REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Friday, June 20, 2014

Guru patah tangan, murid patah kaki

BAS dipercayai gagal memotong treler sebelum merempuh belakang kenderaan itu.

Muar: Seorang guru patah tangan manakala muridnya patah kaki kanan apabila bas rombongan dinaiki mereka dari Kuala Lumpur hala selatan merempuh sebuah treler di Kilometer 48.4 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini pada 1.15 pagi tadi.

Pemandu bas berkenaan pula patah kaki kiri.

Kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu bas gagal memintas treler dan menyebabkannya merempuh belakang kenderaan berkenaan.

Bas itu dalam perjalanan pulang ke Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, Batu Pahat dan membawa semua penumpang perempuan manakala sebuah lagi bas rombongan yang berada di belakang membawa guru dan murid lelaki.

Semua penumpang yang tidak cedera dipindahkan ke bas kedua manakala semua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.

myMetro
20 Jun 2014

Karnival sempena KMJ 2014 hari ini

Beberapa petugas membuat persiapan sempena Karnival Kembara Mahkota Johor 2014 di Bukit Timbalan, Johor Bahru, semalam.

MUAR 19 Jun - Majlis Perbandaran Muar (MPM) menganjurkan Karnival Kembara Mahkota Johor (KMJ 2014) dan sambutan Hari Perbandaran Muar Ke-13 di Dataran Tanjung Emas di sini selama empat hari bermula esok.

Yang Dipertua MPM, Ramlee A. Rahman berkata, pelbagai acara menarik disediakan untuk pengunjung antaranya pameran, demonstrasi hasil seni dan kraf tangan serta persembahan hiburan daripada artis tempatan.

"Selain disertai usahawan industri kecil dan sederhana, karnival ini disertai pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Penjara, Jabatan Kesihatan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Pada hari pertama, pameran dibuka bermula pukul 8 pagi hingga pukul 12 tengah malam manakala pada pukul 9 malam, dianjurkan Forum Perdana Hal Ehwal Islam.

"Pada hari kedua, orang ramai boleh menyaksikan pameran belon udara panas, pertandingan bola dan persembahan artis termasuk Nash Lefthanded, Jambu dan Airyn Farawaniz bermula pukul 9 malam," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Ramlee, bermula pukul 8 pagi Ahad pula, orang ramai berpeluang melihat motosikal berkuasa tinggi, wall climbing dan pertandingan Mr. Badan Cantik serta persembahan kugiran Sekolah Tinggi Muar dan Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Abu Bakar.

Katanya, kemuncak sambutan adalah ketibaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum pelbagai acara menarik diadakan termasuklah persembahan flying board dan pertunjukan bola sepak membabitkan pemain JDT.

Pada masa sama katanya, MPM akan menutup Jalan Majidee, Jalan Khalidi dan jalan sekitarnya bagi memberi laluan kepada pertandingan Muar Sihat 10,000 Langkah yang akan diadakan pada pukul 7.30 pagi, Isnin ini.

Selepas itu katanya, MPM akan menutup Jalan Petrie di pusat bandar ini selama dua jam bermula pukul 11 pagi bagi memberi laluan kepada Sultan Johor mengetuai rombongan KMJ 2014 ke Dataran Tanjung Emas.

"Penutupan jalan hanya dilakukan sebelum dan ketika Sultan Ibrahim melaluinya dan akan dibuka semula sejurus baginda tiba di Tanjung Emas. Kami sudah mengedarkan risalah kepada peniaga dan pengguna jalan berkenaan berkaitan penutupan Jalan Petrie dan berharap semua pihak memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Pada mulanya, rombongan itu bercadang melalui keseluruhan Jalan Abdullah namun disebabkan baginda bakal memandu bas jenis Super Coach dengan saiz yang besar berbanding bas biasa, adalah lebih sesuai menggunakan Jalan Petrie," ujarnya.

Utusan
20 Jun 2014

Thursday, June 19, 2014

PR1MA di pinggir bandar Muar

MUAR 18 Jun - Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dibina di kawasan seluas lapan hektar di Jalan Junid di sini tidak lama lagi dalam usaha memastikan rakyat berpendapatan rendah di daerah ini memiliki rumah sendiri.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, pangsapuri empat tingkat akan didirikan di kawasan seluas dua hektar manakala rumah setingkat mengikut dua kategori pula dibina di baki tanah seluas enam hektar.

"Kawasan perumahan ini dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk surau, taman permainan kanak-kanak dan tadika. Ini semua merupakan perancangan awal pihak kami.

"Jenis rumah adalah mengikut spesifikasi Perbadanan PR1MA Malaysia kerana kami mahu orang ramai membeli rumah berkualiti tinggi dan selesa dengan reka bentuk terkini dan harga berpatutan," katanya yang ditemui selepas majlis Perasmian Mini Karnival Koperasi Parlimen Muar di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Yusof, Parit Bugis dekat sini baru-baru ini.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, projek tersebut turut mendapat persetujuan kerajaan negeri serta pejabat tanah namun semuanya perlu mengikut proses ditetapkan dan orang ramai diminta bersabar kerana keperluan penduduk Muar sedang diusahakan.

Katanya, apabila mendapat kelulusan, semua pihak akan dimaklumkan dan mereka boleh membuat permohonan membeli PR1MA di pinggir bandar Muar itu dengan keutamaan diberikan kepada penduduk berpendapatan sederhana dan pasangan baharu berkahwin yang tidak berpeluang membeli rumah sendiri.

"Berlaku peningkatan mendadak harga tanah dan rumah di sini sejak beberapa tahun lalu. Kami sedar keluhan rakyat dan berusaha menyelesaikan masalah tersebut yang punca utamanya disebabkan kebanyakan tanah di kawasan bandar dimiliki syarikat atau milik persendirian.

"Keadaan itu menyebabkan kami mengambil masa agak lama sebelum mengenal pasti tanah seluas lebih lapan hektar di Jalan Junid untuk mendirikan rumah rakyat," katanya.

Utusan
19 Jun 2014

Wednesday, June 18, 2014

Lumpuh selepas terlanggar landak

Salimah tidak pernah jemu menjaga suaminya yang terlantar sejak Jun tahun lalu.

MUAR – Sebuah keluarga terpaksa bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Baitulmal sebanyak RM500 sebulan, apabila suami yang menjadi tempat bergantung ditimpa kemalangan jalan raya.

Berikutan kejadian itu, Sukeri Jikan, 54, menjadi lumpuh kesan kecederaan parah di kepala hingga memerlukannya dijaga rapi isteri tersayang, Salimah Ngarip, 35, sepanjang 24 jam.

Salimah berkata, tragedi yang menimpa suaminya itu berlaku Jun tahun lalu sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Parit Bari, di sini, selepas membaiki gerabak kelapa sawit di rumah adiknya di Sungai Balang, dekat sini.

Menurutnya, suami yang menunggang motosikal dipercayai terlanggar landak sehingga hilang kawalan lalu terjatuh dan kepalanya terhantuk di atas jalan.

“Orang ramai yang menjumpai suami dalam keadaan tidak sedarkan diri menghantarnya ke Klinik Kesihatan Parit Yusuf untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah.

“Bagaimanapun, keesokan harinya suami dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan kecemasan,” katanya, di sini semalam.

Salimah berkata, suaminya disahkan lumpuh dan tidak boleh bercakap beberapa minggu selepas dibenarkan pulang ke rumah.

“Kami perlu berjimat dalam perbelanjaan dengan mengutamakan keperluan suami untuk membeli susu formula khas berharga RM75 setin yang hanya boleh digunakan dalam tiga hari serta lampin pakai buang.

“Wang bantuan itu adakalanya tidak mencukupi memandangkan saya mempunyai seorang anaknya masih bersekolah di tahun 3 manakala dua lagi berusia 5 dan 2 tahun,” katanya.

Dia berkata, walaupun hidup dalam kepayahan, dia tetap bersyukur apabila ramai pihak prihatin terutamanya keluarga begitu mengambil berat perihal dirinya dengan menghulurkan pelbagai bentuk bantuan.

Sinar Harian
18 Jun 2014

Saturday, June 14, 2014

Ikhtiar buka kedai runcit sejak hidap tulang reput

Abdul Wahab Yasin (dua, kanan) menunjukkan ubat-ubatannya kepada Ketua Puteri Wanita Pogoh, Rohaizah Ahmad.

MUAR - Kehadiran rombongan Jelajah Sinar Harian edisi Johor yang singgah ke rumah kedai didiami seorang pesakit kronik, di Pekan Pagoh memberi kegembiraan buatnya sekeluarga.

Abdul Wahab Yaasin, 62, berkata, sejak disahkan menghadapi masalah tulang reput akibat komplikasi buah pinggang, dia dan isteri, Mudah Wagiman, 48, berniaga kedai runcit secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan harian.

Katanya, walaupun menderita penyakit buah pinggang sejak 22 tahun lalu, dia masih bekerja di kebun kelapa sawit, namun sejak Mac lalu dia langsung tidak mampu melakukan kerja berat.

“Saya tidak mahu melepaskan tanggungjawab mencari nafkah kepada isteri, selagi terdaya saya mahu membantunya mencari rezeki kerana masih ada empat daripada tujuh anak masih belajar.

“Keuntungan berniaga runcit tidak besar, namun ini sahaja saya mampu lakukan. Dengan pendapatan ini kami menanggung keluarga selain membiayai perbelanjaan perubatan saya,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, keluarga ini tidak menerima sebarang bantuan kewangan selain tidak pernah mengemukakan permohonan kepada pihak bertanggungjawab.

Selain kediaman Abdul Wahab, rombongan Jelajah Mesra Sinar Harian edisi Johor bersama Pergerakan Puteri Umno Pagoh, CIMB dan Biro Aduan Pemuda Umno Malaysia turut melawat empat kediaman lain sambil
menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan harian.

Pergerakan Puteri Umno Pagoh diketuai ketuanya, Rohaizah Ahmad merangkap Ketua Puteri Umno Johor.

Rohaizah berkata, pihaknya akan berusaha mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan bantuan.

Jelajah hari kedua di Muar dimeriahkan lagi perlawanan badminton membabitkan Puteri Umno Pagoh, CIMB dan warga kerja Sinar Harian edisi Johor.

Sinar Harian
14 Jun 2014

Saturday, May 24, 2014

Menantu maut ditikam bapa mentua

RUMAH di Lorong Lau Eng Peng, Jalan Kim Kee, Muar, Johor tempat Wei Kuan (gambar kecil) ditemui mati kelmarin. - Foto Kosmo

MAYAT Lim Wei Kuan dibawa ke bilik mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, malam semalam.

MUAR 23 Mei - Suasana di sebuah rumah di Lorong Lau Eng Peng, Jalan Kim Kee, di sini awal pagi ini umpama lokasi penggambaran sebuah filem aksi Cina.

Apa tidaknya, rumah tersebut dikerumuni jiran-jiran yang terbangun setelah terdengar bunyi dentingan senjata tajam dipercayai pedang samurai yang digunakan seorang lelaki yang sedang beradu tenaga dengan bapa mentuanya diikuti bunyi jeritan pergaduhan mereka dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa, Lim Wei Kuan, 34, ditemui mati berlumuran darah akibat ditikam sebanyak empat kali termasuk mengenai jantungnya, manakala bapa mentuanya yang berusia dalam lingkungan 60-an pula ditikam empat kali di badan dan leher.

Difahamkan, kejadian bermula apabila mangsa yang sedang bertengkar dengan isterinya ditegur bapa mentuanya yang datang bersama dua lelaki untuk mendapatkan penjelasan tentang masalah rumah tangga dihadapi mereka.

Pertengkaran semakin serius apabila bapa mentuanya masuk campur sebelum seorang daripada mereka mula menyerang menggunakan senjata tajam dipercayai pedang samurai dan dibalas oleh yang seorang lagi.

Pergaduhan mereka yang semakin serius dan jeritan meminta tolong kemudian mengejutkan jiran-jiran yang sudah pun tidur.

Seorang jiran mangsa yang enggan dikenali memberitahu, kedua-duanya dikatakan saling menyerang antara satu sama lain menggunakan senjata tajam.

"Saya terkejut dan keluar untuk melihat apa yang berlaku. Bagaimanapun, saya dan jiran-jiran lain hanya berdiri di luar rumah kerana tidak mahu mencampuri urusan keluarga berkenaan.

"Kami fikir pertengkaran biasa sahaja, tetapi tidak sangka pula sehingga berlaku pembunuhan. Sebelum kejadian mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda atau mempunyai masalah rumah tangga," ujarnya.

Selepas beberapa minit kemudian katanya, dia melihat dua lelaki keluar daripada rumah lalu melarikan diri.

"Saya mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku dan masuk ke dalam rumah serta nampak kedua-dua mangsa berlumuran darah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, pihaknya telah menahan beberapa individu dan mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan.

"Saya hanya boleh mengesahkan kejadian dan enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi di sini.

Utusan
24 Mei 2014

Tuesday, May 13, 2014

Bakal pengantin cari wali nikah

Norsyahadah Aida menunjukkan gambar bapanya yang masih dalam simpanan.

MUAR - Seorang bakal pengantin buntu apabila usaha mencari bapanya sejak beberapa bulan lalu gagal yang memungkinkan dia tidak dapat bernikah pada 31 Mei ini.

Norsyahadah Aida Zainal Abidin, 26, dari Sungai Sudah, Sungai Balang, dekat sini, berkata, dia dan bakal suami, Mat Salleh Omar, 21, memerlukan kehadiran bapanya, Zainal Abidin Saad, 60an, sebagai wali.

“Saya percaya ayah masih hidup tetapi tidak mempunyai maklumat terkini di mana dia berada ketika ini menyebabkan usaha menjejakinya tidak berhasil.

“Saya juga ada mencari di kampung halamannya di Kuala Nerang, Kedah, dengan bertemu saudara mara dan rakannya tetapi malangnya mereka juga tidak mengetahui lokasi sebenar ayah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dia yang bekerja sendiri berkata, usahanya tidak terhenti setakat itu apabila turut menggunakan laman media sosial namun hasilnya masih sama.

Selain itu katanya, dia begitu teringin bertemu bapa kandungnya yang tidak pernah ditemui sejak dilahirkan kerana bapanya menghilangkan diri ketika dia masih dalam kandungan.

“Bapa berasal dari Kuala Nerang dan berkahwin dengan ibu, Saripah Dasuki di daerah ini. Tetapi apabila ibu mengandung ayah meninggalkan rumah dan tidak pulang sehingga ke hari ini.

“Sejak itu, ibu tidak berkahwin lagi dan sendirian membesarkan saya sebagai anak tunggal,” katanya.

Katanya lagi, dia bukan sahaja mahu kehadiran bapa pada hari bersejarah dalam hidupnya itu tetapi juga mahu bersatu semula sebagai sebuah keluarga.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Zainal Abidin Saad, boleh membantu Norsyahadah Aida dengan menghubunginya di talian 017-7091390.

Sinar Harian
13 Mei 2014