Saturday, August 17, 2013

Ditahan selepas pecah rumah

Antara barangan yang dirampas di rumah suspek di Alai, Melaka.

Kereta yang digunakan suspek ketika melakukan pecah rumah di Taman Mawar, Jalan Abdul Rahman di sini, Rabu lalu.

MUAR – Dua lelaki ditahan kerana terbabit dalam kejadian pecah rumah di Taman Mawar, Jalan Abdul Rahman, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, salah seorang suspek berusia 46 tahun didapati memiliki 10 rekod lampau sejak tahun 1983 melibatkan tiga kesalahan di bawah Seksyen 411 kanun keseksaan kerana memiliki barang curi.

“Tiga rekod lagi adalah bersangkutan dengan kesalahan di bawah Seksyen 454 kanun keseksaan kerana pecah rumah dan curi.

“Selain itu, suspek juga memiliki tiga rekod kerana kesalahan dadah serta satu rekod di bawah Seksyen 379 kanun keseksaan kerana mencuri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.

Azman berkata, rakan suspek yang berusia 50 tahun pula memiliki tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Katanya, suspek ditahan kira-kira jam 12 tengah hari selepas Bilik Gerakan IPD Muar menerima maklumat orang awam yang melihat suspek menaiki kereta jenis Mercedes untuk melakukan pecah rumah di taman perumahan terbabit.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kereta terlibat menggunakan nombor pendaftaran palsu yang didaftarkan atas nama salah seorang suspek.

“Polis turut merampas serangkai kunci kereta, kayu cota, playar, besi kuku kambing dan beg sandang,” katanya.

Azman berkata, susulan penahanan itu pihaknya menyerbu rumah suspek di Alai, Melaka dan merampas 18 barangan yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah yang mereka lakukan.

“Antara yang dijumpai ialah sebuah komputer riba, sembilan utas jam tangan pelbagai jenama, satu sistem kedudukan sejagat (GPS), satu beg yang mengandungi lesen memandu dan satu tablet berjenama Samsung," katanya.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis Syabu dan mereka ditahan reman sehingga 18 Ogos.

Azman memberitahu tangkapan ke atas suspek dipercayai berjaya menyelesaikan lapan kes termasuk di Muar dan Melaka Tengah yang dilakukan tahun lalu.

Sinar Harian
17 Ogos 2013

0 comments:

Post a Comment