Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada Abd Razak pada Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Yayasan Veteran ATM 2012
MUAR – “Saya sangat bersyukur kerana ALLAH SWT panjangkan umur. Walaupun lumpuh tetapi saya gembira kerana masih diberikan peluang untuk bersama keluarga tercinta,” kata bekas tentera, Abd Razak Salam, 51.
Mengimbau kembali peristiwa yang telah merubah hidupnya, Abd Razak berkata, 2008 merupakan tahun yang tidak boleh dilupakan sepanjang hayatnya kerana dia berubah status dan bergelar orang kurang upaya (OKU).
Menurutnya, dia tidak menyangka hasratnya untuk membaiki rumah bertukar malang apabila dinding batu rumah tersebut menghempapnya mengakibatkan tulang belakangnya patah dan menjadi lumpuh.
“Saya terlantar di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, selama sebulan kerana kecederaan pada tulang belakang.
“Saya hanya mampu menangis kecewa apabila doktor beritahu tulang belakang patah dan menjadi lumpuh sepanjang hayat,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, walaupun peristiwa itu sudah berlalu empat tahun lalu, tetapi kekecewaan tersebut masih terasa hingga ke hari ini.
“Usaha untuk menyembuhkan penyakit ini tidak terhenti begitu sahaja. Pelbagai cara dilakukan termasuk mencuba kaedah perubatan tradisional selama setahun, tetapi tidak berjaya.
“Sekali lagi saya kecewa, namun perasaan ini berjaya dikurangkan hasil sokongan isteri Noriha Mufadi,50, yang tidak pernah jemu memberi nasihat dan setia di samping saya,” katanya.
Bapa kepada empat anak ini tidak mempunyai pencen kerana berhenti awal daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1998.
Bagi meneruskan kehidupan, Abd Razak mengambil tender mengusahakan kantin sekolah di bandar ini yang turut dibantu isterinya.
Malangnya, sejak ditimpa peristiwa itu, Abd Razak tidak berdaya meneruskan perniagaan kantin sekolah yang diusahakannya.
“Kini saya bergantung hidup dengan bantuan kewangan sebanyak RM 150 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM100 daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), kira-kira empat tahun lalu.
“Tiga daripada empat anak sudah bekerja dan mereka juga banyak membantu meringankan beban,” katanya yang menetap di Jalan Haji Jaib, Bakri.
Katanya, dia sangat terharu kerana JHEV dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Cawangan Muar begitu prihatin dengan nasib yang menimpanya melalui pemberian bantuan kewangan dan sumbangan Aidilfitri.
Sinar Harian
24 Ogos 2012
0 comments:
Post a Comment