REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Monday, January 30, 2012

'Lukisan' ikan dalam sepotong kayu

MUAR 29 Jan. - Seorang kakitangan kerajaan di sini terkejut apabila menemui 'lukisan' menyerupai ikan selepas memotong sebatang pokok yang tumbang sejak seminggu lalu di sebuah kebun di Lenga dekat sini semalam.

Mohamad Landa, 41, berkata, lukisan tersebut ditemui dalam satu bahagian batang pokok yang dipotongnya tetapi sebelum itu berlaku beberapa perkara aneh.

"Semasa memotong bahagian itu, mesin pemotong kayu mengeluarkan percikan api dan ia sangat keras berbanding bahagian lain, malah saya juga disengat enam ekor tebuan.

"Selepas memotongnya saya tidak berasa apa-apa dan semasa berehat, hati saya amat tertarik untuk melihat belahan kayu itu dan apabila terpandang lukisan tersebut, saya seakan tidak percaya.

"Ia kelihatan lukisan menyamai ikan bawal cermin di bahagian belahan pokok itu. Saya sangat terkejut dan hanya mampu menyebut subahanallah 10 kali," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, semua yang disaksikan itu adalah petunjuk kebesaran Allah dan ia merupakan pengalaman pertama sejak mengambil upah memotong pokok 10 tahun lalu.

Menurutnya, pokok tersebut sudah tumbang seminggu lalu dan disuruh ibu saudara supaya memotongnya setelah dilihat mula menjadi sarang tebuan.

Mohamad tidak bercadang untuk menjual bahagian pokok tersebut meskipun ada rakan-rakannya yang menawarkan harga RM20,000 untuk membelinya.

"Saya mahu menyimpannya sebagai kenangan dan menganggap ada rahsia tersembunyi di sebalik penemuan kayu ini," katanya.

Utusan
30 Jan 2012

Thursday, January 26, 2012

Kilang perabot terbakar

MUAR – Bunyi letupan kecil yang mengejutkan tidur dua pekerja kilang perabut di Jalan Kebun Bakri Batu 6, dekat sini akhirnya berjaya menyelamatkan kilang tersebut daripada musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 pagi itu menyebabkan bahagian belakang kilang berkenaan dan tiga longgok kayu untuk membuat perabut terbakar.

Salah seorang pekerja kilang itu yang enggan dikenali berkata, sebaik sahaja terdengar bunyi letupan, dia mencari arah bunyi itu dan terkejut melihat bahagian belakang kilang sudah terbakar.

Katanya, dalam ketakutan, dia cuba menghubungi majikannya untuk memaklumkan kejadian itu.

“Saya dan rakan cuba juga memadamkan api dengan menyiram air menggunakan baldi tetapi tidak berjaya kerana api semakin marak,”katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 4.37 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama 12 anggota dan dua jentera.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, keadaan api sedang marak dan kepantasan anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kilang berhampiran.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporakan dan pihak bomba berjaya memadamkan keseluruhan api kira-kira jam 5.30 pagi.

“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah kedai runcit di Jalan Junid, dekat sini yang terbakar bahagian belakang turut dapat diselamatkan.

Kejadian tersebut melibatkan kebakaran pada bahagian stor kedai terbabit yang menempatkan simpanan kayu arang.

Kejadian itu disedari orang awam yang melalui hadapan kedai itu, lalu bertindak menghubungi pihak bomba.

Difahamkan, lapan anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan api kebakaran.

Sinar Harian
25 Jan 2012

Sunday, January 22, 2012

Peniaga enggan jual makanan laut mahal

MUAR – Ramai peniaga di Pasar Awam Maharani di sini memutuskan tidak menjual sebahagian daripada makanan laut yang dikehendaki masyarakat Cina untuk Tahun Baru Cina pada Isnin ini kerana harganya yang terlalu tinggi.

Mereka mendakwa perlu membayar lebih kepada pembekal meskipun harga syiling sudah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) setiap kali tiba musim perayaan.

Peniaga, Zainal Omar berkata, harga runcit untuk udang putih sudah ditetapkan RM38 sekilogram, tetapi pembekal mengenakan harga RM45 sekilogram.

“Banyak barangan tidak dijual seperti udang putih dan ikan bawal putih semasa musim perayaan ini kerana harga terlalu tinggi.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa jenis makanan laut tidak tersenarai dalam penetapan harga syiling,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar, Chris Lee Ching Yong mengetuai pasukan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Muar hadir membuat pemeriksaan semakan harga di pasar berkenaan.

Ching Yong berkata, kebanyakan barangan peniaga di sini tersenarai di bawah harga syiling bagi jualan sempena Tahun Baru Cina dan terdapat barangan yang pada harga lebih rendah.

“Ini termasuk ayam, telur, daging babi, bawang, kubis bulat dan saya gembira kerana peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

“Ramai peniaga merungut kerana persaingan dengan pasar raya besar yang menawar harga rendah terutama sayur-sayuran,” katanya.

Katanya lagi, misalnya, sayur saderi dijual pada harga RM6 sebungkus berbanding RM4 sebungkus di pasar raya.

Menurutnya, rata-rata pembeli begitu gembira kerana harga barangan basah di pasar masih rendah dan mereka mahu pihak berkuasa lebih kerap membuat pemantauan.

“Kita sedia maklum, pasar raya besar membeli barang-barang secara pukal, dan sebab itu mereka boleh jual pada harga jauh lebih rendah.

“Manakala, peniaga kecil membeli barangan dengan kuantiti yang sedikit, jadi mereka perlu menampung kos yang jauh lebih tinggi,” katanya.

Sinar Harian
22 Jan 2012

Friday, January 20, 2012

Lelaki nyaris maut terperosok di bawah tayar treler yang merempuhnya

Muar: Anggota Bomba dan Penyelamat Muar berusaha untuk mengeluarkan mangsa yang dikenali sebagai Rusmi Mahpoz,42 yang terperosok di bawah tayar treler di dalam parit di Batu 17 Jalan Ayer Hitam-Muar berdekatan Bukit Naning. Treler berkenaan gagal berhenti dan berlanggar dengan tiga buah kenderaan lain sebelum terbabas dan merempuh mangsa serta warung di bahu jalan sebelum jatuh ke dalam parit berhampiran. Foto: Shahrul M.Zain (20/01/2012) myMetro

Thursday, January 19, 2012

Hilangkan diri kerana merajuk

MUAR – “Sejak mengetahui saya bukan bapa kandungnya, Mohd Azan merajuk dan menghilangkan diri daripada keluarga,” kata Adnan Jaafar, 60.

Menurutnya, sejak itu pelbagai usaha dilakukan untuk menjejaki anak angkatnya, Mohd Azan Mohd Sufian, 17, tetapi gagal.

“Terbaru, saya mengetahui Mohd Azan kini berada di Shah Alam dan bekerja menjual burger serta pakaian terpakai.

“Sudah dua tahun kami tidak berjumpa, malah saya ada cuba menghubungi telefon bimbitnya juga tidak berjaya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Jalan Junid, dekat sini.

Adnan berkata, dia buntu memikirkan tindakan Mohd Azan yang menghilangkan diri dianggapnya terlalu drastik.

“Sebelum ini, hubungan kami sangat akrab dan langsung tidak menampakkan jurang sebagai anak angkat.

“Jadi apabila keadaan ini berlaku, saya sangat sedih dan berharap Mohd Azan sudah tidak merajuk lagi serta sudi bertemu semula dengan saya,” katanya.

Katanya, dia mengambil Mohd Azan sebagai anak angkatnya ketika usianya sehari selepas seorang kenalan memaklumkan ada seorang wanita mengandung mahu menyerahkan bayi yang dikandungnya kepada orang lain.

“Saya berasa simpati dan berminat mengambil bayi ini untuk dijadikan anak angkat dan tinggal bersama arwah ibu di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Ketika itu saya hanya bekerja sebagai tukang masak di Kuala Lumpur,” katanya.

Katanya lagi, ketika berusia 16 tahun, Mohd Azan ada bertemu dengan ibu kandungnya di Perak, tetapi malangnya wanita tersebut tidak mengaku Mohd Azan sebagai anaknya.

“Sejak peristiwa itu, Mohd Azan kecewa dan dia sering bertanya serta mencari bapa kandungnya.

“Bagaimanapun, usaha Mohd Azan mencari bapa kandungnya hingga kini masih lagi gagal, menyebabkan dia terus menghilangkan diri,” katanya.

Adnan berkata, dalam tempoh tiga tahun di Kuala Lumpur, dia berkenalan dengan seorang lelaki, Sufian Yakob, 40-an, yang mendakwa bapa kandung kepada Mohd Azan.

Katanya, malangnya lelaki tersebut tidak memberikan maklumat lengkap berkaitan dirinya termasuk alamat rumah dan nombor telefon bimbit.

“Ketiadaan maklumat ini menyebabkan saya sukar menjejaki Sufian dan merayu agar Sufian dapat mencarinya di alamat 46-4 Jalan Junid, Muar,” katanya.

Sinar Harian
19 Jan 2012

Sunday, January 15, 2012

Rosdi pemangku Timbalan Ketua Polis Muar

ISMAIL Yatim (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas antara Rosdi Shariff (kanan) dengan Lee Choon Guan di IPD Muar, Johor, semalam.

MUAR 14 Jan. - Deputi Supritendan Rosdi Shariff dilantik sebagai Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Muar berkuatkuasa hari ini bagi menggantikan Supritendan Lee Choon Guan yang bersara wajib.

Choon Guan, 56, yang berasal dari Jerantut, Pahang memegang jawatan itu sejak empat tahun lalu manakala Rosdi pula merupakan Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Majlis serah tugas tersebut disaksikan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim di Bilik Mesyuarat IPD Muar, hari ini.

Choon Guan dalam ucapannya melahirkan penghargaannya terhadap semua pihak yang memberi sokongan dan kerjasama sepanjang berkhidmat di daerah tersebut.

"Diharapkan kerjasama padu terus diberikan kepada pengganti saya," katanya yang telah berkhidmat selama 36 tahun dalam pasukan polis dan dikenali sebagai individu yang tegas tetapi mudah mesra.

Ismail pula berkata, persaraan itu merupakan satu kehilangan kepada pasukan kerana Choon Guan merupakan seorang pegawai polis yang komited dan dedikasi dalam menjalankan tugas.

Menurutnya, walaupun semasa bercuti atau sakit tetapi beliau tetap memberi perkhidmatan bagi memastikan tanggungjawabnya dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

"Kita mengalu-alukan sumbangan beliau pada masa akan datang sama ada dalam bentuk buah pemikiran atau pendapat. Sepanjang bertugas beliau menunjukkan prestasi yang cemerlang," katanya.

Utusan
15 Jan 2012

Friday, January 13, 2012

Port sembunyi diserbu

MUAR - Tindakan tiga lelaki bersembunyi dalam hotel di daerah ini untuk mengelak pihak berkuasa mengetahui kegiatan mereka menjual dadah gagal apabila kesemuanya diberkas polis pada 1 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asis­ten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, serbuan pada jam 8 pagi itu adalah hasil risikan yang juga merupakan antara operasi ce­gah jenayah sempena tahun baru.

Menurutnya, kepantasan pa­sukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, akhirnya berjaya menjejaki kesemua suspek yang sememangnya dikehendaki polis.

“Kesemua suspek yang dita­han berusia 23, 30 dan 31 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, hasil peme­­­­­r­ik­saan dalam hotel berkenaan, polis menjumpai dadah jenis heroin seberat 6.3 gram; syabu 22.2 gram, tujuh pil ecstacy dan 22 pil eramin-5 dalam sebuah beg.

“Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM5,000 dan dipercayai untuk dijual kepada pelanggan di sekitar Muar.

“Turut ditemui wang tunai RM5,000, dipercayai hasil daripada jualan dadah itu,” katanya.

Katanya, kesemua suspek adalah penganggur dan menjalankan kegiatan jual dadah sebagai pekerjaan utama mereka.

“Suspek berusia 30 tahun itu dipercayai sudah lama terbabit dalam kegiatan menjual dadah, manakala dua lagi suspek baru sahaja terbabit kegiatan ini beberapa bulan lalu.

“Suspek juga sudah ditahan reman pada 2 hingga 8 Januari lalu dan mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39a (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian
13 Jan 2012

Monday, January 9, 2012

Rumah disimbah petrol

MUAR - “Saya tidak tahu siapa yang buat dan apa motifnya,” kata Zukri Abu Bakar, 45, selepas kediamannya disimbah minyak petrol dan dibakar pada pagar rumah di Taman Sri Pagoh, Pagoh di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, dia menyedari kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada anak lelaki sulungnya, Mohd Amir, 15, pada kira-kira jam 11 malam.

“Ketika kejadian saya tiada di rumah kerana menghadiri mesyuarat di surau taman ini yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah.

“Saya sangat terkejut dan bergegas pulang ke rumah tanpa menunggu mesyuarat berakhir,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Zukri berkata, pada ketika itu dia hanya teringatkan keluarga dan bimbang keselamatan isteri dan tiga anaknya yang berada di rumah.

Menurutnya, setibanya di rumah, pada bahagian terbakar itu ketara berbau minyak petrol dan ada beberapa bahagian lain rumahnya turut ada tompokan minyak petrol.

“Tindakan pantas Mohd Amir berjaya memadamkan api yang marak terbakar pada bahagian pagar dan lantai hadapan rumah.

“Mujur api tidak merebak pada kereta Proton Saga Iswara yang terletak hanya 0.5 meter dari tempat kejadian,” katanya.

Zukri berkata, jika tidak, dia tidak dapat membayangkan nasib yang menimpa keluarganya itu.

“Pada mulanya, Mohd Amir yang sedang menonton televisyen terdengar bunyi letupan seperti mercun di bahagian hadapan luar rumah.

“Anak saya berasa tidak sedap hati dan segera ke hadapan rumah dan terkejut melihat api pada bahagian pagar dan lantai rumah,” katanya.

Menurutnya, Mohd Amir segera memadamkan api dengan air paip yang turut dibantu isteri, Marziah Sukahar, 44, dan dua anak yang lain.

“Lazimnya, setiap malam di blok ini pasti riuh kerana penduduk duduk bersembang di luar rumah masing-masing.

“Tetapi, pada malam kejadian tiada penduduk yang bersembang dan mungkin individu terbabit mengambil peluang untuk melakukan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Zukri berkata, dia tidak tahu siapa yang melakukan perkara berkenaan dan tidak pasti sama ada ia bersifat peribadi atau sebaliknya.

“Saya juga tidak pasti siapa sasaran sebenar dan telah membuat laporan di Balai Polis Pagoh pagi ini (semalam),” katanya.

Sinar Harian
9 Jan 2012

Sunday, January 8, 2012

Anakanda Sultan Johor jadi polis

TUNKU ABDUL JALIL memberi arahan pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Siri 1/2011 di Pusat Latihan Polis, semalam.

Tunku Abdul Jalil sedia kerja di pedalaman

KUALA LUMPUR: “Di mana pun saya dihantar bertugas, saya akan terima walaupun di kawasan kampung tetapi mungkin pada peringkat awal ini, saya akan berada di Johor dulu,” kata Tunku Abdul Jalil, anakanda keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang tamat latihan Inspektor Percubaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Beliau berkata, kerjaya polis memang diminatinya sejak kecil, malah menghargai khidmat diberi anggota polis untuk kerabat diraja, rakyat dan negara sejak sekian lama.

Berikutan itu, katanya, sudah tiba masanya PDRM mendapat tumpuan dan sokongan daripada kerabat diraja pula.

“Sejak kecil, saya ingin menjadi polis, tetapi hanya pada usia 22 tahun dan selepas tamat pengajian dalam bidang zoologi dan konservasi dari universiti di United Kingdom (UK), barulah saya mampu menjadikannya kenyataan.

“Sepanjang menjalani latihan, cabaran paling sukar dihadapi adalah bersabar kerana setiap kesalahan yang kami lakukan akan dikenakan hukuman. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana berupaya mengharunginya dengan sokongan dan kerjasama pasukan,” katanya.

Tunku Abdul Jalil mengetuai 959 pelatih Inspektor yang lain, sebagai Pegawai Pemerintah Baris dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan Pelatih Inspektor Siri 1 Tahun 2011, di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, semalam.

Upacara pentauliahan dirasmikan Sultan Johor ini turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Sultan Johor menyampaikan Sijil Tamat Latihan Asas dan hadiah kepada Pelatih Terbaik Keseluruhan, V Vijay, Anugerah Pelatih Terbaik Akademik kepada Masna Syamsul dan Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar kepada Firdaus Alshaari dan Nor Nazahiyah Mohamad.

Sementara itu, Ismail berkata, Latihan Asas Inspektor Percubaan kali ini yang pertama dalam sejarah kepolisan negara dengan 960 pelatih Inspektor Percubaan menjalani latihan serentak dalam satu sesi.

Beliau turut memberi ingatan kepada pelatih mengenai cabaran utama dihadapi PDRM masa kini untuk meningkatkan keyakinan masyarakat.

Berita Harian
8 Jan 2012

Wednesday, January 4, 2012

Tragedi pulang bercuti

MUAR – Kegembiraan dua keluarga pulang bercuti dari Melaka bertukar tragedi apabila dua ahli keluarganya maut setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 143.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Pagoh, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu Onn Hwee Kien, 30, dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang treler yang membawa muatan kertas.

Akibat rempuhan itu, dua daripada 11 orang dalam kereta Toyota Estima itu maut di tempat kejadian.

Mereka yang terbunuh ialah isteri Hwee Kien, Chow Sew Kit, 29, dan bapanya, Onn Kim Tai, 69.

Manakala, enam ahli keluarga yang lain masih menjalani rawatan di wad Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan tiga yang lain dilaporkan sudah keluar hospital.

Bagaimanapun, pemandu treler, Misran Amin, 49, tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan di balai polis berhampiran.

Abang kepada mangsa terbunuh, Chow Kah Hui, 33, berkata, adiknya sekeluarga bertolak ke Melaka Ahad lalu untuk bercuti sempena sambutan Tahun Baru.

Menurutnya, mendiang tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kelihatan begitu gembira sebelum bertolak ke Melaka.

“Saya tidak sangka, itulah pertemuan terakhir dan lebih menyedihkan tidak sempat menyambut perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kah Hui berkata, percutian tersebut turut disertai kedua ibu bapa mereka, Chow Ye, 64, dan Lau Siu Ling, 56, serta 20 ahli keluarga lain dengan menggunakan dua kenderaan MPV.

“Saya menerima panggi­­lan pada jam 7 malam, mengatakan salah sebuah kenderaan yang dinaiki ahli keluarga terbabit dalam kemalangan di Kilometer 143.4 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Pagoh.

“Setibanya di HPSF, saya dapati Sew Kit sudah meninggal dunia, manakala adik ipar, Hwee Kien, yang memandu Toyota Estima berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan insiden tersebut.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di talian 06-9526222,” katanya.

Sinar Harian
4 Jan 2012


Sorok berita adik mati

MUAR: “Sehingga kini saya belum memaklumkan ibu dan bapa kematian adik. Ini kerana kedua-duanya masih dirawat dan jika diberitahu, menjejaskan emosi mereka,” kata Chow Kah Hui, 33, abang mangsa kemalangan maut, Chow Sie Kit, 26, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.40 petang itu, Sie Kit dan bapa mentuanya, Onn Kim Tai, 69, duduk di tempat duduk sebelah pemandu serta penumpang belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima ke Johor Bahru.

Ketika tiba di Kilometer 143.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran susur keluar ke Pagoh, pemandu Estima yang juga suami Sie Kit, Onn Hwee Kien, 30, dikatakan tidak sempat mengelak treler yang sarat muatan kertas lalu merempuh belakang treler berkenaan.

Sie Kit dan Kim Tai mati di tempat kejadian cedera parah di kepala dan badan.

Menurut Kah Hui, Sie Kit sekeluarga bertolak ke Melaka Ahad lalu bercuti sempena sambutan tahun baru.

“Percutian itu disertai ibu dan bapa, Chow Ye yang berusia 64 tahun serta Lau Siu Ling yang berumur 56 tahun. Anak saya, Gi Kai yang berumur dua tahun turut bersama mereka,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), semalam.

Menurut Kah Hui, percutian keluarga itu disertai 22 ahli keluarga dengan menaiki dua MPV.

myMetro
4 Jan 2012


Pemandu gagal elak treler

PAGOH: Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang terbabit dengan kemalangan di Kilometer 143.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran susur keluar ke Pagoh di sini, kelmarin dipercayai gagal mengelak treler di hadapannya.

Jurucakap polis berkata, Estima berkenaan merempuh treler itu menyebabkan dua penumpangnya mati di tempat kejadian.

“Kejadian pada jam 6.40 petang dan satu tayar treler tercabut akibat rempuhan itu,” katanya, semalam.

Estima berkenaan satu daripada dua MPV digunakan 22 ahli keluarga untuk bercuti di Melaka sejak Ahad lalu sempena tahun baru.

Ketika kejadian, mereka dikatakan pulang ke Johor Bahru.

Menurut jurucakap berkenaan, pemandu treler, Misran Amin, 49, tidak cedera dan membuat laporan polis sejurus kemalangan.

“Punca sebenar kejadian masih disiasat dan kami merekodkan keterangan pemandu Estima untuk siasatan.

“Dua mayat terbabit sudah dituntut keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian. Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro
4 Jan 2012

Tuesday, January 3, 2012

Taktik sembunyi di hotel gagal

MUAR – Tindakan licik seorang suspek kejadian pecah rumah bersembunyi dalam sebuah hotel di daerah ini gagal apabila dia dicekup polis kurang daripada 12 jam selepas melakukan kegiatan itu.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada awal pagi Sabtu lalu di Taman Seri Unas, Parit Jawa, di sini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, suspek berusia 24 tahun dari Masai, dipercayai sudah lebih setahun bergiat aktif dalam jenayah berkenaan.

Menurutnya, tangkapan ke atas suspek dibuat susulan aduan yang dibuat mangsa iai­tu seorang lelaki berusia 43 tahun yang menyedari rumahnya telah dipecah masuk setelah beberapa barangan terma­suk kereta jenis Honda City miliknya hilang.

“Mangsa yang membuat pe­meriksaan di rumahnya men­­dapati tiada kesan umpil pada pintu rumah, tetapi mangga pintu telah dilarikan dan segera membuat laporan berhubung kejadian di balai polis berhampiran kira-kira jam 8.30 pagi,” katanya pada sidang media, semalam.

Mohamad Nasir berkata, kepantasan polis akhirnya berjaya menjejaki suspek yang ber­­sembunyi dalam sebuah hotel di daerah ini bersama kereta Honda City milik mangsa yang dilaporkan hilang.

Jelasnya, dalam tangkapan tersebut polis menjumpai dua telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba, kamus elek­tronik, lima jam tangan pelbagai jenama, dua pendrive, dua telefon bimbit dan satu pemain cakera padat di­gital(DVD).

“Turut dijumpai tiga kunci kereta jenis proton, Perodua dan Honda, dua dompet yang mengandungi wang tunai dan alat memeriksa tekanan darah dipercayai milik mangsa-mangsa pecah rumah,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan di bilik hotel berkenaan juga menjumpai sepana pelbagai sa­­iz, tukul besi, pemutar skru dan anak kunci yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk rumah.

Bagaimanapun, hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi kereta yang dilaporkan.

“Polis percaya suspek bergerak secara kumpulan dan akan menjejaki saki baki kumpulan tersebut.

“Suspek kini ditahan reman selama seminggu sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian
3 Jan 2012