Saya melihat suami terbaring mengerang kesakitan di bawah pokok manakala adik iparnya pula memegang pisau. Saya berlari mendapatkan arwah dan dalam keadaan lemah dia sempat memohon maaf.

“Panik dengan kejadian itu, adik ipar suami menghantar arwah dan saya ke hospital sebelum meninggalkan kami di situ,” katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya, Timah Mohamad, 74, di sini, semalam.

Abang mangsa, Izhar, 50, yang mengalami masalah lemah tangan akibat serangan angin ahmar berkata dia cuba meleraikan pergaduhan antara kedua-duanya tetapi tidak berjaya malah turut mengalami kecederaan di kaki.

Jenazah Rashid yang merupakan bapa kepada tiga orang anak berusia antara sembilan hingga 14 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Jalan Bakri Muar, Johor semalam.

Sumber Kosmo dan Berita Harian
24 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment