Friday, June 24, 2011

Seleweng subsidi diesel

MUAR - Pengusaha kiosk petrol dan isterinya ditahan kerana menjalankan kegiatan mengalirkan subsidi diesel melalui kiosk mereka ke dalam satu trak tangki untuk dijual bagi perindustrian di Melaka dan Negeri Sembilan.

Pasangan tersebut yang berusia 30-an itu ditahan oleh sepasukan kakitangan dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Muar dalam serbuan kira-kira jam 10 malam, Selasa lalu.

Ketua cawangan, Mohd Basha Abidin Ali berkata, pasukan tersebut turut merampas kira-kira 15,000 liter subsidi diesel dengan anggaran bernilai RM27,000 dan sebuah trak tangki.

Menurutnya, hasil siasatan menunjukkan kiosk tersebut mempunyai satu sistem perparitan rahsia bawah tanah yang menghubungkan ke belakang kiosk.

“Terdapat pintu besar sebagai laluan untuk lori-lori tangki masuk bagi menyalurkan subsidi diesel ini.

“Kegiatan ini adalah pertama kali berlaku di Muar dan kepantasan pasukan PPDNKK berjaya membanteras segera kegiatan mereka ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pasangan tersebut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau dua tahun penjara jika didapati bersalah.

“Intipan daripada pihak PPDNKK telah dilakukan sejak dua bulan lalu berdasarkan maklumat daripada orang awam yang mendapati kiosk tersebut menjalankan kegiatan yang mencurigakan terutamanya di bahagian belakang kiosk,” katanya.

Katanya lagi, pemeriksaan di kawasan tersebut juga telah menjumpai satu saluran paip di bawah tanah berhampiran pagar yang menghubungkan ke bekas trak.

“Trak ini boleh mengisi kira-kira 19,000 liter bahan api dan percaya pemandu dan pembantunya hanya berjaya mengalirkan kira-kira 15,000 liter dalam trak sebelum melarikan diri,” katanya.

Sinar Harian
24 Jun 2011

0 comments:

Post a Comment