Monday, June 6, 2011

2,500 pokok bakau ditanam

MUAR - Sekumpulan polis, renjer jabatan perhutanan, ahli perniagaan, pelajar dan penduduk berjaya menanam sebanyak 2,500 pokok bakau di Tanjung Ketapang, di sini.

Ketua Cawangan Khas Johor Senior Asisten Komisioner, Datuk Ramli Hassan yang mengetuai projek menanam pokok bakau itu berkata, kerja penanaman pokok bakau dan bakau minyak hanya mengambil masa dua hari.

Menurutnya, ia bertujuan untuk menanamkan kesedaran kalangan rakyat pada pentingnya melindungi kawasan pantai daripada hakisan dan ancaman-ancaman semula jadi yang lain.

“Kami melihat bagaimana fungsi pokok bakau di beberapa bahagian dunia memainkan peranan penting melindungi manusia ketika tsunami pada tahun 2004.

“Atas dasar ini kami mahu orang ramai melindungi persekitaran pantai dengan menanam pokok bakau,” katanya ketika berucap merasmikan program kepolisan masyarakat di sini, semalam.

Ramli yang diiringi Renjer Senior Jabatan Perhutanan Johor, Baharuddin Bahran berkata, program ini juga bertujuan memupuk pemahaman antara polis dan orang ramai.

“Konsep jabatan perhutanan iaitu tiga pokok bakau untuk satu rakyat adalah sebagai galakkan kepada rakyat untuk menanam pokok bagi melindungi alam sekitar.

“Ini adalah kali pertama Polis Johor menanam pokok bakau di sini dan merancang untuk memperluaskan program ini ke daerah lain,” katanya.

Beliau berkata, bagi kawasan pantai bukan paya bakau seperti di Mersing, pihak polis dan jabatan perhutanan menanam pokok rhu yang turut berfungsi membersihkan kawasan pantai.

Sementara itu, Baharuddin berkata, pokok bakau lebih memainkan peranan untuk melindungi kawasan paya pantai daripada berlakunya hakisan akibat pukulan kuat ombak di kawasan berkenaan.

“Akar pokok bakau menghasilkan enzim tertentu yang boleh merawat kotoran dalam perairan air masin dan menghidupkan semua ekosistem di kawasan ini.

“Pokok bakau tua di kawasan pantai berhampiran Tanjung Ketapang telah menghapuskan dan jabatan memutuskan untuk mengisi kawasan dengan pokok bakau lagi,” katanya.

Sinar Harian
6 Jun 2011

0 comments:

Post a Comment