Friday, August 23, 2013

Penoreh getah kena gantung

MUAR - Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang penoreh getah atas pertuduhan mengedar dadah, tiga tahun lalu.

Omar Parjan, 55, didapati bersalah mengedar 19.39 gram (gm) dadah yang mengandungi campuran 13.5gm heroin dan 5.8gm monocetylmorphines.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sri Machap, Simpang Renggam, Kluang, kira-kira jam 12.30 malam, 5 November 2010.

Dia disabitkan kesalahan di bawah Sekyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.

Tertuduh kelihatan tenang apabila Hakim, Datuk Zainal Azman Abdul Aziz, menjatuhkan hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zairani Tugiran, manakala tertuduh diwakili peguamnya, Salmi Hamdan Sabran.

Terdahulu, peguambela tertuduh merayu agar hukuman yang lebih sesuai dikenakan kerana Omar sudah insaf malah mempunyai isteri dan anak.

Bagaimanapun, hakim menolak rayuan berkenaan kerana pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Sinar Harian
23 Ogos 2013

0 comments:

Post a Comment