REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Friday, May 13, 2016

Rahsia Kopi 434 masih bertahan

Kafe Kopi Gajah yang terletak di Jalan Bentayan.

Kopi 434 mengeluarkan pelbagai jenis rasa kopi bagi menepati selera masyarakat pada masa kini.

Cher Yong bersama salah seorang pekerjanya, Norfatin Mohamad, 23, menunjukkan dua jenis kopi keluaran Kopi 434 yang laris di pasaran.

Kopi 434 antara kopi yang terlaris di pasaran.

MUAR - Lambakan pelbagai produk baharu pada masa kini pastinya menggerunkan sesetengah pengusahanya, namun tidak bagi perniagaan Sai Kee Kopi Serbok Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Kopi 434.

Pengurus pentadbiran yang juga pewaris perniagaan itu, Kiar Cher Yong, 31, mengakui, kopi yang dihasilkan datuknya, Kiar An Sai sejak tahun 1953 masih diminati ramai walaupun terdapat banyak jenama kopi lain berada di pasaran pada masa kini.

“Untuk menghasilkan serbuk kopi sememangnya mudah, namun untuk mencipta rasa yang enak memerlukan ketelitian dalam penghasilannya.

“Sejak dulu lagi, kami akan pastikan hanya biji kopi yang baik dan berkualiti dihasilkan untuk diproses menjadi serbuk,” katanya.

Tiada ramuan rahsia

Menurutnya, tiada ramuan rahsia digunakan untuk menghasilkan serbuk Kopi 434, selain bahan tambahan yang digunakan datuknya sejak dari dahulu.

“Ramuan yang kami gunakan adalah sama seperti cara penghasilan serbuk kopi yang lain, iaitu biji kopi, marjerin dan gula hangus.

“Namun kebiasaannya, pencipta kopi pada masa kini lebih gemar memilih cara mudah dan jimat iaitu dengan mencampurkan pelbagai jenis kopi import serta bahan tambahan yang tidak betul. Ia menyebabkan keenakan rasa kopi hilang,” katanya.

Jelasnya, Kopi 434 dihasilkan menggunakan sukatan tepat iaitu 70 peratus biji kopi dan 15 peratus campuran marjerin serta gula hangus.

“Walaupun ia adalah biji kopi import, namun kami elakkan penggunaan pelbagai jenis kopi kerana ia boleh menjejaskan rasa asal minuman tersebut.

“Selain itu, saya kekalkan ramuan yang diajar oleh datuk, dengan memegang prinsip beliau supaya menghasilkan serbuk kopi yang baik tanpa memikirkan kepayahan dalam menghasilkannya.

“Walaupun proses yang kami lakukan dengan kos bahan tambahan agak tinggi, namun kami ketepikan semua itu bagi memelihara rasa kopi turun-temurun ini,” katanya.

Pasaran belum meluas

Cher Yong mengakui, walaupun Kopi 434 adalah jenama yang dikenali dan diminati ramai, namun pemasaran produk itu masih belum meluas ke serata Malaysia.

“Pesanan datuk supaya tidak mementingkan keuntungan dan mengekalkan ramuan kopi membuatkan kami tak bercadang untuk meluaskan perniagaan ke negeri lain.

“Jika lebih banyak cawangan, maka lebih banyak pemantauan yang saya perlu lakukan supaya jenama kopi sentiasa terpelihara. Dengan kekangan masa, saya bimbang rasa asal kopi boleh terjejas kerana kurang pemerhatian,” katanya.

Menurut Cher Yong, walaupun terdapat banyak persaingan jenama kopi pada masa kini, dia percaya Kopi 434 mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri.

“Walaupun tidak menembusi pasaran luar, jenama kopi kami tetap dikenali dan digemari ramai.

“Malah, pelanggan dari negara luar seperti China dan Jepun juga menyedari kewujudan Kopi 434. Justeru, kami tidak menganggap persaingan sebagai perkara yang membimbangkan kerana setiap penggemar kopi mempunyai selera masing-masing,” katanya.

Walaupun begitu, Cher Yong menyedari, seiring peredaran zaman, penerimaan generasi kini terhadap kopi tersebut boleh berubah.

“Kami sedar, rasa kopi yang sama boleh membuatkan orang jemu. Maka kami ambil inisiatif menghasilkan satu lagi jenis yang 100 peratus dihasilkan Sai Kee Kopi iaitu Kopi Gajah pada 2000.

“Namun hingga kini, saya lihat Kopi 434 tetap mendapat pasaran tinggi terutama dalam kalangan bangsa Melayu. Saya bersyukur hingga kini, kopi turun-temurun yang dihasilkan datuk saya masih diminati ramai,” katanya.

Wartawan Sinar Harian
6 Mei 2016


Peniaga dituduh bunuh koperal

MUAR – Seorang peniaga berdepan hukuman mati setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh seorang anggota polis pada bulan lalu.

Tertuduh, R. M. Azrull Hisyam­ Hussin, 32, yang berpakaian lokap berwarna jingga mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Bagaimanapun, tiada pe­ngakuan daripada tertuduh direkodkan oleh mahkamah.

Mengikut pertuduhan, R. M. Azrull Hisyam didakwa membunuh Koperal Roydin Jamaluddin yang mayatnya ditemui di dalam longkang di tepi Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong di sini antara pukul 7.45 hingga 8.30 pagi 30 April lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kosmo
13 Mei 2016


Didakwa bunuh anggota polis

Muar: Peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang anggota polis dalam kejadian di Sungai Abong, hujung bulan lalu.

Tertuduh, RM Azrull Hisyam Hussin, 32, lengkap berpakaian lokap polis bewarna oren dituduh melakukan perbuatan itu di dalam longkang di tepi Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong di sini, 30 April lalu.

RM Azrull Hisyam kelihatan tenang dan mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Koperal Roydin Jamaluddin di lokasi itu antara 7.45 pagi hingga 8.30 pagi pada 30 April lalu dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham yang memohon tarikh sebutan semula kes.

Suzana kemudiannya menetapkan 14 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my
myMetro
12 Mei 2016


Arwah kerap hubungi tanya khabar

ANGGOTA polis mengangkat jenazah Roydin yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam.

Kota Kinabalu: Suasana hiba menyelubungi pekarangan MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, semalam, sejurus ketibaan jenazah Koperal Roydin Jamaludin, 32, yang ditemui maut dipercayai dibunuh di Sungai Abong, Muar, Sabtu lalu.

Jenazah Allahyarham diiringi isterinya, Viani Lukin, 30-an, dua anak lelaki mereka yang berusia 5 dan 8 tahun, dua adik lelaki Roydin, Khairudin, 21, dan Alidin Jamaludin, 30, serta Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Azman Ayob bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum tiba di sini pada jam 11.45 pagi semalam.

Bapa Allahyarham, Jamaludin Abd Hamid, 58, berkata, kali terakhir dia bercakap dengan Roydin pada 24 April lalu sempena hari lahirnya.

“Ketika itu, dia mengucapkan selamat hari lahir kepada saya dan mahu saya menjaga kesihatan seperti biasa.

“Selain sering menghubungi ibunya setiap dua kali sehari, menjadi keutamaan Roydin untuk menghubungi kami sekeluarga setiap kali menjelang sambutan hari lahir,” katanya.

Turut kelihatan, ibu Roydin, Rabaya Asan, 55, dan beberapa ahli keluarga lain.

Menurut Jamaludin, mereka sekeluarga bertolak dari Kampung Telaga, Pitas seawal jam 7.30 pagi, semalam, dengan menaiki kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut bertindak menguruskan pengebumian Roydin.

“Insya-Allah, Allahyarham akan dikebumikan sebaik tiba di kampung halaman kami sebelum jam 6 petang ini (semalam),” katanya.

Sementara itu, ketibaan jenazah disambut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Salehhudin Abd Rahman dan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri Senior Asisten Komisioner Omar Mammah bersama beberapa pegawai dan anggota polis.

myMetro
2 Mei 2016


Jenazah Koperal Roydin selamat tiba


BALU Allahyarham Koperal Roydin Jamaludin, Viani Lukin (kiri) bersama anak serta ahli keluarga mengiringi jenazah setiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK). FOTO Adam Arinin

Kota Kinabalu: Jenazah Koperal Roydin Jamaludin, 32, anggota polis yang maut dipercayai dibunuh di Sungai Abong, Muar, selamat tiba di MASKargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, pagi tadi.

Jenazah selamat tiba kira-kira jam 11.40 pagi tadi diiringi isterinya Viani Lukin, 30-an, dua anak mereka yang berusia 5 dan 8 tahun, serta dua adik lelaki allahyarham.

Turut mengiringi jenazah Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob.

Bapa allahyarham Jamaludin Abd Hamid, 58, berkata, jenazah akan dibawa ke kampung halaman mereka di Kampung Telaga, Pitas dan dijangka dikebumikan sebelum jam 6 petang ini.

Turut kelihatan ibu Roydin, Rabaya Asan, 55, dan beberapa ahli keluarga lain.

Ketibaan jenazah disambut Ketua Jabatan Siasatan Negeri Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman.

Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my
myMetro
1 Mei 2016


Enam lelaki, dua wanita dicekup

Muar: Polis menahan lapan individu bagi membantu siasatan kes kematian seorang anggota polis di Sungai Abong, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat, berkata lapan individu itu termasuk enam lelaki dan dua wanita ditahan di sekitar Batu Pahat.

"Mereka berusia antara 20 hingga 32 tahun dan ditahan pada 12.45 tengah hari.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan saksi diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Polis masih menyiasat punca kejadian dan menunggu laporan bedah siasat," katanya.

Ibrahim Isa
Ibrahim_isa@hmetro.com.my
myMetro
30 April 2016


Ditemui mati dalam parit


FOTO Shaifulazhar Misri

Muar: Polis menemui mayat seorang anggotanya di dalam parit di Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong di sini, kira-kira 9 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Roydin Jamaludin ditemui berpakaian lengkap dan memiliki kesan luka di tubuh.

Ketua Polis Daerah Muar,Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pihaknya menjalankan siasatan.

"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat dan kami masih mencari punya kematian.

"Kami berharap saksi kejadian tampil memberi maklumat dan meminta kerjasama orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tidak sah," katanya ketika dihubungi.

Ibrahim Isa
Ibrahim_isa@hmetro.com.my
myMetro
30 April 2016


Baru dua minggu lepas jumpa arwah


Mayat mangsa ditemui orang awam kira-kira 9 pagi tadi.

MUAR - Alidin Jamaludin, adik kepada anggota polis yang ditemui mati dalam parit di Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong, di sini hari ini, terkilan kerana hanya dapat bertemu abangnya seketika dua minggu lepas.

Alidin, 30, berkata dia hanya dapat menemui Allahyarham abangnya, Roydin, 32, untuk masa yang singkat ketika Allahyarham mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di bandar ini kerana sakit kaki.

"Tidak banyak perkara yang sempat kami bualkan kerana saya tahu dia sering sibuk dengan urusan kerja," katanya.

Beliau ditemui pemberita di rumah mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini hari ini.

Alidin yang bekerja di sebuah kilang papan di sini berkata, dia mengetahui berita kematian abangnya pada pukul 10.20 pagi tadi daripada kakaknya lalu terus bergegas ke lokasi kejadian bagi mengenal pasti jenazah.

"Ketika sampai, saya lihat mayat abang saya telah dibawa naik dari parit dan terdapat kesan luka pada badannya," katanya.

Katanya, Allahyarham Roydin meninggalkan seorang isteri, Viani Lukin dan dua anak lelaki masing-masing berumur lapan dan enam tahun.

Jenazah abangnya mungkin akan diterbangkan ke Sabah esok dan akan dikebumikan di Telaga Pitas, Kudat.

"Ibu bapa saya akan menunggu di kampung dan saya dimaklumkan urusan penghantaran jenazah akan diuruskan polis," katanya.

Terdahulu, mayat Roydin yang berpakaian biasa ditemui di dalam parit berkenaan kira-kira 9 pagi tadi dengan terdapat kesan luka pada tubuhnya. - Bernama

Sinar Harian
30 April 2016


Anggota polis ditemui mati dalam parit

JOHOR BAHRU – Seorang anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ditemui maut dalam sebuah parit di Jalan Kampung Tengah, Sungai Abong, Muar dekat sini kira-kira jam 9 pagi tadi.

Mangsa dikatakan berusia 32 tahun, dan berasal daripada Sabah.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisiner Azman Ayob berkata, mayat mangsa ditemui oleh orang awam dengan kesan kecederaan di kepala pada bahagian atas kening kiri.

“Kami menerima maklumat dari orang awam kira-kira jam 9 pagi tadi dan menghala ke lokasi tetapi pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Hasil semakan mendapati, mangsa merupakan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Muar dan sedang dalam tugasan ‘on call’ 24 jam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

SHAFIQ TINO
Sinar Harian
30 April 2016



Thursday, May 12, 2016

Bukan misteri

KEJADIAN ayam hutan mati yang diviralkan di laman sosial.

Muar: Kejadian 10 ayam hutan ditemui mati di kilang di Tangkak, kelmarin, yang viral di laman sosial dikatakan berlaku setiap tahun dan bukan perkara pelik kepada pekerja kilang berkenaan.

Jurucakap kilang yang enggan dikenali berkata, kejadian seumpama itu berlaku satu atau dua kali setahun sejak beberapa tahun lalu disebabkan kilang berkenaan terletak berhampiran kawasan hutan paya bakau.

“Dalam kejadian berkenaan, saya difahamkan ayam hutan berkenaan mati akibat merempuh pintu kaca.

“Tiada kemalangan lain berlaku kecuali kematian 10 ayam hutan berkenaan, namun kebanyakan pekerja kilang menganggapnya perkara biasa dan sedar mengenainya.

“Ramai pekerja kilang yang pernah melihat ayam hutan mati dilanggar kereta atau motosikal di kawasan berhampiran,” katanya.

Menurutnya, disebabkan kejadian sama berlaku setiap tahun, kebanyakan pekerja terutama kakitangan pejabat tidak mengendahkannya.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku pada waktu pagi atau petang, namun kebanyakan mereka tidak mengetahui punca kejadian sebenar.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Veterinar Ledang ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan menghantar pegawai ke kilang berkenaan bagi menjalankan siasatan.

“Kami memandang serius kejadian ini dan akan mengambil sampel untuk mengetahui punca kematian 10 ayam hutan berkenaan.

“Sampel itu dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Veterinar untuk mengesan sama ada ayam itu berpenyakit atau tidak.

“Ia hanya langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini, tiada sebarang penyakit berkaitan haiwan itu dikesan di daerah ini,” katanya.

Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my

myMetro
12 Mei 2016




Tuesday, April 26, 2016

Bapa ketuk anak dengan sepana

MUAR – Gara-gara sebatang sepana, seorang kanak-kanak lelaki menerima dua jahitan pada kepala selepas dipercayai diketuk de­ngan peralatan itu oleh bapanya sendiri dalam kejadian di Kampung Paya Lembah, Pagoh di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa berusia 11 tahun yang sedang berbaring di ruang tamu rumahnya diketuk dengan sepana terbabit selepas bapanya berang dengan jawapan yang diberikan berhubung pertanyaan mengenai alat ber­kenaan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, siasatan awal mendapati, bapa mang­sa bertanyakan sama ada mangsa sudah mengambil sepana di dalam bakul motosikalnya untuk disimpan atau sebaliknya.

Menurutnya, mangsa kemudian memberitahu bapanya yang berusia 50-an itu bahawa dia sudah mengambil peralatan tersebut untuk disimpan seperti yang diminta.

“Bagaimanapun, suspek mendapati sepana terbabit masih berada di dalam bakul motosikalnya lalu mengambilnya sebelum dia yang dalam keadaan marah mengetuk kepala anaknya sebanyak sekali dengan spanar itu.

Kosmo
26 Apr 2016

Friday, April 22, 2016

Hasrat Acan jumpa Tunku Ismail tercapai

Tunku Ismail menunjukkan jersi yang dihadiahkan kepada Mohd Fikri sambil diperhatikan ibu bapanya. - Foto Ihsan FACEBOOK JOHOR SOUTHERN TIGERS

MUAR - Seorang budak yang menderita sakit jantung berlubang tahap kronik di sini, terharu apabila permintaannya untuk bertemu Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi kenyataan.

Mohd Fikri Hashim, 15, pernah menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan keluarga diraja itu yang menjadi idolanya sejak dahulu lagi.

Bagaimanapun, kunjungan Tunku Ismail selama kira-kira 30 minit di kediaman keluarga Mohd Fikri, semalam nyata memberi semangat dan inspirasi kepadanya.

Menerusi akaun Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail berkata, Mohd Fikri atau mesra disapa Acan perlu menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), di mana segala kos rawatan akan ditanggung sepenuhnya oleh kelab pasukan bola sepak negeri itu, JDT.

Beliau juga mengarahkan menggunakan khidmat doktor peribadinya sendiri untuk melakukan pemeriksaan terhadap Mohd Fikri.

Pada pertemuan itu, Tunku Ismail turut menghadiahkan sehelai jersi JDT yang tertera nama ‘Acan 01’ kepada Mohd Fikri.

Selain itu, Mohd Fikri turut menerima aksesori daripada pasukan JDT seperti bola yang lengkap ditandatangani semua pemain dan cenderamata pasukan bola sepak.

Kehadiran Tunku Ismail menjadi kenangan istimewa buat Acan dalam perjuangannya melawan penyakit yang dihidapinya.

Wartawan Sinar Harian
22 April 2016

Wednesday, April 20, 2016

Kaunter pandu lalu menyusahkan

Penduduk yang ingin melalui laluan itu juga terpaksa menunggu di belakang kereta pelanggan sehingga mereka selesai membeli makanan.

Keadaan jalan yang sempit menyukarkan penduduk apabila terpaksa berselisih dengan kenderaan pelanggan di kaunter restoran itu.

Pihak berkuasa MPM memberi amaran kepada pengusaha restoran agar mematuhi amaran dan notis yang dikeluarkan supaya menghentikan perkhidmatan kaunter pandu lalu.

MUAR - Penduduk di Lorong Haji Khamis, Jalan Junid, di sini, kecewa apabila perkhidmatan kaunter pandu lalu yang disediakan sebuah restoran menghalang lalu-lintas.

Wakil penduduk, Hussain A Rahman, 58, berkata, restoran yang beroperasi sekitar Mei tahun lalu tidak sepatutnya menyediakan perkhidmatan tersebut kerana dibina di kawasan tidak strategik.

"Kami tak kisah jika hanya restoran yang dibuka, tetapi apabila pengusahanya turut sediakan khidmat pandu lalu, ini membuatkan penduduk di sini berang.

"Rizab restoran sahaja pun agak kecil hingga terpaksa masuk ke laluan penduduk, kemudian dia sediakan pula perkhidmatan pandu lalu sehingga menggunakan laluan utama penduduk keluar masuk," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, disebabkan perkara itu, penduduk terpaksa menghadapi masalah kesesakan lalu-lintas apabila laluan disekat pelanggan yang menunggu di kaunter pandu lalu.

“Sebab dia dah ambil kawasan jalan kami, jadi kami pun terpaksa sama-sama menunggu di belakang kereta pelanggan hingga mereka selesai membeli.

“Jika sebuah sahaja kereta, kami boleh bersabar. Kadangkala sampai empat hingga lima kereta dalam satu masa, tidakkah ia membuang masa kami?” katanya.

Hussain berkata, keadaan bertambah sesak pada waktu malam dan hujung minggu apabila ramai pelanggan beratur di laluan terbabit.

Sementara itu, Faridah Rahmat, 50, pula berkata, kewujudan kaunter pandu lalu itu turut membahayakan keselamatan orang awam kerana keadaan jalan di kawasan terbabit agak sempit.

"Sebelum adanya restoran ini, kami pun sukar gunakan laluan yang kecil ini. Keadaan bertambah sukar bila ada perkhidmatan tersebut.

"Saya sendiri nyaris terlibat dengan kemalangan apabila kereta saya dan kereta pelanggan hampir bertembung. Malah, cermin kereta kami sering bergesel dengan kereta pelanggan," katanya.

Katanya, sikap pelanggan yang tidak bertimbang rasa dengan meletakkan kenderaan sesuka hati juga menimbulkan kemarahan penduduk.

"Mereka tak pernah fikir masalah dihadapi penduduk di sini. Bayangkan dengan laluan sempit, mereka pula tinggalkan kereta di bahu jalan begitu sahaja.

"Saya juga pernah tersekat di laluan berkenaan hampir setengah jam hanya kerana menunggu mereka (pelanggan) selesai makan,” katanya.

Jelasnya lagi, penduduk pernah beberapa kali mengusulkan masalah tersebut dan mahu bertemu dengan pengurus tetapi tidak dilayan.

"Pelbagai alasan diberi dan kami kecewa dengan sikap pengurus yang seharusnya bertanggungjawab dengan perkara itu," katanya.

Wartawan Sinar Harian
20 April 2016

Friday, April 15, 2016

Terkejut temui bom tinggalan lama

Bom lama bersaiz14 inci dipercayai tinggalan perang dunia kedua ditemui pekerja pembersihan tengah hari semalam.

Pihak polis mengawal keadaan sekitar bagi menjaga keselamatan orang awam dengan memasang garisan polis bagi mengelak orang ramai memasuki kawasan tersebut.

MUAR - Seorang pekerja pembersihan terkejut menemui sebutir bom lama, disyaki tinggalan Perang Dunia Kedua di sebuah longkang di Jalan Paip, Taman Sri Treh, Jalan Salleh di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Hanif Othman berkata, sewaktu kejadian pekerja lelaki berusia 30-an itu dikatakan sedang memotong rumput sebelum berhenti apabila terlihat sebuah bom di bahagian tepi longkang itu.

"Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan objek berupa bom itu.

"Hasil siasatan mendapati, terdapat sebutir bom lama menyerupai bom mortar sepanjang 14 inci dalam longkang tersebut," katanya kepada pemberita.

Muhammad Hanif berkata, tindakan pantas pemotong rumput itu memaklumkan kepada pihak polis telah berjaya menyelamatkan lebih 1,000 nyawa penduduk.

Menurutnya, ekoran kejadian itu sepasukan anggota dan pegawai dari Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dipanggil bagi menjalankan siasatan dan sekali gus memusnahkan bom tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk, Tan Boon San, 37, berkata, ibunya sebelum ini pernah terlihat dua individu mencurigakan membuang sesuatu di kawasan berkenaan.

"Pada ketika itu, kami tidak mengetahui bahawa barang itu adalah bom sehingga melihat keadaan agak riuh-rendah tengah hari tadi (semalam)," katanya.

Menurutnya,  dia sekeluarga berterima kasih kepada polis kerana bertindak pantas mengawal keadaan dan mengalihkan bom berkenaan., yang turut melegakan kira-kira  1,000 penduduk lain  di Taman Seri Treh.

Wartawan Sinar Harian
15 April 2016

Saturday, March 19, 2016

Orang Muar serbu jelajah





FOTO Syarafiq Abd Samad

Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my

Muar: Pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung pada Jelajah Ledakan 25 tahun Harian Metro bersama Yeo's Yeogurt, di Dataran Tanjung Emas di sini.

Orang ramai yang kebanyakannya datang bersama keluarga mengunjungi jelajah sejak 3.30 petang

Antara gerai pameran yang turut serta dalam jelajah ini ialah jenama air mineral Cactus yang menawarkan pelbagai promosi menarik.

Pengunjung berpeluang mengambil gambar secara percuma dan terus mencetaknya apabila membeli tiga botol air mineral.

Sementara itu penaja utama jelajah Yeo's Yeogurt turut menawarkan cabutan bertuah kepada pengunjung yang membeli satu cluster air minuman itu pada harga RM6.99.

Mereka akan layak menerima kupon cabutan bertuah dengan hadiah utamanya ialah televisyen LED 40 inci, telefon bimbit Sambung dan tablet serta lima hadiah saguhati.

Harian Metro turut menawarkan pakej langganan akhbar digital dengan harga promosi pada jelajah ini.

Antara pakej disediakan ialah langganan dua bulan pada harga RM25 berbanding RM38 pada hari biasa, pakej enam bulan pada harga RM49 berbanding RM89 dan hanya RM69 untuk pakej setahun dengan pengurangan sehingga RM90.

Pengunjung juga berpeluang memiliki barangan cenderahati ekslusif Harian Metro seperti botol air, tabung, bekas pensel, topi dan baju T.

Aktiviti lain yang disediakan untuk pengunjung ialah seni pasir, buih sabun, kereta kawalan jauh dan dam ular gergasi.

Jelajah akan diakhiri dengan konsert mini yang menampilkan penyanyi Amelina, Asfan, kumpulan Forteen, Indah Ruhaila dan Sandra, kira-kira 8 malam ini.

myMetro
19 Mac 2016


Pengantin bikin kejutan

Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my

Muar: "Kami memang pembaca setia Harian Metro, hari ini, majlis resepsi perkahwinan kami.

“Oleh itu, bila saya tahu Harian Metro datang, saya tak mahu lepas peluang mengabadikan gambar kenangan bersama Harian Metro," kata pengantin baru, Nurul Farah Ain Abas, 28.

Nurul Farah Ain bekerja sebagai eksekutif di syarikat petroleum di Kuala Lumpur manakala suaminya, Raja Ahmad Faris Raja Mazlan, 27, bertugas sebagai polis di Kuantan.

Mereka ditemui di Dataran Tanjung Emas, iaitu lokasi Jelajah Ledakan 25 tahun Harian Metro.

Pasangan ini membuat fotografi di 'photo booth' berlatarbelakangkan logo Ulangtahun 25 tahun Harian Metro.

"Ikutkan kami nak datang siang, tapi tak sempat. Jadi, kami datang malam sebab saya tengok 'photo booth' Harian Metro ni menarik.

"Kami memang setiap hari beli dan baca Harian Metro. Oleh itu, saya nak abadikan gambar perkahwinan saya dengan akhbar ini," katanya.

Mereka selamat dinikahkan di Masjid Jamek Al Amin, Taman Sentosa, Bukit Kangkar, di sini, semalam, diikuti majlis resepsi sebelah pengantin perempuan di lokasi sama, hari ini.

Mereka diijabkabulkan selepas hampir enam tahun berkenalan dan akan melangsungkan satu lagi majlis resepsi iaitu untuk sebelah pengantin lelaki pada Jun depan di Terengganu.

Siri jelajah ini adalah tanda terima kasih Harian Metro kepada pembaca setia akhbar nombor satu negara ini.

Jelajah Ledakan Ulang Tahun Ke-25 Harian Metro selepas ini akan menemui pembaca di Padang MPK3 Kuantan, Pahang pada 25 dan 26 Mac.

Ini diikuti Fan City Mall, Miri, Sarawak (15 & 16 April) dan Padang Merdeka, Kuching, Sarawak (23 &24 April).

myMetro
19 Mac 2016


Sunday, March 13, 2016

Kejar syurga hakiki

RAMLEE memandu jengkaut merasmikan majlis pecah tanah madrasah tahfiz itu, baru-baru ini.

Muar: Nilai hartanah ditawarkan mencecah jutaan ringgit namun kemewahan dunia gagal membeli hati seorang pesara kerajaan apabila menyimpan impian membina tahfiz maritim di tanah milik keluarganya berhampiran Parit Tiram di sini.

Bayangkan dengan keluasan tanah 0.8 hektar, Hashim Hussain, 62, ditawarkan pemaju jutaan ringgit namun ditolak bulat-bulat demi mengejar saham akhirat, sekali gus memanfaatkan anak tempatan menuntut ilmu di kompleks dakwah yang dibangunkannya.

Pengasas Madrasah Tahfiz Al-Ikhsan itu berkata, kedudukan tanah keluarganya di lokasi strategik iaitu di tengah bandar menyebabkan ia menjadi perhatian pemaju perumahan untuk membangunkan unit kediaman di kawasan terbabit.

“Kira-kira lima tahun lalu, tanah ini ‘diburu’ pencari tanah termasuk pemaju untuk membangunkan perumahan mewah dengan harga ditawarkan mencecah jutaan ringgit.

“Jika dilihat jumlah besar yang ditawarkan itu pasti buat sesiapa saja rambang mata, tetapi pada saya semua itu tidak kekal sebaliknya lebih membawa makna jika dijadikan modal saham akhirat,” katanya.

Majlis pecah tanah Madrasah Tahfiz di Lot 874, Lorong Mansor, Jalan Sakeh, di sini, dilakukan, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Muar, Ramlee A Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail dan Kadi Daerah Muar Dzulkifli Mohamed.

Beliau berkata, tindakannya menolak ‘bulat-bulat’ tawaran itu untuk mengusahakan tanah berkenaan atas nama keluarganya merealisasikan pembinaan bangunan akademik dan agama, selain bakal menyediakan kursus Diploma Tahfiz dalam maritim.

“Saya adalah pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan saya selalu mengkaji mengenai lokasi di sini yang menjadi tumpuan ulama terdahulu menyebarkan syiar Islam.

“Lokasi ini pernah menjadi pendaratan golongan berkenaan pada 1880, malah sejarah lampau menyebabkan lokasi ini strategik dijadikan pusat pembelajaran ilmu maritim kepada pelajar tahfiz yang mengikuti pengajian di sini,” katanya.

Katanya, dalam merealisasikan hasrat itu, kerjasama bersama Kolej Pengajian Islam Johor dibuat untuk memastikan ilmu dunia dan akhirat disepadukan kepada penuntutnya sebaik menamatkan pengajian kelak.

“Ini kerana kita selaraskan pengajian al-Quran, kemahiran (maritim) dan akademik dalam satu bumbung, malah pelajar juga memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sama seperti sekolah harian biasa selepas empat tahun menuntut di sini,” katanya.

Katanya, tiga anaknya yang melanjutkan pengajian di Timur Tengah dan dua lagi di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menjadi penggerak utama kepada perjalanan madrasah yang beroperasi pada Ogos 2014.

“Kini, kami mempunyai 41 murid berusia 10 hingga 17 tahun, selain menggunakan khidmat tiga ustaz dalam pengajian mereka yang kini beroperasi sementara di bangunan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di Parit Sakai Darat, di sini,” katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tahfiz itu, Zaiton Ismail berkata, jarang pelajar tahfiz mengambil bahagian dalam pertandingan terbuka taekwondo, namun berbeza dengan pendekatan yang dilaksanakan di tahfiz itu.

“Di madrasah ini, kaedah pembelajarannya berbeza dan mereka membuktikan kepada saya yang mereka mempunyai proses pembelajaran formal seperti pelajar lain.

“Ia mengubah proses pembelajaran tahfiz yang dulunya fokus untuk mempelajari ilmu kerohanian semata-mata, tetapi pendekatan diambil membuka ruang luas kepada mereka mempelajari ilmu dunia dan akhirat,” katanya.

myMetro
11 Mac 2016




Friday, February 26, 2016

Dua anak derita sindrom MPS II

Mohd Adam dan Haliza berharap ada pihak tampil bantu mengubati penyakit Muhammad Yusof Ashraf (kiri) dan Muhammad Irfan Zahran.

MUAR - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah ungkapan layak diberikan buat pasangan suami isteri, Mohd Adam Sapardi, 40, dan Haliza Md Kassim, 39, selepas dua daripada empat anak mereka disahkan menghidap penyakit sindrom mucopolysaccharidosis (MPS) II.

Menurut Mohd Adam, dua anaknya, Muhammad Yusof Ashraf, 7, dan Muhammad Irfan Zahran, 5, menderita penyakit MPS II iaitu sejenis sindrom yang menghalang badan daripada menghasilkan enzim sehingga menyebabkan gula kompleks tidak dapat dipecahkan.

“Pada mulanya, kami tak sangka Yusof yang kelihatan normal sewaktu dilahirkan disahkan menghidap penyakit ini ketika berusia 6 bulan.

“Itu pun selepas kami perasan perkembangannya agak berbeza dengan kanak-kanak lain seperti tak mampu mendengar dengan baik,” katanya.

Manakala anak bongsunya, Muhammad Irfan Zahran disahkan menderita penyakit itu ketika berumur 3 bulan selepas mereka membuat keputusan menjalani pemeriksaan awal.

“Sebelum itu, doktor ada beritahu risiko adiknya mendapat penyakit sama adalah tinggi seperti abangnya.

“Selepas Irfan berusia 3 bulan, kami terus buat pemeriksaan walaupun tiada tanda dia mempunyai penyakit tersebut,” katanya.

Menurutnya, penyakit dihidapi dua anaknya itu boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada saraf dan jika tidak dirawat, boleh membawa maut.

“Doktor ada beritahu, peluang mereka yang menghidap sindrom untuk sembuh adalah tipis tapi selagi mereka masih bernyawa, kami sebagai ibu bapa akan menjaga mereka.

“Masalah kos perbelanjaan yang terlalu mahal juga menyukarkan keadaan. Walaupun saya dan isteri bekerja sebagai guru tapi ia tak mampu menampung kos rawatan kedua-duanya,” katanya.

Jelasnya lagi, penyakit itu juga menyebabkan Yusof menderita masalah seperti tumbesaran terbantut, hilang pendengaran, masalah pernafasan yang kronik, sendi dan saraf serta kerosakan otak yang teruk.

“Anak bongsu saya, Irfan bagaimanapun belum mengalami kesemua simptom tersebut, tapi jika bantuan lambat diberikan, berkemungkinan dia juga turut menerima nasib sama seperti abangnya.

“Doktor beritahu ada dua kaedah penyelesaian iaitu melakukan pembedahan yang berisiko kematian sehingga 30 peratus, dan satu lagi cara dengan memberi ubat, namun ia tak mampu menyembuhkan penyakit tapi bantu untuk melambatkan kerosakan saraf,” katanya.

Tambahnya, pihaknya pernah memohon bantuan daripada beberapa badan khas namun gagal.

“Kami memang sukar untuk mendapatkan bantuan kerana penyakit ini jarang didengari selain masalah rawatan yang terhad,” katanya.

Sementara itu, Haliza berkata, dia kini buntu mendapatkan bantuan menyembuhkan penyakit anaknya itu.

“Sebagai ibu, saya juga tak sanggup lihat anak-anak menderita menahan sakit, namun kami juga tiada penyelesaian.

“Saya cuma berharap agar anak-anak saya dapat sembuh kerana kami yakin dan percaya setiap penyakit yang ALLAH SWT turunkan pasti ada penawarnya,” katanya.

Sinar Harian
25 Februari 2016