Wednesday, August 28, 2013

Rempuhan korban 5 nyawa


LIMA sekeluarga yang maut dalam kemalangan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Parit Amat, Muar, semalam. Gambar myMetro

KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa selepas terbabit nahas. Gambar myMetro

TIGA mangsa yang maut di tempat kejadian. Gambar myMetro

LEDANG - Lima sekeluarga maut manakala tiga beradik lagi cedera parah setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang mereka naiki melanggar sebuah lori di Pekan Bukit Kangkar, Jalan Tangkak-Muar di sini hari ini.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira 5.50 pagi itu ialah tiga beradik Rokiah Othman, 62; adik perempuannya, Mahani, 56; dan Jasilah, 42, serta suami Rokiah Basiron Kasiran, 74, dan saudara mereka Ramlah Abu Bakar, 66.

Tiga anak perempuan Mahani iaitu Siti Hajar Abdul Rahim, 30, yang merupakan seorang guru, Norain, 24, serta adiknya Suhada, 20, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar (HPSF).

Ketua Polis Daerah Ledang Supt Haron Idris berkata kemalangan itu berlaku ketika kenderaan membawa lapan penumpang itu dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Kampung Parit Amat, Parit Bakar, Muar.

Haron berkata mereka sebelum itu dilaporkan dari Kuantan, Pahang selepas menziarahi seorang saudara mereka yang meninggal dunia.

Katanya apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu Allahyarham Jasilah dipercayai terbabas ke sebelah kanan jalan lalu merempuh bahagian hadapan sebuah lori treler yang diletakkan di tepi jalan.

"Berikutan kejadian itu, tiga mangsa iaitu Jasilah, kakaknya Rokiah dan saudara mereka Ramlah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Basiron dan Mahani pula meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi ini di HPSF selepas hampir dua jam mendapat rawatan.

Haron berkata Siti Hajar sehingga kini masih dalam keadaan tidak sedarkan diri manakala dua lagi adiknya yang dirawat di Wad kecemasan HPSF kini stabil.

Sementara itu suasana pilu menyelubungi perkarangan rumah mayat hospital berkenaan dengan dipenuhi lebih 50 kaum keluarga serta kenalan mangsa yang berkumpul di situ sejak tengah hari sebaik dimaklumkan tentang kejadian malang itu.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa orang saudara mangsa yang terkejut dengan kejadian itu gagal menahan perasaan sehingga terpaksa ditenangkan oleh sanak saudara yang lain.

Difahamkan kesemua mangsa termasuk tiga beradik yang meninggal itu cukup disenangi di kalangan penduduk kampung dan saudara mara kerana sifat baik hati mereka.

Malah Rokiah, Mahani dan Jasilah juga dilaporkan yang amat rapat antara satu sama lain dan sering ke mana-mana bertiga walaupun telah mempunyai keluarga masing-masing. - Bernama

28 Ogos 2013


Lima maut selepas ziarah kematian

SEBUAH kenderaan MPV Toyota Avanza remuk selepas terbabas lalu merempuh sebuah treler di Batu 8 (Kilometer 12.8), Bukit Kangkar di Jalan Tangkak-Muar, awal pagi semalam.

LEDANG 28 Ogos - Lima termasuk sepasang suami isteri maut manakala tiga lagi cedera, beberapa jam selepas mereka menziarahi saudara yang meninggal dunia di Kuantan, Pahang, dalam nahas ngeri yang berlaku di Batu 8 (Kilometer 12.8), Bukit Kangkar di Jalan Tangkak-Muar di sini awal pagi ini.

Kemalangan pukul 5.30 pagi itu berlaku apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki lapan sekeluarga itu terbabas dan merempuh sebuah treler yang diletakkan di tepi jalan.

Kesemua yang maut ialah Basiron Kasiran, 74, dan isteri, Rokiah Osman, 62; Ramlah Bakar, 66, dua adik Rokiah iaitu Mahani, 56, dan Jasilah, 42, yang memandu kenderaan tersebut untuk pulang ke Parit Bakar, Muar.

Tiga anak Mahani iaitu Siti Hajar Abdul Rahim, 30, kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar akibat patah tengkuk. Dua adiknya, Siti Nur Ain, 23, pula patah kaki manakala Siti Nur Shuhada, 20, cedera ringan dan keadaannya stabil. Mereka dirawat di hospital yang sama

Mayat Rokiah, Ramlah dan Jasilah yang maut di tempat kejadian dihantar ke Hospital Tangkak, manakala Mahani dan Basiron dibawa ke HPSF.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kenderaan dinaiki keluarga itu dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan setelah pemandunya dipercayai mengantuk lalu merempuh sebuah treler yang diletakkan di tepi jalan.

"Bahagian depan Toyota Avanza itu remuk dan roda depan treler tersebut turut tercabut akibat rempuhan kuat. Pemandu lori berkenaan dan pengguna jalan raya turut membantu mengeluarkan mangsa sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian. Kesemua mangsa dapat dikeluarkan kira-kira pukul 6.30 pagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa berasal dari Parit Bakar kecuali Mahani dan tiga anaknya yang tinggal di Bandar Tenggara, Kota Tinggi.

Menurutnya, treler berkenaan yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur diletakkan di bahu jalan kerana pemandunya bersarapan di sebuah warung yang terletak kira-kira 30 meter dari kawasan nahas.

Harun memberitahu, lapan bersaudara itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas melawat seorang saudara mereka yang meninggal dan bertolak dari Kuantan kira-kira pukul 3 pagi.

Mahani dan tiga anaknya tiba dari Kota Tinggi pagi semalam sebelum ke Kuantan, katanya sambil memberitahu kes ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah lima mangsa yang maut dalam nahas itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Amat di Parit Bakar selepas solat asar hari ini.

Utusan
29 Ogos 2013


Pemandu treler bantu keluarkan mangsa kemalangan


LEDANG - Pemandu sebuah treler yang dirempuh kereta pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza sehingga mengorbankan empat penumpang dan seorang pemandu dalam kejadian dekat Bukit Kangkar, di sini, semalam menyedari kejadian tersebut selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari arah trelernya di bahu jalan.

Sapuan Tunas, 44, berkata, ketika itu, dia sedang bersarapan di sebuah warung untuk menghantar barangan plastik bekas makanan ke Kuala Lumpur dari Muar, kira-kira 30 meter dari tempat kejadian.

“Sebaik dengar bunyi itu, saya bersama penduduk yang berada di warung bergegas ke tempat kejadian dan melihat sebuah Toyota Avanza remuk berhampiran treler,” katanya.

Pemandu MPV itu dipercayai sudah meninggal dunia kerana mengalami cedera parah dan tersepit di tempat duduk.

“Saya dengan pertolongan orang ramai segera membantu mengeluarkan dua mangsa yang cedera sebelum menghubungi ambulans.

“Saya sering singgah bersarapan di sana jika melalui jalan itu untuk menghantar barang majikan,” katanya.

Sapuan berkata, kejadian itu adalah pengalaman terburuk dialami sejak 22 tahun jadi pemandu treler dan kemudian telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang.

Sementara itu, anak mangsa, Nordin Basiron, 42, menerima berita mengejutkan itu jam 10 pagi ketika di tempat kerja.

“Walaupun sedih tetapi saya reda dan bersyukur dapat menyambut Aidilfitri sebelum ini bersama ayah dan ibu," katanya.

Sinar Harian
29 Ogos 2013


‘Teman saya lapor diri’

Muar: “Sepanjang Aidilfitri lalu, ibu begitu ceria terutama selepas saya mendapat surat tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang seni bina di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

“Sepatutnya minggu depan, ibu menemani saya untuk melapor diri namun pagi tadi, arwah terlebih dulu pergi meninggalkan saya dua beradik,” kata Siti Nurul Huda Hasan (gambar), 20. Siti Nurul Huda adalah anak kepada Jasilah Othman, 43, seorang daripada lima yang terbunuh dalam kemalangan di Batu 8, Bukit Kangkar, Jalan Muar-Tangkak di sini, semalam.

Menurut Siti Nurul Huda, ibunya bekerja di sebuah kilang di Muar dan sudah berpisah dengan bapanya.

“Sebelum mereka bertolak ke Kuantan, Pahang petang kelmarin, saya sempat bersalam dan mencium tangan ibu. Ketika itu, arwah ibu tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi sempat berpesan supaya saya menjaga rumah dan adik perempuan, Siti Aisyah, 18.

“Kira-kira jam 1 pagi tadi (semalam), saya menghubungi ibu untuk bertanya sama ada mereka mahu bermalam di Kuantan atau terus pulang ke Muar. “Bagaimanapun, ketika itu ibu sedang memandu dan panggilan dijawab oleh sepupu yang mengatakan mereka dalam perjalanan pulang dan dijangka tiba di Muar sekitar jam 6 pagi,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat HPSF.

myMetro
29 Ogos 2013


Mangsa kemalangan di jalan Muar - Tangkak kritikal

MUAR - Seorang daripada tiga beradik perempuan yang cedera parah dalam kemalangan di Jalan Muar-Tangkak dekat Pekan Bukit Kangkar, Ledang, semalam, masih kritikal.

Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata Siti Nur Ain Abdul Rahim, 23, berada di wad kecemasan kerana mengalami pendarahan otak selain cedera parah di bahagian kaki.

"Siti Nur Ain tidak sedarkan diri sejak dia dimasukkan ke wad berkenaan pagi semalam," katanya ketika ditemui di hospital itu di sini hari ini.

Dr Selahuddeen berkata kakak Siti Nur Ain pula, Siti Hajar, 30, yang tenat semalam kini stabil di Wad 6 hospital itu manakala adiknya Siti Suhada, 20, yang ditempatkan di wad sama juga beransur pulih.

Beliau berkata Siti Hajar, seorang guru di Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra dekat Kulaijaya, mengalami patah tengkuk dan cedera tulang belakang manakala Siti Suhada pula cedera di lengan kanan dan dahi.

Sementara itu, Siti Hajar yang ditemui di wad berkenaan dilihat masih trauma dengan kejadian itu dan menangis setiap kali menerima kunjungan saudara mara.

Seorang saudaranya yang tidak mahu namanya disiarkan berkata Siti Hajar ada memberitahu dia sepatutnya memandu kereta secara bergilir-gilir dengan ibu saudaranya, Jasilah, yang terkorban dalam kemalangan itu.

Kemalangan kira-kira pukul 5.50 pagi semalam menyebabkan lima terbunuh manakala tiga beradik perempuan cedera parah apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang mereka naiki merempuh sebuah lori yang berhenti di sebelah kanan laluan Jalan Muar-Tangkak berkenaan.

Lima yang terbunuh ialah ibu tiga beradik itu, Mahani Othman, 56, ibu saudara mereka Rokiah, 62, dan Jasilah, 42, suami Rokiah, Basiron Kasiran, 74, serta seorang saudara lain, Ramlah Abu Bakar, 66.

Kesemua mereka sebelum itu dilaporkan dari Kuantan, Pahang selepas menziarahi seorang saudara mereka yang meninggal dunia.

Kesemua jenazah sekeluarga itu selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Amat, Parit Bakar di sini semalam. - Bernama

29 Ogos 2013


'Semuanya seperti mimpi'

Laporan muka depan Sinar Harian edisi Johor, semalam.

MUAR – “Ketika kejadian, saya dalam keadaan separuh sedar. Kemalangan yang berlaku rasa seperti mimpi. Saya dengar bunyi dentuman kuat kemudian ada bunyi cermin pecah.

Bila sedar saya sudah berada di hospital dan lengkap berpakaian hospital,” kata Siti Nur Shuhada Abdul Rahman, 20, ketika  menceritakan pengalamannya terbabit dalam nahas ngeri yang mengorbankan ibunya, Mahani Othman, 56, serta empat saudara lain.

Siti Nur Shuhada adalah salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dengan sebuah lori kontena di Batu 8, Bukit Kangkar, Jalan Muar-Tangkak dekat sini, kelmarin.

Dia yang duduk di bahagian kiri tempat duduk belakang kenderaan terbabit  berkata, semua yang ada dalam kereta mungkin sedang tidur kerana suasana sunyi. Biasanya mereka akan berbual-bual.

“Saya masih terkejut dengan kejadian itu dan tidak dapat terima kehilangan ibu,  namun bersyukur tidak mengalami kecederaan yang serius,” katanya yang patah tangan kanan.

Manakala seorang lagi mangsa yang terselamat, Siti Hajar, 30,  kakak kepada Siti Nur Shuhada, berada dalam keadaan stabil tetapi mengalami pendarahan di dada, patah  tengkuk, patah tulang belakang dan cedera bahagian pinggang

Suami Siti Hajar, Mohd  Razlan  Kosnan, 40, ketika ditemui  berkata, dia mengetahui berita yang menimpa isterinya melalui salah seorang saudaranya kira-kira jam 7.30 malam, kelmarin.

“Saya bekerja di Klang dan mereka menetap di sana. Saya juga tahu isteri bersama ibu mertua, tiga ibu saudara, bapa saudara dan dua adiknya pergi ke Kuantan, Pahang menghadiri pengebumian saudara di sana.

“Saya tak sangka, kematian saudara di Kuantan diikuti lima ahli keluarga yang lain. Mereka semua dalam perjalanan  pulang sebaik sahaja selesai majlis kebumi,” katanya.

Menurutnya,  sepanjang perjalanan dari Kuantan, Siti Hajar memandu kereta milik arwah ibu mertua sebelum pemanduan diteruskan pula oleh Jasilah Othman untuk pulang ke Kampung Asam Kumbang, Parit Amat, Jalan Abdul Rahman, di sini.

“Sepatutnya  jam 10 pagi, isteri bertolak pulang ke Kulaijaya untuk mengajar sesi petang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra, Kulaijaya,” katanya yang memberitahu ketika kejadian isterinya duduk di sebelah pemandu.

Sementara itu, Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, Siti Nur Ain, 24, masih tidak sedarkan diri sejak kemalangan itu dan kini dirawat di Unit Rawatan Kecemasan (ICU).

Beliau memberitahu, mangsa mengalami pendarahan otak dan berada dalam keadaan koma serta beberapa kecederaan dalaman lain yang serius.

Difahamkan, paha kanan Siti Nur Ain patah dan tulangnya hancur, tangan sebelah kanan patah enam selain mengalami pendarahan dalaman di bahagian dada.

Sinar Harian
30 Ogos 2013

0 comments:

Post a Comment