AYER KEROH - Seorang wanita bakal berdepan hukuman gantung sampai mati jika didapati bersalah atas pertuduhan memiliki 3,854 gram pelbagai jenis dadah berbahaya, bulan lalu.
Gan Chiew Thing, 30, dari Muar, Johor, didakwa atas tiga pertuduhan di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif di Mahkamah Majistret di sini, semalam, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, Chiew Thing didakwa memiliki dadah berbahaya jenis methyldioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 1,580 gram; ketamin (2,106 gram) dan methamphetamine (168 gram).
Chiew Thing yang bekerja menjual pakaian secara atas talian didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Pertam Jaya, kira-kira jam 11 pagi pada 18 Julai 2012.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B2 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi pertuduhan memiliki methyldioxymethamphetamine dan ketamin, selain Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 bagi kesalahan memiliki methamphetamine yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohamad Juhari Haron ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan tarikh sebutan semula sebelum Ida Rahayu menetapkan kes disebut semula pada 25 September depan bagi mendengar laporan kimia untuk mengetahui berat sebenar dadah.
Sinar Harian
2 Ogos 2012
0 comments:
Post a Comment