Sunday, August 18, 2013

Pasar raya rugi RM1 juta

MUAR - Sebuah pasar raya di Pagoh mengalami kerugian hampir RM1 juta dalam kejadian kebakaran di sini, semalam.

Kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu memusnahkan hampir keseluruhan bangunan pasar raya  yang sudah beroperasi selama 10 tahun  termasuk lima stor yang mana tiga daripadanya dipenuhi barang-barang.

Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ismail Mahmod berkata, seramai 20 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba Muar dan Bukit Gambir dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima aduan kecemasan.

“Kita mengambil masa lebih satu jam mengawal api seterusnya memadam kebakaran.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan tetapi dipercayai dari salah sebuah stor di sebelah kanan yang menempatkan perabot,” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, kejadian tersebut tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa kerana semasa kebakaran, tiga pekerja asing yang sedang tidur di dalamnya sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, seorang saksi, Teh Kian Kuo, 48, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila terjaga daripada tidur selepas mendengar jeritan orang ramai.

“Rumah saya bersebelahan dengan pasar raya ini. Saya cuba selamatkan kereta yang berada di hadapan pasar raya tetapi tidak berjaya kerana api terlalu marak serta turut menyebabkan kecederaan ringan pada tangan.

“Saya bersyukur api tidak merebak ke rumah kerana bomba tiba awal,” katanya.

Sinar Harian
18 Ogos 2013

0 comments:

Post a Comment