REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Monday, June 27, 2011

Hajat terakhir Hafiz tertunai

MUAR – “Hari ni adik nak ikut mak pergi rewang kenduri,” merupakan permintaan terakhir seorang kanak-kanak kepada ibunya sebelum dia ditemui mati lemas dalam sungai di Parit Kassim Darat, Parit Jawa, petang kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku jam 4.30 petang itu, Mohd Hafiz Manan, 11, mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai semasa duduk di atas jambatan kecil di sungai tersebut.

Mohd Hafiz bersama ibunya dikatakan keluar rumah pada jam tiga petang untuk menghadiri majlis rewang kenduri di rumah jiran kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Ibu mangsa, Sawiyah Masri, 51, berkata, petang itu Mohd Hafiz kelihatan sangat riang dan bersungguh-sungguh mahu mengikutnya pergi rewang kenduri di rumah jiran.

Menurutnya, pada mulanya dia nampak Mohd Hafiz bermain dengan rakan-rakannya di halaman rumah jirannya itu.

“Kemudian Mohd Hafiz hilang daripada pandangan dan saya tidak menyangka dia pergi bermain di jambatan sungai bersama sepupunya, Amirudin Tajib, 10.

“Kira-kira 10 minit kemudian saya diberitahu jiran bahawa Mohd Hafiz terjatuh dalam sungai bersama sepupunya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sawiyah berkata, dia juga tidak diberitahu keadaan sebenar Mohd Hafiz sehinggalah pergi sendiri ke sungai tersebut.

Sementara itu, sepupu mangsa, Amirudin yang terjun ke dalam sungai kerana cuba menyelamatkan Mohd Hafiz berjaya diselamatkan oleh pihak bomba.

Amirudin berkata, dia tidak menyangka petang itu merupakan pertemuan terakhir dengan sepupunya yang juga merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

“Tiada perubahan yang ditunjukkan sebelum dia meninggal dunia, cuma sejak seminggu lalu, Mohd Hafiz tidak lagi membenarkan saya menyemak kerja sekolahnya berbanding sebelum itu,” katanya.

Katanya, sebagai anak bongsu, Mohd Hafiz berperwatakan manja dan menjadi penghibur buat mereka sekeluarga.

Sementara itu, saksi kejadian tersebut, Tey Chong Sian, 74, berkata, semasa kejadian dia sedang berehat di hadapan rumahnya selepas pulang dari kebun.

Menurutnya, tiba-tiba dia terdengar bunyi suara orang menjerit-jerit meminta pertolongan daripada arah sungai berhampiran rumahnya.

“Saya segera berlari ke arah suara itu dan terkejut apabila melihat seorang kanak-kanak sedang terkapai-kapai minta pertolongan.

“Saya segera terjun ke dalam sungai sambil berpaut pada batang paip untuk menariknya ke tepi” katanya.

Bagaimanapun, Chong Sian terkejut apabila diberitahu kanak-kanak itu bahawa sepupunya sudah tenggelam dalam sungai tersebut.

“Saya cuba untuk mencari mangsa tetapi gagal kerana keadaan air yang mengalir terlalu deras,” katanya.

Sinar Harian
27 Jun 2011

Sunday, June 26, 2011

Kosongkan tangki septik

MUAR — Hanya lima peratus atau 69,000 daripada 1.22 juta tangki septik individu di seluruh negara pernah dikosongkan tahun lalu, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi dan Air, Noriah Kasnon.

Beliau berkata, ini membimbangkan kerajaan kerana kegagalan mengosongkan tangki septik menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai yang telah meningkat daripada 48 sungai pada 2008 kepada 54 sungai pada 2009.

"Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyeru semua pengguna tangki septik individu supaya lebih prihatin terhadap pencemaran air kumbahan daripada tangki septik yang boleh menyebabkan menularnya penyakit pembawa air seperti Hepatitis A, taun, demam kepialu dan disentri yang boleh mengancam kesihatan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pengosongan Tangki Septik Individu peringkat kebangsaan di Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 2 di sini hari ini. - Bernama

26 Jun 2011

Friday, June 24, 2011

Seleweng subsidi diesel

MUAR - Pengusaha kiosk petrol dan isterinya ditahan kerana menjalankan kegiatan mengalirkan subsidi diesel melalui kiosk mereka ke dalam satu trak tangki untuk dijual bagi perindustrian di Melaka dan Negeri Sembilan.

Pasangan tersebut yang berusia 30-an itu ditahan oleh sepasukan kakitangan dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Muar dalam serbuan kira-kira jam 10 malam, Selasa lalu.

Ketua cawangan, Mohd Basha Abidin Ali berkata, pasukan tersebut turut merampas kira-kira 15,000 liter subsidi diesel dengan anggaran bernilai RM27,000 dan sebuah trak tangki.

Menurutnya, hasil siasatan menunjukkan kiosk tersebut mempunyai satu sistem perparitan rahsia bawah tanah yang menghubungkan ke belakang kiosk.

“Terdapat pintu besar sebagai laluan untuk lori-lori tangki masuk bagi menyalurkan subsidi diesel ini.

“Kegiatan ini adalah pertama kali berlaku di Muar dan kepantasan pasukan PPDNKK berjaya membanteras segera kegiatan mereka ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pasangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau dua tahun penjara jika didapati bersalah.

“Intipan daripada pihak PPDNKK telah dilakukan sejak dua bulan lalu berdasarkan maklumat daripada orang awam yang mendapati kiosk tersebut menjalankan kegiatan yang mencurigakan terutamanya di bahagian belakang kiosk,” katanya.

Katanya lagi, pemeriksaan di kawasan tersebut juga telah menjumpai satu saluran paip di bawah tanah berhampiran pagar yang menghubungkan ke bekas trak.

“Trak ini boleh mengisi kira-kira 19,000 liter bahan api dan percaya pemandu dan pembantunya hanya berjaya mengalirkan kira-kira 15,000 liter dalam trak sebelum melarikan diri,” katanya.

Sinar Harian
24 Jun 2011

Saturday, June 18, 2011

Embun tinggal sebatang kara

MUAR – Kehidupan seorang warga emas ini mulai berubah apabila suami yang dahulunya menjadi tempat bergantung meninggal dunia sejak 11 tahun lalu kerana menderita sakit tua.

Semenjak itu, Embun Mamat, 68, terpaksa hidup sebatang kara di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Sabak Awor Jalan Ismail, di sini.

Kematian suami tersayang dan tidak dikurniakan cahaya mata menyebabkan warga emas tersebut hidup bersendirian dalam menghabiskan sisa usia emasnya di rumah yang usang itu.

Bagaimanapun, kesunyian hidup Embun sedikit berubah apabila jiran berhampiran sentiasa mengambil berat dirinya juga sering menghulurkan bantuan kepadanya.

Bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterimanya hampir 10 tahun lalu benar-benar melegakan dirinya.

“Jika tiada bantuan ini, tidak dapat digambarkan bagaimana makcik hendak menanggung perbelanjaan diri.

“Makcik tidak suka menagih simpati daripada jiran tetapi tidak pernah menolak bantuan yang dihulurkan oleh mereka,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke kediaman warga emas tersebut mendapati keadaan rumah kurang terurus kerana ketiadaan bilik.

Sebaliknya Embun turut terpaksa berkongsi bilik tidur dengan tempat menyimpan barang-barang.

Embun berkata, meskipun keadaan rumah yang kurang selesa tetapi dia tetap bersyukur kerana masih memiliki kediaman sendiri.

“Rumah ini tidak mempunyai bilik air dan jika mandi makcik menggunakan tandas yang terletak di belakang rumah.

“Makcik teringin untuk mempunyai bilik air kerana keadaan tandas sedia ada terlalu kecil dan sukar apabila hendak mencuci pakaian,” katanya.

Katanya lagi, apabila hujan dia agak sukar untuk ke tandas kerana keadaan tanah di sekeliling rumah menjadi becak dan licin.

Dalam pertemuan tersebut, Sinar Harian :berkesempatan menyaksikan sendiri Embun membuat penyapu lidi sebagai aktiviti masa lapangnya.

“Makcik sekadar suka-suka saja buat penyapu ini untuk menghilangkan rasa bosan tetapi akan jual penyapu ini jika ada jiran yang hendak membelinya.

“Jumlah penyapu lidi yang makcik jual tidak menentu bergantung kepada permintaan daripada jiran. Sedikit sebanyak dapat jugalah tambahkan pendapatan,” katanya.

Selain itu, dalam usia hampir 70 tahun itu, Embun masih mampu mencari daun kelapa untuk membuat penyapu dan berjalan kaki ke kedai runcit sejauh 100 meter untuk membeli barangan keperluan.

Difahamkan pada Mei lalu, ketua kampung berkenaan telah bertemu dengannya untuk membantu mendapatkan bantuan yang bersesuaian untuk Embun.

Sinar Harian
18 Jun 2011

Thursday, June 16, 2011

Budak kembar tiga maut dipercayai didera bapa

MUAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Batu Pahat pada 6 Jun lalu meninggal dunia dipercayai akibat didera bapa kandungnya.

Tay Chin Zhi yang dimasukkan ke hospital itu disahkan mati pada hujung minggu lalu dipercayai akibat kecederaan dalaman, kesan lebam turut ditemui pada sebahagian badannya.

Menurut seorang kenalan keluarga mangsa yang enggan dikenali, Tay ialah pasangan kembar tiga dan anak bongsu daripada lima beradik.

“Dua minggu sebelum kejadian, saya terlihat kesan lebam pada bahagian muka kanan Tay.

“Saya memaklumkan perkara itu kepada ibunya malah menasihatkannya untuk membawa Tay mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Bulat, Sungai Balang di sini, semalam.

Katanya, ibu Tay yang berkerja sebagai pengurus di sebuah syarikat ukur tanah di bandar berkenaan seakan bersikap acuh tidak acuh selain mendakwa kecederaan dialami anaknya itu tidak serius.

Menurutnya, bapa mangsa berusia 36 tahun dan bekerja di pusat jualan benih kelapa sawit kemudian membawa Tay mendapatkan rawatan di hospital swasta itu.

“Beberapa hari kemudian, saya mendapat maklumat Tay disahkan mati ketika dirawat,” katanya.

Kelahiran Tay dan dua beradiknya mendapat laporan luas media kerana tarikh dilahirkan jatuh pada hari mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Lee Choon Guan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan sudah menerima laporan berkaitannya.

“Susulan itu, kami menahan reman bapa mangsa untuk membantu siasatan sejak Isnin lalu, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mendera,” katanya.

“Sabit kesalahan, suspek boleh di penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Usaha Harian Metro mendapatkan keterangan daripada ibu atau keluarga mangsa menemui jalan buntu apabila mereka enggan mengulas dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

myMetro
16 Jun 2011


Jin Ghi mati akibat pendarahan kepala

MUAR 16 Jun - Polis menolak kemungkinan kematian salah seorang daripada tiga beradik kembar berusia tiga tahun di Hospital Batu Pahat, pada Isnin lalu, adalah akibat didera.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, sebaliknya laporan mendapati kematian, Khoo Jin Ghi berpunca daripada pendarahan dalaman di kepala kerana terjatuh.

Katanya, namun siasatan masih diteruskan dan pihaknya kini menunggu laporan penuh bedah siasat kes tersebut yang dijangka dikeluarkan minggu depan.

"Mangsa dilaporkan pernah terjatuh di dapur rumah keluarganya, 4 Jun lalu, menyebabkannya pengsan. Namun ibu bapanya tidak mengesyaki sesuatu yang serius dan tidak membawanya ke hospital.

"Pada 12 Jun lalu, kanak-kanak itu sekali lagi pengsan dan kali ini, ibu bapanya membawa ke sebuah hospital swasta sebelum dirujuk ke Hospital Batu Pahat," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, Jin Ghi meninggal dunia pukul 1 petang Isnin lalu dan laporan awal mendapati ia berpunca daripada pendarahan dalam kepala.

Tambahnya, siasatan turut mendapati mangsa merupakan kanak-kanak yang aktif dan pernah terjatuh longkang berhampiran rumahnya.

"Bapa mangsa berusia 39 tahun ditahan reman selama enam hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan," katanya.

Utusan
17 Jun 2011

Keluarga rayu pulang segera

MUAR – Seorang remaja berusia 16 tahun yang lari dari rumah sejak 11 hari lalu dirayu segera pulang ke pangkuan keluarga.

Kehilangan remaja tersebut secara tiba-tiba telah menimbulkan kebimbangan kepada seluruh keluarganya terutama ibunya.

Tow Wei Yuan, 16, dikatakan meninggalkan keluarga dan telah mengikuti seorang lelaki yang dipercayai teman lelakinya.

Ibu remaja terbabit, Ng Kim Geok, 47, berkata, dia mula menyedari kehilangan anaknya selepas jam 9 malam pada 4 Jun lalu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana berada di kedai jahitan pakaiannya dan Wei Yuan berada di rumah bersama kakaknya.

“Pada mulanya saya menyangka Wei Yuan sedang berehat dalam biliknya. Kemudian saya rasa terpanggil untuk melihatnya dalam bilik, tetapi tiada.

“Sehingga jam 9 malam anak saya masih tidak pulang ke rumah menyebabkan saya risau dan akhirnya membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia turut dimaklumkan oleh seorang lagi anaknya, Tow Wei Xian, 20 (kakak kepada Wei Yuan) yang ternampak Wei Yuan berjumpa seorang lelaki di sebuah padang berhampiran rumahnya.

Namun, Wei Yuan didapati hilang sekelip mata sebaik sahaja berjumpa dengan lelaki tersebut.

“Saya tidak menyangka Wei Yuan akan bertindak sedemikian kerana sebelum kejadian tiada sebarang perselisihan faham yang berlaku di antara kami,” katanya.

Katanya, dia juga cuba menghubungi telefon bimbit Wei Yuan tetapi panggilan itu dijawab oleh lelaki berkenaan.

“Malangnya cubaan kali kedua untuk menghubunginya tidak berjaya kerana telefon ini telah ditutup.

“Keadaan ini menyebabkan saya semakin bimbang dan takut perkara-perkara yang tidak diingini berlaku ke atasnya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa berkata, beliau memohon kerjasama daripada orang awam yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai remaja tersebut supaya menghubungi talian 012-6781455 dan 017-6533209.

Sinar Harian
16 Jun 2011

Wednesday, June 15, 2011

Sungai dalam rumah

Ibarat rumah terapung


MUAR – “Beginilah keadaan rumah makcik setiap kali selepas hujan tidak ubah seperti sungai sama ada di luar mahupun di dalam rumah”.

Demikian rintihan seorang warga emas berkaitan keadaan rumahnya yang terletak di RS 18 Jalan Bakariah, di sini.

Pasti ramai yang tidak menyangka kedaifan hidup yang dilalui warga emas berkenaan dengan rumah berlantaikan tanah yang hanya ditutupi tikar getah dan tidur bermandikan hujan.

Zalihah Atan, 65, berkata, dia sudah lali dengan keadaan berkenaan kerana sudah melaluinya sejak lima tahun lalu.

“Dalam rumah ini sering basah apabila hujan dan pastinya bahagian dapur akan dinaiki air sehingga paras buku lali kaki kerana keseluruhan bumbung rumah yang bocor teruk.

“Pernah terjadi air naik mencecah satu kaki ketika musim hujan lebat rentetan tiadanya sistem perparitan di rumah telah memburukkan keadaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Setiap kali selepas hujan, rutin hidupnya hanya tertumpu untuk membersihkan bahagian dapur rumah yang dinaiki air berserta lumpur.

“Memang letih, lebih-lebih lagi kebelakangan ini cuaca tidak menentu dan setiap hari hujan pada waktu petang.

“Tapi hendak buat macam mana hanya rumah ini saja yang makcik ada untuk berteduh bersama seorang anaknya sejak 28 tahun lalu,” katanya.

Ibu kepada tiga anak ini tidak pernah meminta bantuan daripada anak-anaknya kerana menyedari mereka juga susah dan mempunyai tanggungjawab kepada keluarga masing-masing.

Tinjauan Sinar Harian ke rumah warga emas berkenaan mendapati rumahnya mengalami kerosakan yang sangat teruk dan kelihatan tidak ubah seperti rumah terapung kerana persekitarannya dibanjiri dengan air hujan.

Malahan, halaman rumah Zalihah dipenuhi dengan bongkah kayu yang berfungsi sebagai jambatan kecil untuk kegunaannya keluar ke rumah.

“Kadang-kadang sehingga seminggu pun banjir di halaman rumah ini masih lagi tidak kering dan apabila hujan bahagian dapur akan dipenuhi dengan air lumpur,” katanya.

Sinar Harian dimaklumkan, Zalihah mula tinggal di rumah berkenaan pada tahun 1983 atas ihsan daripada tuan tanah.

“Pada ketika itu, kehidupan makcik tiada arah tujuan dan tiada tempat tinggal selepas ditinggalkan suami.

“Makcik terpaksa keluar daripada rumah sewa kerana tidak mampu untuk membayar sewa bulanan berikutan masalah kewangan,” katanya.

Menurutnya, ketika berada di sebuah pasar awam ada seorang individu yang simpati dengan keadaannya bersama tiga anaknya lalu mencadangkannya untuk tinggal di rumah yang didiaminya sekarang.

“Pada ketika itu, saya sangat bersyukur kerana mempunyai tempat berteduh bersama anak-anak.

“Ketika mula tinggal di sini, keadaan rumah masih baik tetapi lima tahun kebelakangan ini keadaannya sudah semakin teruk,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, kehidupan keluarga mula berubah selepas suami yang diharapkan sebagai tempat bergantung hidup meninggalkannya bersama tiga anak-anak yang masih kecil.

Selepas kejadian itu, seluruh hidupnya berubah dan dia terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk membesarkan anak-anak seorang diri.

Sehinggalah usianya mencecah 65 tahun, Zalihah masih lagi bekerja di salah sebuah kilang membuat barangan plastik berhampiran dengan rumahnya.

“Makcik terpaksa bekerja walaupun gaji yang diperoleh tidak banyak tetapi cukup untuk menampung hidup.

“Makcik tidak mahu menyusahkan anak-anak dan selagi terdaya makcik akan bekerja di kilang ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zalihah berkata, pendapatan yang tidak seberapa itu menyebabkan dia tidak mampu untuk membaiki kerosakan di rumahnya.

Dalam pertemuan itu, warga emas berkenaan turut melahirkan keinginan untuk memiliki sebuah rumah yang lebih selesa.

“Pada usia begini, makcik sangat teringin memiliki sebuah rumah yang lebih selesa untuk menghabiskan sisa usia,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, pihak ketua kampung berkenaan ada bertemu dengannya bagi membantunya untuk mendapatkan bantuan rumah baru.

Sinar Harian
15 Jun 2011




Friday, June 10, 2011

43 Pelatih Puspen Lari Dalam Rusuhan - Polis

ANTARA kenderaan yang rosak teruk selepas pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Sengkang, Bukit Gambir merusuh dan melarikan diri dari pusat itu malam tadi. Dalam kejadian itu, mereka turut membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan di pusat berkenaan. - Foto NSTP Jun 10, 2011 11:14 am

MUAR: Polis mengesahkan 43 daripada 377 pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sengkang, Bukit Gambir dekat Ledang melarikan diri semasa rusuhan di pusat itu pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Supritendan Salleh Abdul Razak berkata pihaknya bersama Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Agensi Dadah Kebangsaan kini berusaha menjejaki mereka yang meloloskan diri.

"Kami juga masih menyiasat punca sebenar rusuhan tersebut," katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Dalam kejadian yang dipercayai bermula kira-kira 8.40 malam itu, sekumpulan pelatih bertindak merusuh dan membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan di pusat tersebut.

Mereka juga bertindak memecahkan cermin tujuh buah kereta kepunyaan pegawai dan petugas pusat itu.

Ini adalah kejadian rusuhan kedua pernah berlaku di pusat tersebut selepas kejadian pertama pada 1999.

mStar
10 Jun 2011


Polis berkas semula 16 pelatih PUSPEN yang lari semasa rusuhan

MUAR: Polis berjaya menahan semula 16 pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sengkang, Bukit Gambir yang melarikan diri ketika rusuhan di pusat tersebut malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang DSP Mohd Salleh Abdul Razak berkata pihaknya juga mengenal pasti hanya 21 yang telah melarikan diri.

Tiga belas daripada mereka ditahan semula ketika bersembunyi di bawah jambatan Sungai Muar di Gersik, kira-kira tiga kilometer dari pusat tersebut, manakala tiga lagi ditahan di berhampiran pusat itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata usaha mengesan dan menahan semula lima lagi kini dipergiatkan.

Mohd Salleh berkata polis juga menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dalang dan punca sebenar rusuhan yang menyaksikan dua bangunan pusat itu dibakar.

Pusat itu menempatkan 377 pelatih, dan dalam kejadian kira-kira 8.40 malam tadi mereka dipercayai membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan serta memecahkan cermin lapan buah kenderaan milik petugas di situ.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan khianat dengan api yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan, katanya.

myMetro
10 Jun 2011

Thursday, June 9, 2011

Rumah peniaga musnah

MUAR - “Saya tidak menyangka panahan petir telah menyebabkan rumah ibu saudara saya musnah terbakar,” demikian pengakuan saksi kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Parit Raja, Pagoh, di sini, semalam.

Mahzan Abdul Manaf, 46, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.10 petang, dalam keadaan hujan lebat yang disusuli dengan dua panahan petir sangat kuat.

Menurutnya, semasa kejadian dia berada dalam rumahnya yang terletak kurang daripada 50 meter di belakang rumah ibu saudara.

“Sejurus selepas :panahan petir ini menyebabkan bekalan elektrik di rumah saya turut terputus.

“Selepas 10 minit berada dalam rumah tanpa bekalan elektrik memaksa saya keluar ke beranda hadapan rumah kerana kurang selesa dengan keadaan rumah yang agak panas,” katanya kepada Sinar Harian.

Mahzan berkata, sebaik berada di hadapan rumah, dia terhidu bau hangit yang kuat tetapi tidak tahu dari mana puncanya.

“Kerana bimbang, saya memeriksa seluruh rumah dan lega apabila mendapati keadaan rumah selamat kerana kesemua suis dan plug elektrik rumah telah ditutup sebaik sahaja bekalan elektrik terputus.

“Tetapi, saya terkejut apabila keluar semula dari rumah apabila melihat kepulan asap hitam keluar dari bumbung rumah ibu saudara,” katanya.

Menurutnya, melihat keadaan api mula marak dia segera bertindak menghubungi pihak bomba kerana bimbang api merebak ke rumah berhampiran.

Mangsa kebakaran, Asiah Taib, 50, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana berniaga kedai makan di Machap.

“Saya mendapat berita rumah terbakar selepas dihubungi saudara mara dan bergegas pulang ke rumah.

“Sejak berniaga di Machap, saya tinggal di sana dan hanya balik ke rumah ini sekurang-kurangnya seminggu sekali,” katanya.

Menurutnya, meskipun terkejut dengan insiden yang berlaku itu, tetapi Asiah bersyukur kerana tiada anak-anak yang tinggal di rumah berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar berkata, sebaik menerima laporan seramai sembilan anggota bomba dengan dua jentera bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba keadaan api semakin marak dan rumah berkenaan telah terbakar sebanyak 80 peratus.

“Pihak bomba mengambil masa 10 minit untuk memadamkan api bagi mengelakkan api daripada merebak ke rumah berhampiran.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian
9 Jun 2011

Tuesday, June 7, 2011

Enjin keluar percikan api

MUAR – Seorang mekanik nyaris maut apabila bot yang sedang dibaikinya terbakar secara tiba-tiba akibat percikan api daripada enjin bot yang diselenggara itu dalam kejadian kebakaran bot di Jeti Kelab Sosial Persisiran Maharani Muar di sini, semalam.

Bagaimanapun, mekanik yang berusia 42 tahun itu hanya mengalami kecederaan kecil iaitu melecur di bahagian tangan dan rambutnya terbakar kerana cuba memadamkan api tersebut tetapi gagal.

Pemilik bot berkenaan, Sallehuddin Othman, 59, berkata, dia telah mengupah mekanik tersebut untuk membaiki botnya yang rosak sejak dua hari lalu.

Menurutnya, bot tersebut digunakan sendiri ataupun disewakan kepada pelanggan untuk aktiviti riadah seperti memancing.

“Ketika kejadian jam 3.45 petang, mekanik ini dipercayai sedang menyelenggara bot untuk memasukkan minyak penapis.

“Ketika sedang leka memasukkan minyak ini, secara tiba-tiba keluar percikan api daripada enjin bot,” katanya kepada Sinar Harian.

Rentetan itu menyebabkan percikan api bertukar menjadi besar dan kemudiannya marak membakar keseluruhan bot.

“Pada mulanya, mekanik saya cuba untuk memadamkan api tetapi gagal sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan.

“Saya bersyukur kerana ketika kejadian tiada penumpang lain yang turut berada dalam bot ini dan mekanik terselamat meskipun mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Difahamkan, Sallehuddin mengalami kerugian sebanyak RM75,000 akibat daripada insiden yang berlaku itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 3.52 petang.

Menurutnya, seramai 12 anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan itu.

“Pihak bomba mengambil masa kurang daripada tujuh minit untuk memadamkan kebakaran dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian
7 Jun 2011

Monday, June 6, 2011

2,500 pokok bakau ditanam

MUAR - Sekumpulan polis, renjer jabatan perhutanan, ahli perniagaan, pelajar dan penduduk berjaya menanam sebanyak 2,500 pokok bakau di Tanjung Ketapang, di sini.

Ketua Cawangan Khas Johor Senior Asisten Komisioner, Datuk Ramli Hassan yang mengetuai projek menanam pokok bakau itu berkata, kerja penanaman pokok bakau dan bakau minyak hanya mengambil masa dua hari.

Menurutnya, ia bertujuan untuk menanamkan kesedaran kalangan rakyat pada pentingnya melindungi kawasan pantai daripada hakisan dan ancaman-ancaman semula jadi yang lain.

“Kami melihat bagaimana fungsi pokok bakau di beberapa bahagian dunia memainkan peranan penting melindungi manusia ketika tsunami pada tahun 2004.

“Atas dasar ini kami mahu orang ramai melindungi persekitaran pantai dengan menanam pokok bakau,” katanya ketika berucap merasmikan program kepolisan masyarakat di sini, semalam.

Ramli yang diiringi Renjer Senior Jabatan Perhutanan Johor, Baharuddin Bahran berkata, program ini juga bertujuan memupuk pemahaman antara polis dan orang ramai.

“Konsep jabatan perhutanan iaitu tiga pokok bakau untuk satu rakyat adalah sebagai galakkan kepada rakyat untuk menanam pokok bagi melindungi alam sekitar.

“Ini adalah kali pertama Polis Johor menanam pokok bakau di sini dan merancang untuk memperluaskan program ini ke daerah lain,” katanya.

Beliau berkata, bagi kawasan pantai bukan paya bakau seperti di Mersing, pihak polis dan jabatan perhutanan menanam pokok rhu yang turut berfungsi membersihkan kawasan pantai.

Sementara itu, Baharuddin berkata, pokok bakau lebih memainkan peranan untuk melindungi kawasan paya pantai daripada berlakunya hakisan akibat pukulan kuat ombak di kawasan berkenaan.

“Akar pokok bakau menghasilkan enzim tertentu yang boleh merawat kotoran dalam perairan air masin dan menghidupkan semua ekosistem di kawasan ini.

“Pokok bakau tua di kawasan pantai berhampiran Tanjung Ketapang telah menghapuskan dan jabatan memutuskan untuk mengisi kawasan dengan pokok bakau lagi,” katanya.

Sinar Harian
6 Jun 2011

Friday, June 3, 2011

Badan terbakar dan terkena cecair tar

MUAR – Seorang pemandu lori tangki menderita apabila 23 peratus badannya terbakar selepas lori tangki yang sarat dengan cecair tar dipandunya terbabit dalam kemalangan membabitkan dua bas dalam kejadian di Kilometer 144.8, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Pagoh di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, N Sivananda, 44, terpaksa dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) berikutan kecederaan yang dialaminya.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, nahas tersebut berlaku apabila salah sebuah bas sekolah yang digunakan untuk membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) merempuh belakang lori terbabit.

Menurutnya, kedua-dua bas terbabit dalam perjalanan dari Lenggeng, Negeri Sembilan ke Pasir Gudang, Johor.

“Akibat pelanggaran ini, lori terbabas manakala tangki yang sarat dengan cecair tar terbalik dan tumpah memenuhi lebuh raya.

“Bas yang merempuh belakang lori tangki ini hilang kawalan dan terbabas ke laluan kanan lebuh raya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, disebabkan bas sekolah telah melanggar lori tangki itu, sebuah lagi bas persiaran yang turut membawa Pati hilang kawalan dan terbabas kerana cuba mengelak daripada melanggar bas sekolah berkenaan.

“Pasukan polis dari Muar dan Tangkak bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa terlibat.

“Namun, kami bersyukur kerana kesemua yang terlibat dalam insiden ini terselamat walaupun membawa seramai 102 Pati,” katanya.

Selain itu, beliau juga hairan bagaimana salah sebuah bas boleh terbabas memasuki lorong kanan lebuh raya menghala arah utara selepas melanggar belakang lori tangki.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung punca nahas ini berlaku.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian
3 Jun 2011