Sekumpulan monyet menyelongkar tong sampah yang dipenuhi sampah sarap.
MUAR - Kira-kira 30 penduduk di Lorong Haji Othman, Jalan Junid, dekat sini, bimbang berikutan ancaman monyet liar yang sering berkeliaran di kawasan berkenaan.
Penduduk mendakwa gangguan tersebut telah berlarutan lebih 50 tahun lalu dan keadaan itu semakin serius kebelakangan ini apabila kumpulan haiwan itu menyerang tanpa mengira waktu.
Penduduk, Abd Rahman Osman, 69, berkata, haiwan itu semakin tidak terkawal sejak hutan berdekatan diterokai.
“Haiwan ini datang dengan jumlah yang banyak melebihi 20 ekor membuatkan penduduk terutamanya kanak-kanak takut. Ada monyet yang agak agresif bila nampak manusia.
“Jika ada tingkap atau pintu terbuka, haiwan ini akan ceroboh masuk menggeledah makanan atas meja,” katanya.
Menurutnya, monyet liar ini kerap menyerang rumah penduduk pada waktu pagi dan petang terutamanya apabila terbau masakan.
“Bila lapar monyet ini akan menyelongkar tong sampah jika tak dapat masuk ke dalam rumah penduduk.
“Saya pernah cedera pada tangan kerana diserang seekor monyet yang menyangka saya mahu ambil anaknya yang baru lahir,” katanya.
Penduduk berharap agar ada tindakan selanjutnya dilakukan pihak berkaitan bagi mengatasi masalah itu.
Sinar Harian
25 Ogos 2013
0 comments:
Post a Comment