Monday, August 25, 2014

Minum Cina, makan Melayu

PETER (kanan) bersama Isahak (kiri) melayan Batumalai.

Muar: Semangat muhibah dan tolak ansur yang diamalkan penduduk negara ini sejak sebelum merdeka menjadi pendorong kepada dua peniaga berlainan bangsa dan kepercayaan untuk berkongsi mencari rezeki di sebuah kopitiam di Jalan Petrie di sini, sejak 14 tahun lalu.

Malah, bagi peniaga minuman, Peter Yuo, 68, konsep berkongsi perniagaan itu diwarisi mendiang bapanya yang membuka kedai minuman, namun makanan disediakan rakannya yang berketurunan Melayu.

“Sebagai rakyat Malaysia yang sudah lama tinggal bersama masyarakat Melayu dan India, keluarga kami tidak berdepan masalah berkongsi kedai ini dengan rakan berlainan bangsa.

“Malah, ia menambah rezeki kerana mempunyai pelanggan terdiri pelbagai bangsa.

“Sejak lebih 60 tahun lalu, bapa berniaga di bandar ini dan apabila mengambil alih perniagaan ini 40 tahun lalu, saya meneruskan usaha itu bersama rakan niaga Melayu yang menyewa tapak untuk menjual makanan,” katanya yang tinggal di Sungai Abong.

Peter yang dikenali sebagai Ah Yong berkata, sebelum ini seorang peniaga nasi ayam menyewa kedai sebelum bertukar kepada peniaga nasi beriani selama 30 tahun.

Katanya, sejak 14 tahun lalu, dia bekerjasama dengan penjual makanan nasi campur hingga sekarang.

“Kami saling menghormati dan tidak pertikaikan agama, budaya dan perkara sensitif membabitkan kaum kerana kita tentunya tidak suka kepentingan masing-masing diganggu,” katanya.

Menurut Peter, dia tiada masalah berniaga dengan peniaga Melayu dan kini bekerjasama dengan Isahak Samad, 64, berjaya memajukan perniagaan apabila menarik ramai pelanggan.

“Malah, saya hanya makan makanan yang dimasak isterinya, Faizah Yusof (56) kerana menepati selera,” katanya.

Menurutnya, kebelakangan ini wujud pihak yang cuba mencetuskan kebencian antara kaum di alam maya apabila ada yang mula mempertikaikan keistimewaan satu-satu pihak dan ia tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, kebencian dan sikap mula mempertikaikan hak sesuatu kaum itu dibawa ahli politik yang menanam sifat membenci hingga menggugat keharmonian penduduk negara ini.

Menurutnya, tidak sepatutnya masyarakat terpengaruh kerana ia hanya modal politik untuk meraih sokongan, sedangkan hakikat sebenar ialah semua rakyat di negara ini memerlukan antara satu sama lain.

Sementara itu, Isahak berkata, dia membantu isterinya membuka kedai makan sejak 14 tahun lalu selepas diberitahu ada ruang berikutan peniaga nasi beriani berpindah ke kedai lain.

“Saya memandu teksi hampir 30 tahun dan apabila isteri beritahu ada kedai kosong, kami berpendapat sudah tiba masanya membuka kedai makan.

“Sejak 14 tahun lalu, saya membantu perniagaan isteri dan Alhamdulillah ia diterima masyarakat setempat. Malah, sudah menjadi kebiasaan di bandar ini melihat peniaga Melayu menjual makanan dan peniaga Cina menjual minuman seperti peniaga mi bandung dan sate,” katanya yang tinggal di Bakri di sini.

Isahak yang membuka kedai dari Ahad hingga Khamis berkata, dia berjiran dengan masyarakat Cina sejak 70 tahun lalu dan tidak pernah berselisih faham dengan mereka.

Katanya, semua masalah boleh diselesaikan dengan baik dan tiada sebab mereka mahu merosakkan keharmonian yang terjalin selama ini.

Menurutnya, generasi muda perlu menilai erti sebenar kemerdekaan dan jangan terlalu mudah mempercayai apa yang disiarkan di internet atau media sosial kerana kebanyakannya berunsur fitnah.

Seorang pelanggan, A Batumalai, 43, berkata tiada masalah makan masakan Faizah dan minuman disediakan Ah Yong sejak lapan tahun lalu.

Katanya, selain masakan terutama asam pedas yang enak, ramai pelanggan datang ke kedai itu kerana kopi disediakan Ah Yong istimewa.

myMetro
25 Ogos 2014

0 comments:

Post a Comment