Friday, June 10, 2011

43 Pelatih Puspen Lari Dalam Rusuhan - Polis

ANTARA kenderaan yang rosak teruk selepas pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Sengkang, Bukit Gambir merusuh dan melarikan diri dari pusat itu malam tadi. Dalam kejadian itu, mereka turut membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan di pusat berkenaan. - Foto NSTP Jun 10, 2011 11:14 am

MUAR: Polis mengesahkan 43 daripada 377 pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sengkang, Bukit Gambir dekat Ledang melarikan diri semasa rusuhan di pusat itu pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Supritendan Salleh Abdul Razak berkata pihaknya bersama Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Agensi Dadah Kebangsaan kini berusaha menjejaki mereka yang meloloskan diri.

"Kami juga masih menyiasat punca sebenar rusuhan tersebut," katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Dalam kejadian yang dipercayai bermula kira-kira 8.40 malam itu, sekumpulan pelatih bertindak merusuh dan membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan di pusat tersebut.

Mereka juga bertindak memecahkan cermin tujuh buah kereta kepunyaan pegawai dan petugas pusat itu.

Ini adalah kejadian rusuhan kedua pernah berlaku di pusat tersebut selepas kejadian pertama pada 1999.

mStar
10 Jun 2011


Polis berkas semula 16 pelatih PUSPEN yang lari semasa rusuhan

MUAR: Polis berjaya menahan semula 16 pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di Sengkang, Bukit Gambir yang melarikan diri ketika rusuhan di pusat tersebut malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang DSP Mohd Salleh Abdul Razak berkata pihaknya juga mengenal pasti hanya 21 yang telah melarikan diri.

Tiga belas daripada mereka ditahan semula ketika bersembunyi di bawah jambatan Sungai Muar di Gersik, kira-kira tiga kilometer dari pusat tersebut, manakala tiga lagi ditahan di berhampiran pusat itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata usaha mengesan dan menahan semula lima lagi kini dipergiatkan.

Mohd Salleh berkata polis juga menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dalang dan punca sebenar rusuhan yang menyaksikan dua bangunan pusat itu dibakar.

Pusat itu menempatkan 377 pelatih, dan dalam kejadian kira-kira 8.40 malam tadi mereka dipercayai membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan serta memecahkan cermin lapan buah kenderaan milik petugas di situ.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan khianat dengan api yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan, katanya.

myMetro
10 Jun 2011

0 comments:

Post a Comment