Thursday, June 16, 2011

Budak kembar tiga maut dipercayai didera bapa

MUAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Batu Pahat pada 6 Jun lalu meninggal dunia dipercayai akibat didera bapa kandungnya.

Tay Chin Zhi yang dimasukkan ke hospital itu disahkan mati pada hujung minggu lalu dipercayai akibat kecederaan dalaman, kesan lebam turut ditemui pada sebahagian badannya.

Menurut seorang kenalan keluarga mangsa yang enggan dikenali, Tay ialah pasangan kembar tiga dan anak bongsu daripada lima beradik.

“Dua minggu sebelum kejadian, saya terlihat kesan lebam pada bahagian muka kanan Tay.

“Saya memaklumkan perkara itu kepada ibunya malah menasihatkannya untuk membawa Tay mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Bulat, Sungai Balang di sini, semalam.

Katanya, ibu Tay yang berkerja sebagai pengurus di sebuah syarikat ukur tanah di bandar berkenaan seakan bersikap acuh tidak acuh selain mendakwa kecederaan dialami anaknya itu tidak serius.

Menurutnya, bapa mangsa berusia 36 tahun dan bekerja di pusat jualan benih kelapa sawit kemudian membawa Tay mendapatkan rawatan di hospital swasta itu.

“Beberapa hari kemudian, saya mendapat maklumat Tay disahkan mati ketika dirawat,” katanya.

Kelahiran Tay dan dua beradiknya mendapat laporan luas media kerana tarikh dilahirkan jatuh pada hari mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Lee Choon Guan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan sudah menerima laporan berkaitannya.

“Susulan itu, kami menahan reman bapa mangsa untuk membantu siasatan sejak Isnin lalu, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mendera,” katanya.

“Sabit kesalahan, suspek boleh di penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Usaha Harian Metro mendapatkan keterangan daripada ibu atau keluarga mangsa menemui jalan buntu apabila mereka enggan mengulas dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

myMetro
16 Jun 2011


Jin Ghi mati akibat pendarahan kepala

MUAR 16 Jun - Polis menolak kemungkinan kematian salah seorang daripada tiga beradik kembar berusia tiga tahun di Hospital Batu Pahat, pada Isnin lalu, adalah akibat didera.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, sebaliknya laporan mendapati kematian, Khoo Jin Ghi berpunca daripada pendarahan dalaman di kepala kerana terjatuh.

Katanya, namun siasatan masih diteruskan dan pihaknya kini menunggu laporan penuh bedah siasat kes tersebut yang dijangka dikeluarkan minggu depan.

"Mangsa dilaporkan pernah terjatuh di dapur rumah keluarganya, 4 Jun lalu, menyebabkannya pengsan. Namun ibu bapanya tidak mengesyaki sesuatu yang serius dan tidak membawanya ke hospital.

"Pada 12 Jun lalu, kanak-kanak itu sekali lagi pengsan dan kali ini, ibu bapanya membawa ke sebuah hospital swasta sebelum dirujuk ke Hospital Batu Pahat," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, Jin Ghi meninggal dunia pukul 1 petang Isnin lalu dan laporan awal mendapati ia berpunca daripada pendarahan dalam kepala.

Tambahnya, siasatan turut mendapati mangsa merupakan kanak-kanak yang aktif dan pernah terjatuh longkang berhampiran rumahnya.

"Bapa mangsa berusia 39 tahun ditahan reman selama enam hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan," katanya.

Utusan
17 Jun 2011

0 comments:

Post a Comment