Bom lama dipercayai jenis mortar ditemui di tebing Sungai Muar, berdekatan Kampung Simpang Baba, kelmarin.
MUAR - Seorang lelaki terkejut menemui sebutir bom lama dipercayai jenis mortar di tebing Sungai Muar, berdekatan Kampung Simpang Baba, di sini, kelmarin.
Hamran Said, 46, menemui bom yang masih aktif itu ketika bersendirian mencari barangan terbuang di kawasan berkenaan untuk dijual, kira-kira jam 9 pagi.
“Apabila tak jumpa barangan terbuang di kawasan biasa mencari barangan itu, saya berpindah ke kawasan bersebelahan yang terletak betul-betul di tebing sungai.
“Saya ternampak satu objek berwarna kelabu seperti besi, lalu menariknya keluar barulah sedar itu rupanya sebutir bom lama,” katanya.
Hamran berkata, keadaan bom mortar tersebut masih elok hanya sedikit berkarat di bahagian bawahnya serta mempunyai nombor siri yang jelas kelihatan.
“Saya bawa bom itu pulang ke rumah kerana menyangka ia sudah tidak aktif.
“Namun, setelah mendapati ia masih aktif, saya berasa tak sedap hati dan segera menghubungi polis,” katanya.
Katanya, tidak lama kemudian, polis tiba di rumahnya dan mengambil bom itu untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar ketika dihubungi mengesahkan penemuan bom berkenaan dan akan mendapatkan bantuan daripada Unit Pemusnah Bom untuk tindakan lanjut.
Sinar Harian
28 Ogos 2013
0 comments:
Post a Comment