REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Wednesday, May 30, 2012

Macam dirasuk



PERIKSA...anggota Unit Forensik polis memeriksa rumah mangsa.

RAWAT...Juriah ditemani ahli keluarganya di HPSF, semalam.

MUAR: “Dia (suspek) bagaikan dirasuk. Walaupun melihat suami tidak berdaya dan berlumuran darah, dia terus menetak hingga kakaknya dan beberapa jiran datang menghalangnya.

“Ketika itu, mak cik tak dapat buat apa-apa kerana ditetak di kepala dan badan menyebabkan mak cik merangkak ke depan pintu dan menjerit minta tolong,” kata warga emas, Juriah Dimiyati@Demyati, 61, menceritakan kejadian menyayat hati di rumahnya di Kampung Parit Kerinchi, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.41 pagi itu, Juriah dan suaminya, Revuan@Reduan Harun, 73, hanya berdua di rumah sebelum tiba-tiba pintu depan rumah mereka ditendang suspek, wanita berusia 22 tahun yang juga jiran mangsa.

“Ketika itu, mak cik sibuk menyiapkan bahan untuk memasak di dapur, manakala arwah (suami) berehat di ruang depan sebelum kami terdengar pintu depan ditendang kuat.

“Sejurus kemudian, seorang wanita dalam keadaan tidak terurus meluru masuk dan menjerit meminta tolong.

“Saya dan suami memarahi kelakuannya kerana menyebabkan kami terkejut, namun dia tidak mengendahkannya lalu mencapai parang di kawasan berhampiran dan menyerang kami bertubi-tubi,” katanya ketika ditemui selepas mendapat rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, semalam.

myMetro
30 Mei 2012


Suspek kemurungan

LEDANG: Wanita berusia 22 tahun yang mengamuk dan menetak pasangan warga emas, Revuan@Reduan Harun, 73, dan isterinya, Juriah Dimiyati@Demyati, 61, di Kampung Parit Kerinchi di sini, pagi semalam, tidak mempunyai rekod pesakit mental.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki rekod berkaitan penyakit mental dan tidak pernah mendapatkan rawatan penyakit berkaitan.

Katanya, suspek yang berasal dari Kampung Sawah Ring itu dipercayai mengalami masalah kemurungan sejak empat tahun lalu.

myMetro 30 Mei 2012


Nyawa-nyawa ikan minta bantuan

LEDANG: “Sebaik tiba di rumah mangsa, saya melihat mak cik Juriah di depan pintu dengan darah terpancut keluar dari kepalanya sambil menunjukkan pak cik Reduan di dinding dapur yang meminta tolong dan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan,” kata saksi kejadian amuk, Siti Aminah Wahab, 34.

Dalam kejadian pada jam 10.41 pagi itu, seorang warga emas, Revuan@Reduan Harun, 73, meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditetak bertubi-tubi di badan dan kepala oleh seorang gadis berusia 22 tahun di rumahnya di Kampung Parit Kerinci di sini, semalam.

Isteri mangsa, Juriah Dimiyati@Demyati, 61, parah selepas ditetak di kepala oleh gadis terbabit yang tiba-tiba datang ke rumah warga emas itu.

Siti Aminah berkata, ketika kejadian, dia berada di dapur rumahnya kira-kira 200 meter dari rumah mangsa dan mendengar suara orang meminta tolong.

Menurutnya, jeritan meminta tolong itu berlarutan hampir 10 minit sebelum ibu saudaranya meminta dia melihat apa yang berlaku. Katanya, dia menunggang motosikal dan berhenti di depan rumah mangsa sebelum melihat Juriah berlumuran darah.

“Ketika itu, tiada orang lain di rumah melainkan pasangan warga emas itu dan pintu rumahnya terbuka.

“Saya melihat mak cik Juriah cuba berjalan ke pintu depan, namun keadaannya amat lemah.

“Mulutnya bergerak dan cuba berkata sesuatu, tetapi suaranya serak mungkin kerana terlalu lama menjerit meminta tolong,” katanya.

Siti Aminah berkata, terkejut dengan kejadian itu dia menghubungi ambulans yang tiba 40 minit kemudian.

myMetro
30 Mei 2012


Mangsa tetak tunjuk sikap aneh

Juriah menerima 40 jahitan di kepala selepas diserang kelmarin.


Juriah disamping cucunya, Mohd Aikal Aniq dan Mohd Aiman Irfan.

LEDANG – “Tiga hari sebelum kejadian, arwah beritahu kakak sulungnya yang sudah meninggal dunia Januari lalu, mengajaknya datang ke rumah. Saya anggap ia hanya gurauan, namun tidak menyangka kata-kata itu menjadi kenyataan."

Demikian luahan pilu mangsa tetak seorang gadis kurang siuman, Juriah Dimiyati @ Demyati, 61, yang turut kehilangan suaminya, Allahyarham Mohd Revuan @ Mohd Reduan Harun 73, dalam tragedi berdarah itu, kelmarin.

Menurut Juriah, paling tidak boleh dilupakannya juga apabila arwah suaminya turut menyatakan hasrat bermain buaian di funfair yang diadakan di Bukit Gambir ketika mereka dalam perjalanan pulang menaiki motor selepas menikmati mi bandung di restoran berhampiran kawasan itu.

“Bagaimanapun saya menolak permintaan arwah secara baik dan memberitahunya tidak sesuai untuk ke sana kerana sudah tua. Arwah pula hanya mendiamkan diri sahaja selepas saya berkata begitu dalam perjalanan pulang ke rumah," katanya.

Dalam insiden itu, Juriah yang turut menjadi sasaran serangan wanita berkenaan mengalami kecederaan parah dengan tiga tetakan di kepala dan terpaksa menerima 40 jahitan ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, kelmarin.

Dia yang masih trauma memberitahu Sinar Harian, di matanya masih terbayang-bayang tubuh kurus suaminya berlumuran darah dan tersandar lemah pada dinding bersebelahan bilik mandi.

“Pada mulanya, arwah cuba lari untuk selamatkan diri, tetapi gagal kerana terjatuh disebabkan lantai licin dipenuhi darahnya. Di situlah arwah diserang, ditetak bertalu-talu oleh suspek dan saya dengar dengan jelas tetakan itu seperti orang sedang mencencang ayam.

“Dalam hati, saya hanya mampu berdoa agar suami selamat,” katanya sambil menahan sebak.

Juriah berkata, dia tidak dapat membantu menyelamatkan arwah suaminya kerana keadaan suspek terlalu agresif.

"Saya hanya mampu merangkak ke hadapan rumah untuk meminta pertolongan jiran," katanya.

Bagaimanapun, Juriah bersyukur kerana ketika kejadian, dua cucu yang tinggal bersamanya tiada di rumah kerana mengikut ibu bapa mereka ke bandar Muar.

Sementara itu, anak tunggal Juriah, Mohd Tukiran, 37, berkata, dia tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap keluarga suspek berikutan insiden yang menimpa bapanya itu.

“Buat sementara waktu, ibu akan tinggal bersama saya di Bakri selepas selesai hari ketiga kenduri tahlil arwah ayah. Kami akan pulang semula ke sini apabila cuti persekolahan tamat kerana anak-anak sekolah di sini.

“Keluarga suspek ada datang berjumpa dengan saya dan mohon maaf dengan insiden yang berlaku,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga emas maut apabila menjadi mangsa tetakan wanita dipercayai kurang siuman menggunakan parang dalam kejadian di Kampung Parit Kerinchi, Bukit Gambir dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.41 pagi itu, mangsa, Mohd Revuan yang cedera parah pada bahagian kepala, badan serta putus satu jari tangan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF Muar.

Isterinya, Juriah cedera di bahagian kepala.

Manakala suspek, seorang wanita berusia 22 tahun dan berasal dari Kampung Sawah Ring, Bukit Gambir yang mengalami masalah kemurungan sejak empat tahun lalu kini ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Allahyarham Mohd Revuan telah selamat dikebumikan malam kelmarin selepas solat Isyak di Tanah Perkuburan Islam Batu 18, Sengkang, Bukit Gambir.

Sinar Harian
31 Mei 2011

Mangsa tetak tidak bersemangat sambut Aidilfitri tanpa suami


LEDANG - “Syawal tahun ini sangat tidak bermakna dan saya tidak bersemangat menyambutnya tanpa suami di sisi,” demikian luahan Juriah Dimiyati@Demyati, 61.

Juriah adalah mangsa tetak yang terselamat dalam kejadian diserang seorang wanita dipercayai kurang siuman menggunakan parang sehingga meragut nyawa suaminya, Mohd Revuan@Mohd Reduan, 73, di Kampung Parit Kerinchi Bukit Gambir, 29 Mei lalu.

Meskipun tragedi berdarah itu sudah berlalu hampir tiga bulan, tetapi Juriah merasakan ia seperti baru berlaku semalam.

Menurutnya, peristiwa tersebut tidak mungkin dapat dilupakan dalam hidupnya, lebih-lebih lagi apabila dia sendiri menjadi saksi arwah suaminya ditetak menggunakan dua parang oleh wanita kurang siuman yang secara tiba-tiba memasuki rumah mereka.

“Setiap kali potong tulang ayam, pasti akan teringat bunyi yang sama didengar ketika suami ditetak bertalu-talu oleh wanita itu.

“Semua yang berlaku masih segar dalam ingatan ini dan pastinya saya akan mengalirkan air mata setiap kali teringatkan arwah,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya, semalam.

Suka duka 40 tahun bersama

Juriah berkata, sepanjang 40 tahun berkongsi hidup, terlalu banyak kenangan  manis, suka dan duka yang mereka lalui bersama.

Katanya, apabila arwah meninggal dunia, separuh daripada jiwa dan hidupnya turut hilang sama, serta merasakan kehidupannya hari ini tidak seindah seperti ketika arwah masih hidup.

Lebih-lebih lagi apabila Aidilfitri bakal disambut esok, pastinya akan membuatkan dirinya bertambah sedih apabila mengenangkan arwah juga makanan kegemarannya pada pagi hari raya iaitu ayam masak kari dan kuah lodeh.

Walaupun Aidilfitri nanti akan disambut bersama anak tunggalnya, Mohd Tukiran, 38, menantu dan dua cucunya, tetapi keseronokan itu pastinya tidak sama seperti ketika arwah masih hidup.

Sambil menahan sebak, Juriah berkata, setiap kali Ramadan, arwah orang yang paling gembira mahu menyambut Aidilfitri mengalahkan dua cucu yang tinggal bersama mereka iaitu Mohd Aiman, 9, dan Mohd Aikal Aneq, 8.“Arwah memang suka beli keperluan untuk menyambut hari raya lebih awal secara   sedikit demi sedikit. Seminggu sebelum meninggal dunia, arwah sempat beli selipar di pasar lambak yang katanya untuk digunakan pada Aidilfitri nanti.

“Tapi, semuanya ini tinggal kenangan dan anggap ia sebagai kenangan terindah, walaupun terlalu pahit untuk menerima kehilangan arwah,” katanya akan menatap gambar kenangan arwah setiap kali merinduinya.

Mahu main buai funfair

Katanya, sebolehnya setiap hujung minggu, dia yang ditemani anak dan cucunya akan meluangkan masa menziarahi kubur arwah di Sengkang, Bukit Gambir, dekat sini.

Mengimbau tragedi sedih itu, Juriah berkata, paling tidak boleh dilupakan adalah perlakuan pelik suaminya tiga hari sebelum kejadian, apabila arwah menyatakan hasrat untuk bermain buaian di funfair di Bukit Gambir, ketika dalam perjalanan pulang selepas menikmati mi Bandung kegemarannya di sebuah restoran berhampiran.

“Saya menolak permintaan arwah secara baik  dan memberitahunya  berasa malu kerana sudah tua serta  tidak sesuai untuk bermain buaian di funfair.

“Sebaliknya arwah hanya mendiamkan diri sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah,” katanya.

Tragedi pulang menoreh getah

Juriah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.41 pagi pada 29 Mei lalu, dia dan suami baru sahaja pulang daripada menoreh getah.

Menurutnya, dia berada di dapur kerana menyiapkan keperluan untuk memasak hidangan tengah hari, manakala suaminya sedang berehat di ruang tamu.

“Kemudian saya dengar bunyi pintu depan rumah ditendang dengan kuat sehingga terbuka.

“Saya terkejut lalu ke ruang tamu dan melihat wanita itu sudah berada dalam rumah sambil menjerit meminta tolong,” katanya.

Jelasnya, tiba-tiba wanita itu berlari ke dapur dan mencapai dua parang sebelum menetak bertubi-tubi di badan dan bahu kiri suami serta darah membuak-buak keluar.

Tambahnya, dia turut terkena tetakan di bahagian kepala ketika cuba membantu menyelamatkan suaminya.

“Melihat keadaan wanita itu yang semakin agresif, saya nekad merangkak ke luar dan menjerit meminta pertolongan daripada jiran,” katanya.

Menurutnya, suaminya meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF Muar akibat cedera parah pada bahagian kepala dan badan serta putus satu jari tangan.

Berikutan itu, Juriah yang mengalami kecederaan parah dengan tiga tetakan di kepala dan menerima 40 jahitan ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Sinar Harian
18 Ogos 2012




Tuesday, May 29, 2012

Mayat penuntut kolej ditemui terapung


Mayat mangsa ditemui awam di Teluk Kesang berhampiran Tanjung Emas, petang semalam.

LEDANG - Mayat seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Muar, ditemui di Teluk Kesang berhampiran Tanjung Emas di sini, petang semalam.

Mangsa, Lim Yew Yea yang berusia 24 tahun dan dipercayai penuntut sebuah kolej swasta di Melaka ditemui orang awam pada jam 2.30 petang.

Ketika ditemui, mayat mangsa lengkap berpakaian.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris mengesahkan menerima laporan berkaitan penemuan mayat berkenaan.

Menurutnya, sebaik menerima laporan, dua anggota Pasukan Polis Marin Muar bergegas ke tempat kejadian menaiki bot dan mayat ditemui dalam keadaan terapung.

“Ketika ditemui, dipercayai mayat berkenaan telah hanyut lebih daripada 24 jam.

“Setakat ini, kami masih  belum menerima laporan berkaitan kehilangan ahli keluarga atau kenalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Harun berkata, mayat tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, untuk tujuan bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Sinar Harian
29 Mei 2012

Helah cuci barang kemas


MUAR – Sindiket mencuri emas dengan menggunakan kaedah cucian tumpas apabila 21 suspek ditahan polis dalam serbuan di sebuah hotel pada 25 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kumpulan terbabit menawarkan khidmat mencuci barangan kemas dengan harga serendah RM3 hingga RM5, sebelum memperdayakan mangsanya.

Menurutnya, tawaran tersebut diberikan apabila usaha memujuk mangsa untuk membeli barangan kemas tiruan yang dijual dengan harga belasan ringgit hingga ratusan ringgit tidak berjaya.

“Suspek akan pergi ke rumah- rumah di sekitar Muar untuk menawar perkhidmatan cucian dan juga menjual barang kemas tiruan.

“Tanda disedari mangsa, kaedah cucian yang dilakukan suspek dengan menggunakan cecair kimia itu, telah menyusutkan sebanyak 20 peratus emas asal milik mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Mohamad Nasir berkata, suspek kemudiannya akan memproses untuk membentuk semula emas yang susut ketika cucian dilakukan menggunakan cecair kimia.

Katanya, kumpulan yang didalangi tujuh warga tempatan dan melibatkan 14 warga China itu menyewa lima bilik salah sebuah hotel di bandar ini yang dijadikan lokasi memproses emas bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa.

Kegiatan yang mula beroperasi pada 23 Mei lalu katanya, terbongkar apabila pekerja hotel terbabit terhidu bau kuat kimia dari bilik berkenaan dan akhirnya membawa penemuan kegiatan tersebut.

Beliau berkata, Sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Muar yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor, menyerbu hotel itu dan menahan 21 suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun pada jam 10.30 malam.

Dalam serbuan tersebut mendapati suspek baru selesai memproses dan membentuk semula emas yang susut itu.

“Siasatan awal mendapati, suspek berjaya memperdayakan 20 mangsa di daerah ini selepas berkunjung ke rumah mereka.

“Sebelum ini, kumpulan ini beroperasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka, sebelum berpindah ke Muar,” katanya.

Katanya lagi, polis percaya terdapat saki baki ahli kumpulan terbabit yang masih aktif .

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada sekiranya mereka didatangi sekumpulan individu yang menawarkan khidmat mencuci barang kemas.

Sinar Harian
29 Mei 2012



Taktik curi emas guna bahan kimia dibongkar


MUAR: Sindiket mencuri emas menerusi taktik mencuci barangan kemas milik mangsa menggunakan bahan kimia dibongkar dengan penahanan 21 ahli kumpulan itu dalam serbuan di sebuah hotel di bandar ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata kegiatan kumpulan itu, termasuk 14 warga China dilumpuhkan, Jumaat lalu membabitkan tangkapan suspek berusia 20 tahun hingga 40 tahun, yang bergerak dari rumah ke rumah sekitar kampung sambil cuba menjual barangan kemas palsu.

“Ahli sindiket ini akan bergerak menaiki kereta dipandu warga tempatan yang menjadi jurubahasa kepada mereka.

“Biasanya, mereka cuba menjual barang kemas tiruan terlebih dulu dan jika suri rumah enggan membeli, mereka mengubah tawaran kepada khidmat mencuci emas dengan upah RM3 saja untuk setiap barang.

“Ketika itulah sindiket berkenaan mengambil kesempatan mencuri emas menggunakan pelarut kimia khas yang mampu menghilangkan sehingga 20 peratus daripada berat asal barangan kemas dicuci mereka,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Mohamad Nasir berkata, siasatan awal polis mendapati 14 warga asing dari Fujian, China itu memasuki negara ini pada 16 Mei lalu menggunakan pas lawatan sosial.

“Sindiket ini dipercayai membabitkan kumpulan besar serta bergiat aktif di beberapa negeri, termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan baru berada selama tiga hari di daerah Muar dan Batu Pahat.

“Kami percaya, saki baki kumpulan itu masih ada di beberapa negeri lagi kerana mereka sudah berpecah dalam beberapa kumpulan,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, 14 warga China itu direman sehingga 8 Jun mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963, manakala tujuh rakyat tempatan pula ditahan reman sehingga hari ini mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Mohd Nasir menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran mencuci barangan kemas ditawarkan pihak tidak dikenali.

Katanya, perbezaan berat barangan kemas yang sudah dicuci sukar dibezakan dengan mata kasar, melainkan ditimbang terlebih dulu menggunakan penimbang khas.

“Setakat ini, kami masih belum menerima laporan berkaitan kes itu kerana mungkin orang ramai tidak sedar kehilangan berat barangan kemas selepas dicuci sindiket berkenaan.

“Jadi, polis meminta orang ramai yang pernah menggunakan khidmat mencuci emas di rumah itu segera tampil di balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya.

Berita Harian 29 Mei 2012

Monday, May 28, 2012

Dua sahabat tak menyesal


Sumrah (kiri) dan Othman bangga menjadi tentera, meskipun kehilangan kaki kanan akibat terpijak jerangkap samar.

MUAR- Dua sahabat ini tidak pernah menyesal menyertai pasukan keselamatan sebagai tentera, meskipun kehilangan kaki kanan akibat terpijak bom jerangkap samar yang dipasang komunis  semasa bertugas mempertahankan negara, 35 tahun lalu.

Othman Lajis, 65, dan Sumrah Ehwan, 62, yang berkenalan ketika bertugas sebagai Askar Wataniah Rejimen Askar Melayu Diraja di Kem Sikamat, Negeri Sembilan, kini tinggal berjiran di Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 2, Sungai Abong, Muar.

Bagi pejuang negara ini, darah yang mengalir akibat terpijak bom menjadi saksi perjuangan mereka menentang komunis yang ketika itu masih bermaharajalela dalam hutan, walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan.

Kenangan masih di ingatan

Othman berkata, tanggal 3 September 1977 tidak mungkin dilupakannya kerana tarikh keramat itu, dia kini digelar orang kurang upaya (OKU) setelah menjadi mangsa bom jerangkap samar.

“Walaupun, peristiwa itu berlaku 35 tahun lalu, tetapi kenangan pahit tersebut masih jelas terbayang dalam ingatan hingga ke hari ini.

“Saya tidak menyangka, dua minggu selepas seorang rakan dalam pasukan maut terkena bom jerangkap samar, insiden tersebut berlaku ke atas diri saya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketika itu dia mengikuti operasi ‘Off Kota Ekor’ di hutan Banding, Jeli, Kelantan, selama tiga bulan. “Ketika itu, saya bersama enam rakan lain hendak menaiki sebuah bukit untuk membuat rondaan di kawasan berkenaan.

“Malangnya, saya yang berada di bahagian belakang telah terpijak jerangkap samar yang terdapat di situ,” katanya.

Othman berkata, akibatnya, dia tercampak beberapa meter dan senjata api melantun bertaburan.

Menurutnya, darah pada kaki kanannya mula mengalir deras dan disertai rasa sakit yang amat sangat, lalu memaksanya menjerit kerana tidak mampu menahan kesakitan.

“Berikutan insiden itu juga, saya terlantar di Hospital Pulau Pinang selama 48 hari dan kembali bertugas di Kem Sikamat, Negeri Sembilan, tanpa membabitkan tugasan operasi dalam hutan,” katanya.

Tabah tinggal isteri, anak

Bapa kepada sembilan anak ini berkata, kesediaannya berkhidmat selama 21 tahun sebagai tentera didorong oleh minat selepas menyaksikan sendiri kekejaman komunis membunuh penduduk kampungnya ketika darurat.

“Dengan sebab itu, saya sanggup melepaskan pekerjaan asal sebagai kelindan lori balak sematamata mahu menyertai pasukan keselamatan negara pada 16 Jun 1972, walaupun gaji kecil.

“Semasa menyertai pasukan ini juga saya sudah mempunyai lima anak dan dengan tabah meninggalkan isteri dan anak-anak selama sembilan bulan kerana menyertai operasi dalam hutan,” katanya.

Othman yang telah 19 tahun bersara, tetap bersemangat dengan darah ketenteraan yang masih membara dalam dirinya sehingga akhir hayat.

Jelasnya, kehilangan kaki kanan hingga paras buku lali tidak menghalangnya untuk melakukan pekerjaan sampingan dengan mengambil upah memasang khemah untuk majlis perkahwinan bagi menampung kehidupan di usia emasnya.

Namun begitu, dia bangga apabila anak sulungnya, Zamri, 46, dan Zulhisham, 43, turut mengikuti jejak langkahnya menjadi tentera.

Tragedi ubah hidup.

Bagi Sumrah pula, dia sangat bersyukur apabila terselamat daripada maut selepas terpijak jerangkap samar, meskipun mengalami kecederaan parah pada kaki kanannya, semasa bertugas di Hutan Dubir, Kedah pada 1978.

Ekoran tragedi itu juga, kaki kanannya tidak dapat diselamatkan dan terpaksa dipotong sehingga paras lutut.

Menurutnya, dia juga tidak dapat melupakan peristiwa itu kerana telah merubah seluruh kehidupannya secara total yang turut menyaksikan sendiri dua rakan dan seorang pegawai terbunuh dalam kejadian tersebut.

Jelasnya, perasaan marah, dendam dan benci begitu menebal terhadap komunis, tetapi dia tidak berupaya untuk serang balas kerana kecederaan yang saya alami,” katanya.

Bapa kepada lima anak ini berkata, dia bangga bergelar tentera dan berasa puas apabila dapat membantu berjuang menentang komunis untuk keamanan negara.

Sinar Harian
28 Mei 2012

Wednesday, May 23, 2012

Dua letupan kuat kedengaran sebelum rumah pusaka terbakar


Ruzita bersama suami melihat rangka motosikal yang musnah terbakar

MUAR - Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Parit No 7, Jalan Parit Yusof Darat, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu, semua penghuni tiada di rumah.

Mangsa, Ruzita Sa’er, 28, berkata, dia keluar rumah pada jam 10 pagi bersama anaknya, Mohd Hafiq, 4, dengan menaiki motosikal untuk menghantar bekalan minyak petrol ke tempat kerja suaminya, Mohd Hizarizam Masdar, 28, di Sungai Gresik, Sungai Balang.

Katanya, dia menerima berita itu kira-kira 30 minit selepas meninggalkan rumah, apabila seorang jiran menghubungi mengatakan rumahnya terbakar.

“Saya sangat terkejut kerana sebelum keluar rumah, semua suis dan peralatan elektrik telah diperiksa serta dalam keadaan selamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah, dia tergamam apabila melihat keseluruhan kediamannya sudah terbakar.

Ruzita berkata, menurut jiran berhampiran, mereka terdengar bunyi dua letupan kuat sebelum rumahnya terbakar, sebaik sahaja dia keluar rumah.

“Jiran berdekatan cuba memadamkan api yang menjulang di bahagian dapur tetapi tidak berjaya kerana ia marak terlalu cepat.

“Saya sedih kerana rumah pusaka arwah ibu mentua yang menjadi tempat berteduh kami tiga beranak sejak mendirikan rumah tangga, kira-kira lima tahun lalu, musnah terbakar,” katanya.

Menurutnya, empat motosikal milik suami, barang kemas dan wang tunai turut musnah dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 10.20 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian dengan dua jentera bersama 12 anggota.

“Semasa tiba di tempat kejadian rumah papan itu sudah musnah terbakar dan mengambil masa selama 30 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran.

“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian 23 Mei 2012

Tuesday, May 22, 2012

Pelajar sekolah curi motosikal


MUAR - Seorang pelajar berusia 17 tahun salah sebuah sekolah menengah dekat Pagoh antara enam suspek yang ditahan terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal sekitar Pagoh sejak beberapa bulan lalu.

Kesemua suspek berusia antara 17 hingga 21 tahun itu ditahan di lokasi berasingan di Pagoh oleh pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 10 dan 17 Mei, lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, tangkapan pertama ke atas seorang suspek berusia 18 tahun, dilakukan selepas menerima laporan kehilangan motosikal di Pagoh.

Menurutnya, berikutan itu pihak polis melancarkan gerakan memburu dan berjaya memberkas suspek di sebuah warung di Pagoh, dekat sini pada 10 Mei lalu, kira-kira jam 7.30 malam.

“Dalam tangkapan ini, polis merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai dicuri suspek,” katanya pada sidang media di IPD Muar, semalam.

Mohamad Nasir berkata, tangkapan dan hasil siasatan ke atas suspek pertama telah membantu polis mengesan lima suspek lain.

Katanya, kelima-lima suspek ini ditahan pada 17 Mei lalu di lokasi berbeza dan merampas tiga rangka motosikal dalam Sungai Pagoh.

“Polis percaya tindakan suspek membuang rangka motosikal dalam sungai bertujuan untuk melupuskan bukti.

“Mereka mencuri motosikal untuk ambil komponen dan dipasang pada motosikal masing-masing,” katanya.

Mohamad Nasir berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kesemua suspek terbabit dengan kegiatan lumba motosikal haram.

Jelasnya, suspek ditahan reman sehingga 25 Mei lalu dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk mengenal pasti saki baki ahli kumpulan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun,” katanya.

Sinar Harian 22 Mei 2012

Nasi ayam best di Muar

Pada pendapat aku nasi ayam yang best di Muar ialah di Taman Selera.

Nama kedainya Bakar Nasi Ayam. Bakar tu nama empunya kedai tu kot. Ayamnya tak kering dan keras. Nasinya peroi dan sedap.

Tapi sebulan lepas aku pegi, ayamnya mentah lak tengah-tengah. Haiyaa.. tapi baru ni aku pegi lagi 2 hari berturut ayamnya ok.

Kedai ni bukak siang je.

Dulu ada satu lagi warung yang jual nasi ayam sedap. Warung tu dibukak di Rukun Tetangga kat Jln Meriam. Aikk..camne la tempat rukun tetangga leh dijadikan warung? Tapi tempat tu da takde da. Nama owner dia Bob. Warung daa ditutup, rukun tetangga tu pun da takde, tuan warung pun dah berhijrah ke bandar besar.

Kat Restoran Man Catering, Jalan Junid punya pulak, dulu sedap, tapi sejak tukar chef, terus nasi ayamnya standard sama dengan categori yang tak sedap. Tuan punya kedai tu namanya Man la kot. Nama sebenarnya aku tak tau.

Lagi satu tempat nak cari nasi ayam ni ialah di Stesen Bas Pagoh. Sebenarnya patut dinamakan Stesen Bas Jalan Bentayan tapi aku ingat dinamakan Stesen Bas Pagoh sebab bas-bas kat situ semua dulu pegi Pagoh. Nak ikutkan tak logik dipanggil Stesen Bas Pagoh sebab lokasinya bukan di Pagoh pun. Semua bas ekspres berhenti kat situ. Da merapu lak..

Memalam nak cari nasi ayam yang sedap aku lum jumpa lagi. Kalau da jumpa aku kemaskinikan.

Terima kasih kerana membaca ulasan ini.

DIKEMASKINI PADA 5 Jan 2013


Kolej Cosmopoint ditutup


MUAR – Kebimbangan kira-kira 100 penuntut Kolej Teknologi Cosmopoint cawan­gan Muar berikutan penutupan kolej tersebut, hujung bulan ini berakhir apabila mereka ditawarkan menyambung pengajian di cawangan Melaka dengan kemudahan asrama percuma.

Berita baik itu diumumkan oleh Naib Presiden Kanan kolej, Dr Janet Ng Bee Pheng selepas mengadakan sesi dialog dan taklimat dengan semua penuntut dan kakitangan kolej berkenaan, semalam.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan pengajian penuntut di cawangan terbabit dapat diteruskan dan kebajikan mereka tidak terabai.

“Bagi penuntut separuh masa di cawangan Muar yang bekerja tetap dan tidak boleh tinggal di asrama cawangan Melaka, pihak kami sedia pertimbangkan untuk wujudkan kelas pada hujung minggu tetapi bergantung kepada bilangan mereka.

“Manakala 20 kakitangan yang melibatkan pensyarah ditawarkan untuk diserap di mana-mana cawangan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, bagi pensyarah yang tidak mahu berpindah dan memilih untuk berhenti, pampasan akan diberikan.

Bee Pheng turut mengulas tindakan kira-kira 50 penuntut cawangan itu yang mengadakan demonstrasi aman pada 11 Mei lalu kerana bimbang dengan nasib mereka apabila kolej tersebut ditutup pada 31 Mei ini.

Menurutnya, perpindahan operasi ke cawangan Melaka untuk sementara waktu.

Bagaimanapun, Bee Pheng enggan mengulas lanjut isu itu kerana memberi laluan kepada pembinaan kampus induk yang lebih besar di Johor Bahru.

“Kampus induk baru itu untuk kemudahan rakyat di negeri ini dengan pelbagai kelengkapan terkini. “Kolej cawangan di sini tidak mempunyai kemudahan yang lengkap selain tidak mempunyai suasana pembelajaran yang sesuai sebagai sebuah kolej,” katanya.

Tambah beliau, penutupan ini juga untuk membina kampus induk yang lebih baik dan selesa dengan persekitaran kondusif.

Kolej cawangan Muar adalah satu daripada 13 cawangan di seluruh negara yang mula beroperasi sejak 1999.

Sinar Harian 19 Mei 2012

Babi hutan masuk kafe siber


Orang ramai melihat babi hutan yang berjaya dibunuh selepas tersesat masuk ke dalam sebuah kafe siber di Taman Putra Murni, Jalan Salleh.

MUAR - Suasana tenang sebuah kafe siber di Taman Putra Murni, Jalan Salleh, di sini, bertukar kecoh apabila menerima kehadiran tetamu tidak diundang iaitu seekor babi hutan betina yang merempuh masuk ke premis berkenaan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, menyebabkan 10 pelanggan premis terbabit lari bertempiaran kerana terkejut melihat haiwan berkenaan.

Babi hutan seberat kira-kira 50 kilogram itu dipercayai tersesat dari sungai berdekatan kerana kawasan tersebut mempunyai belukar tebal dan semak samun.

Penjaga kafe siber berkenaan, Mohd Aradi, 23, berkata, haiwan itu merempuh pintu kaca di bahagian depan ketika dia dan pelanggan sedang leka melayari Internet.

Menurutnya, secara tiba-tiba dia terdengar bunyi rempuhan kuat dari pintu kaca berkenaan sehingga menyebabkan ia pecah berderai.

“Haiwan berkenaan dilihat semakin ganas apabila menyondol beberapa meja dan komputer, di sini.

“Mujur babi hutan ini tidak menyondol pelanggan yang baru keluar dari tandas,” katanya kepada Sinar Harian.

Aradi berkata, pelanggan tersebut melarikan diri dan babi tersebut masuk ke tandas, lalu terkurung di situ.

Jelasnya, dia segera keluar dari premis berkenaan dan meminta pertolongan orang ramai untuk menghalau haiwan itu.

Sementara itu, Krishnan, 43, yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian turut membantu memukul dan mencucuk haiwan tersebut dengan menggunakan sebatang besi.

“Saya terpaksa ambil masa setengah jam untuk bunuh babi ini kerana ruang tandas sempit, telah menyukarkan usaha membunuhnya. Pada masa yang sama haiwan ini bertindak agresif dan mahu serang balas.

“Tujuh anggota bomba yang datang membantu terpaksa berdiri atas kerusi kerana bimbang tersentuh haiwan berkenaan,” katanya.

Tambahnya, babi itu dibunuh dalam tandas sebelum dibawa keluar beramai-ramai dengan diikat pada sebatang kayu.

Sinar Harian 22 Mei 2012

Tuesday, May 15, 2012

Dua maut dalam kemalangan


Mangsa, Mohd Nordin maut di tempat kejadian.

MUAR – Dua maut dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dengan motosikal di Sungai Pulai, Seri Menanti dekat sini, kelmarin.

Mereka terbunuh dikenali sebagai Mohd Nordin Daud, 29, dan Noriana Mohd Muttar, 28.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, motosikal yang ditunggang Mohd Nordin dari arah Batu Pahat menghala ke Muar dipercayai cuba memotong kenderaan lain di hadapan.

Bagaimanapun, cubaannya gagal menyebabkannya motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki Noriana bersama suami dan seorang anaknya berusia tiga tahun, di laluan bertentangan.

Akibat rempuhan kuat itu, Mohd Nordin tercampak di atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan yang lain.

Noriana yang mengalami kecederaan parah dan tersepit di tempat duduk penumpang, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Batu Pahat.

Manakala suami Noriana serta anaknya terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan, kini menjalani rawatan di Hospital Batu Pahat.

Difahamkan, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Batu Pahat selepas menghadiri majlis perkahwinan di Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan menerima laporan insiden tersebut.

Menurutnya, mayat Mohd Nordin dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Saya meminta kerjasama saksi kejadian yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 15 Mei 2012

Wednesday, May 9, 2012

Nenek rentung bilik terbakar



ORANG ramai meninjau keadaan rumah yang terbakar di Taman Mahkota, Muar, semalam. 

ANGGOTA polis memeriksa bilik yang terbakar.

Warga tua tinggal sendirian, cucu hantar ibu jalani pemeriksaan kesihatan

MUAR: Jeritan warga tua berusia 96 tahun akibat terperangkap menyelubungi persekitaran rumah cucunya yang sedang musnah dijilat api, sebelum mayat mangsa ditemui rentung atas katil dalam tragedi dekat Parit Raja di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 11.50 pagi di Taman Mahkota itu, Kalthum Sukaimin, 96, tinggal sendirian apabila cucunya menghantar ibu yang juga anak warga emas terbabit ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah menjalani pemeriksaan kesihatan.

Mangsa sudah terlantar dan tidak dapat bergerak kerana sakit tua itu, ditinggalkan sebentar oleh cucu dan anaknya yang ke hospital berdekatan tidak sampai satu jam sebelum kejadian menyayat hati itu berlaku.

Pemandu van sekolah, Bahar Daud, 40, yang juga jiran keluarga itu, menyedari kejadian itu sejurus sampai menghantar cicit mangsa pulang dari sekolah dan terkejut melihat api sedang marak menjulang bahagian belakang rumah berkenaan.

Menyedari mangsa berada di bilik belakang berhampiran dapur, beliau terus memberhentikan van di depan rumah berkenaan sebelum mengambil kunci di bahagian rak kasut untuk masuk menyelamatkan mangsa, namun tidak berjaya kerana api terlalu marak.

“Api marak dengan asap tebal menyebabkan saya tidak dapat masuk ke dalam bilik nenek. Saya ralat apabila terdengar jeritan nenek meminta tolong beberapa minit sebelum hilang dalam api marak memusnahkan keseluruhan rumah, namun tak berdaya membantunya.

“Dalam keadaan panik dan hilang punca, saya menghubungi bomba apabila api menjadi terlalu marak,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di sini, semalam.

Cucu mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, neneknya ditinggalkan sendirian di rumah untuk seketika kerana beliau membawa ibunya mengambil ubat kira-kira jam 10.40 pagi.

Beliau yang juga doktor di hospital berkenaan berkata, sebelum kejadian beliau memaklumkan kepada neneknya mereka keluar ke hospital.

“Nenek tinggal bersama saya, suami, ibu serta lima anak saya tetapi ketika kejadian kami semua tiada di rumah. Saya terkejut apabila diberitahu jiran kira-kira jam 12 tengah hari mengenai kebakaran dan bergegas pulang bersama ibu," katanya.

Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Mohd. Juhar Tumin berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan jam 11.58 pagi.

Berita Harian
9 Mei 2012


Nenek rentung atas katil

MUAR – Seorang warga emas menemui ajal dalam keadaan tragis dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Taman Mahkota, Jalan Temenggung Ahmad, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.48 pagi itu, mayat Kalthum Sukaimin, 96, ditemui rentung di atas katil di dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan.

Saksi kejadian yang merupakan seorang pemandu van sekolah, Bahar Daud, 40-an berkata, dia menyedari kejadian tersebut berlaku ketika menghantar cicit mangsa pulang.

Menurutnya, dia terkejut apabila ternampak kepulan asap hitam keluar dari bahagian belakang rumah mangsa sebaik sahaja tiba di tempat kejadian.

“Cicit mangsa menjerit memberitahu yang neneknya ada dalam bilik dan meminta saya menyelamatkannya. Dalam keadaan kelam kabut mengambil kunci yang diletakkan di atas rak kasut depan rumah, saya juga terdengar jeritan meminta tolong.

“Saya cuba menyelamatkan mangsa dalam bilik itu bagaimanapun tidak berjaya kerana ketika itu keadaan api terlalu marak,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, cucu mangsa yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian dia tiada di rumah kerana menghantar ibunya menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

“Arwah nenek tidak boleh berjalan kerana menghidap sakit tua sejak beberapa tahun lalu dan ditempatkan dalam bilik itu.

“Saya tinggalkan arwah nenek sendirian di rumah seketika sementara menunggu anak pulang dari sekolah pada jam 11.30 pagi,” katanya.

Dia yang bertugas sebagai seorang doktor di HPSF memberitahu berita sedih itu diterima pada jam 11.50 pagi selepas dihubungi oleh jiran.

“Saya berasa sangat sedih kerana nenek meninggal dunia dalam keadaan yang cukup menyayat hati,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 11, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Mohd Johar Tumin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.58 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan dua jentera bersama 14 anggota termasuk unit forensik.

“Sewaktu kami tiba, api sedang marak di bilik yang menempatkan mangsa dan ruang dapur, manakala sebahagian bumbung rumah telah runtuh.

“Pihak bomba mengambil masa selama 15 minit untuk memadam keseluruhan kebakaran dan menemui mangsa dalam keadaan rentung,” katanya.

Mohd Johar berkata, bagaimanapun punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke HPSF untuk dibedah siasat.

Sinar Harian
9 Mei 2012

Wednesday, May 2, 2012

MPM, JPPM Dun Maharani: Baiki sepuluh rumah sebulan


MUAR - Majlis Perbandaran Muar (MPM) menyasarkan untuk membaiki 10 unit rumah setiap bulan milik keluarga miskin dalam usaha membantu golongan kurang bernasib di sini.

Yang Dipertua MPM, Zulkiflee Abbas berkata, MPM bersama Jawatankuasa Penyelaras Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (Dun) Maharani akan menanggung kos baik pulih rumah atau menggantikannya dengan yang baru.

Menurutnya, kerja membaiki rumah dilakukan secara gotong royong oleh kakitangan MPM, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Bantuan yang akan diberi termasuk dalam bentuk zink, siling, batu bata, kayu dan bahan lain untuk membina rumah yang diperlukan mengikut keadaan sesebuah rumah terbabit.

“Sebanyak RM20,000 diperuntukkan bagi tujuan membaiki tiga buah rumah di Jalan Temenggong Ahmad,” katanya ketika ditemui dalam Program Gerak Tumpu Membaiki Rumah Orang-orang Miskin MPM dan JPPM Dun Maharani di Parit Besar, Jalan Temenggong Ahmad, yang diadakan di sini.

Beliau berkata, dua rumah akan dibaik pulih manakala sebuah lagi dibina baru kerana struktur reput.

“Daripada jumlah ini, RM15,000 disumbangkan MPM dan RM5,000 oleh JPPM Dun Maharani kepada penerima iaitu Hassan Abdul, Abdul Razak Abu Bakar dan Ismail Kasim,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JPPM Dun Maharani, Datuk Mohd Ismail Mohd Shah berkata, lebih ramai golongan terbabit akan dikenal pasti melalui sistem e-kasih dan juga ketua kampung.

“Saya mahu ketua kampung membuat pemantauan di setiap kampung bagi memastikan tiada penduduk yang terpinggir daripada menerima bantuan untuk membaiki rumah mereka yang uzur.

“Program ini bertujuan meringankan beban golongan berkenaan dan terdapat sejumlah 74 keluarga miskin di daerah ini,” katanya.

Mohd Ismail berkata, pihaknya berharap bantuan tersebut akan dapat membantu dan memberi keselesaan kepada mereka dan kerajaan tidak mahu mana-mana rakyat rasa terpinggir.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Muar mahu semua ketua kampung dan penghulu di daerah itu bekerjasama dan turun padang mencari keluarga miskin yang memerlukan bantuan.

“Kita akan pergiatkan usaha ini untuk memastikan sasaran sifar miskin di daerah Muar akan tercapai,” katanya.

Sinar Harian 2 Mei 2012