Wednesday, August 8, 2012

Padah curi beg dalam kereta


MUAR – Tindakan berani seorang lelaki yang aktif mencuri beg dalam kereta mengundang padah apabila ditangkap polis kurang 24 jam selepas melakukan kegiatan tersebut.

Kejadian kira-kira jam 2 petang, 4 Ogos lalu itu berlaku semasa mangsa iaitu remaja perempuan berusia 19 tahun memberhentikan kereta di ruang parkir berhampiran kedai di Jalan Khalidi, di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, tindakan suspek berusia 36 tahun membuka pintu belakang kereta telah disedari mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu.

Menurutnya, sebelum sempat mangsa menyelamatkan begnya, suspek bertindak melarikan diri bersama beg tersebut.

“Mangsa yang merupakan pekerja sebuah pusat kecantikan di bandar ini kemudiannya membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Susulan itu, polis melancarkan gerakan memburu sehingga berjaya menahan suspek di rumahnya di Bakri, pada 5 Ogos, kira-kira jam 12.30 pagi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, kelmarin.

Katanya, turut dirampas sebuah beg mengandungi kad ATM, pasport, barang kemas dan wang tunai RM906 dipercayai milik mangsa.

“Suspek yang merupakan pemandu lori itu dibawa ke IPD Muar untuk siasatan lanjut dan didapati bebas dadah ketika ujian air kencing dilakukan ke atasnya.

“Dia ditahan reman sehingga esok (hari ini), sebelum didakwa di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, dengan penangkapan suspek berjaya menyelesaikan kes kecurian dalam kereta yang didalangi suspek dan sebelum ini pernah berlaku di beberapa kawasan di daerah ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sinar Harian
8 Ogos 2012

0 comments:

Post a Comment