REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Wednesday, July 31, 2013

10 pelancong Singapura nyaris maut, bas terbalik

Keadaan bas yang terbalik selepas terlibat dalam kemalangan di KM145.7 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Pagoh di sini. Gambar NST

PAGOH - Hasrat 10 pelancong Singapura untuk bercuti di Pulau Pinang tidak kesampaian apabila bas mewah yang dinaiki terbalik dan terseret di kilometer 145.7, Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan dekat sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 2 pagi yang hanya 500 meter dari Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara Selatan Pagoh itu, kesemua penumpang yang berumur antara 20an hingga 50an tercedera dan seorang wanita tua pengsan akibat terhantuk dengan kuat.

Sementara dua pemandunya yang merupakan warga tempatan, Zainal Abidin, 50an, dan Mohd. Rusdi Ahmad, 28, tercampak keluar dari bas mewah berkenaan dan mengalami cedera di bahagian kaki serta anggota badan.

Bas milik syarikat dari Ipoh, Perak itu terbalik di bahagian tengah pembahagi jalan dan mengakibatkan semua cermin tingkap pecah selain beberapa badan bas terkopak dan remuk teruk termasuk beberapa kerusi penumpang tercabut keluar. - KOSMO!

31 Jul 2013

Pencuri amatur ditahan tertidur selepas pecah rumah

MUAR 31 Julai - Tiga sekawan, dua remaja masing-masing berusia 16 tahun dan seorang kanak-kanak 12 tahun, tertidur sejurus memecah masuk rumah jirannya selepas waktu sahur di pekan Parit Jawa di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, gelagat 'pencuri amatur' itu disedari anak pemilik rumah tersebut selepas menerima panggilan daripada jirannya sebelum menangkap mereka kira-kira pukul 8 pagi.

"Ketika ditangkap, mereka sedang nyenyak tidur dalam sebuah bilik. Apabila disergah lelaki berusia 30-an itu, kesemua suspek tersedar dan terkejut. Sewaktu ditanya tujuan menceroboh, mereka memberi alasan mahu tumpang tidur dan lelaki tersebut kemudian membuat laporan polis," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini. - UTUSAN ONLINE

31 Jul 2013

Lelaki gila seks ditahan

AZMAN Ayob (dua dari kanan) menunjukkan telefon bimbit mengandungi gambar dan video klip lucah milik suspek gila seks, pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar, Johor, semalam.

MUAR 30 Julai - Seorang lelaki gila seks ditahan bukan sahaja kerana menyamun seorang suri rumah, malah memaksa wanita itu melakukan seks oral di rumah mangsa di Pagoh pada 16 Julai lalu.

Suspek berusia 28 tahun ditahan dalam serbuan pukul 10.40 malam di sebuah rumah di Kluang pada 25 Julai lalu oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam kejadian tersebut suspek memecah masuk rumah mangsa berusia 21 yang ketika itu bersama anaknya berumur setahun sebelum menyamunnya sebanyak RM250.

"Suspek meletakkan pisau di leher mangsa dan memaksanya melakukan seks oral. Selepas itu, suspek melarikan diri dan mangsa kemudian membuat laporan polis. Bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek pada 25 Julai lalu.

"Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah beg tangan dan empat unit telefon bimbit mengandungi pelbagai gambar dan video klip lucah. Kita masih siasat tujuan bahan-bahan lucah itu disimpan," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Azman berkata, semasa kejadian tersebut, suami mangsa tiada di rumah dan siasatan lanjut mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan dia direman sehingga esok.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 392 dan 379 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan Seksyen 377 (c) akta yang sama kerana memaksa mangsa melakukan seks oral.

Utusan
31 Jul 2013

Tuesday, July 30, 2013

Tenggiling RM45,000 dirampas

Nordin (dua, kanan) menunjukkan tenggiling yang dirampas daripada sebuah sampan yang rosak di tebing Sungai Sabak Awor, semalam

MUAR - Pasukan Polis Gerakan Marin Wilayah 2 Muar, mematahkan cubaan menyeludup 15 tenggiling dianggarkan bernilai RM45,000 di tebing Sungai Sabak Awor,  di sini, semalam.

Pegawai Pemerintahnya, Asisten Superintendan Nordin Osman berkata, tangkapan kira-kira jam 8 pagi itu, hasil daripada maklumat awam selepas mendapati terdapat sebuah sampan jenis fiber berada di lokasi dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, dua anggota yang menaiki botronda PSC 43 diarahkan ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki berada di atas tebing sungai, manakala seorang lagi lelaki sedang menungah karung ke darat.

“Dua lelaki warga tempatan berusia 30an itu bertindak melarikan diri ke dalam belukar berhampiran sebaik sahaja menyedari kehadiran  anggota marin.

“Sampan berukuran 5.7 meter dengan kuasa 75hp yang membawa lapan karung berisi haiwan eksotik daripada negara jiran ini dipercayai rosak menyebabkannya terkandas di lokasi,” katanya pada sidang media di Pengkalan Polis Marin Wilayah 2 Muar, semalam.

Nordin berkata, pihaknya percaya suspek menjadikan daerah ini sebagai transit sebelum menghantar haiwan itu ke Thailand.

“Sampan dan tenggiling dibawa ke pangkalan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah ini untuk tindakan lanjut.

“Haiwan ini diambil dari Indonesia kerana harganya jauh lebih rendah  selain dipercayai untuk kegunaan rawatan tenaga batin,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 68(2)(a) Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 kerana membawa hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan dengan tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya sekali.

Selain itu, beliau memberitahu kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 70(1) Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 kerana membawa hidupan liar betina yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM300,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Nordin berkata, harga pasaran semasa bagi tenggiling dianggarkan mencecah RM250 hingga RM300 sekilogram.

Sinar Harian
30 Jul 2013

Monday, July 29, 2013

Tiada tanah halang niat mohon bantuan rumah


Ali@Krisnan (kiri) bersama anaknya, Bibah di rumah sewa mereka di Jalan Sungai Abong di sini.

Suhaila memerhatikan penduduk kampung membaiki kerosakan pada rumah pusaka dihuninya di Parit Amat, Jalan Abd Rahman.

MUAR – Hasrat seorang warga emas untuk memiliki rumah idaman terhalang berikutan tidak mempunyai tanah sendiri meskipun kediaman sudah diperoleh melalui permohonan bantuan kerajaan.

Ali@Krishnan Abdullah, 72, berkata, perkara itu diketahui daripada rakan-rakan yang pernah membuat permohonan rumah sebelum ini di mana memiliki tanah sendiri menjadi syarat wajib untuk membuat permohonan kediaman terbabit.

“Dengan  syarat itu, saya tidak jadi untuk mohon rumah kerana sudah tahu jawapannya (tidak layak).

“Saya tidak ada tanah dan sebab itu juga sehingga kini masih menyewa rumah di Jalan Sungai Abong bersama anak dan cucu,” katanya.

Ali berkata, dia berasa runsing setiap kali memikirkan masa depan anak yang merupakan ibu tunggal serta cucunya kerana masih tidak memiliki rumah sendiri untuk berteduh.

“Saya sudah tua dan tidak sihat, saya juga tidak pasti sampai bila mampu bayar sewa rumah sebanyak RM300 yang diperoleh daripada wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Sementara itu, bagi Suhaila A Hamid, 41, berkata, sebelum ini, dia terpaksa menunggu hampir dua tahun permohonan bantuan rumah daripada Baitulmal bagi menggantikan rumah pusaka yang dihuninya itu sudah uzur.

 Bagaimanapun, katanya, penantiannya berakhir apabila pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Cawangan Muar memaklumkan permohonannya itu sudah sudah diluluskan membabitkan rumah berharga RM36,600.

Sinar Harian
29 Jul 2013


Dua kali lalui hidup perit


Kakitangan Kedai Kasut You Sdn Bhd menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 kepada Bibah pada program U Care di rumahnya di No 131 A, Jalan Sungai Abong.

MUAR - Seorang ibu tunggal terpaksa melalui kehidupan memeritkan buat kali kedua apabila bapa yang menjadi tempatnya bergantung jatuh sakit.

Bibah Ali@Krisnan, 36, sebelum ini diceraikan suami kira-kira empat tahun lalu.

Bapanya Ali@Krisnan Abd Manan, 71, kini menghidap penyakit kaki dan lutut memaksanya berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat pada tahun lalu.

“Selepas bercerai, bapa yang tanggung saya dan empat anak berusia antara sembilan hingga 18 tahun termasuk bayar sewa rumah RM200 sebulan.

“Apabila ayah berhenti kerja, kami mengalami masalah kewangan yang agak teruk. Saya terpaksa bekerja sambilan sebagai pembantu kedai pada waktu malam,” katanya.

Bibah berkata, pendapatan diterimanya sebanyak RM500 sebulan masih tidak cukup menjadikan kehidupan yang dilalui serba kekurangan dan menghuni rumah sewa dengan tidak sempurna.

“Makan minum kami tak sempurna. Jika tiada wang, kami makan sekali sehari.  Itu pun makanan yang dibawa sepupu daripada lebihan kedai makan tempatnya bekerja.

“Mujur bapa ada terima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. Kadang-kadang wang ini digunakan sebagai pusingan sementara menunggu saya dapat gaji,” katanya.

Keadaan rumah sewa yang dihuninya sejak empat tahun lalu tidak sempurna dan bumbung juga bocor.

Bibah terharu apabila ada pihak yang prihatin menghulurkan sumbangan ketika menjelang Aidilfitri.

“Wang ini akan digunakan untuk membeli kelengkapan hari raya anak-anak yang sudah lama ditidak beli.

“Terima kasih Kedai Kasut You Sdn Bhd atas sumbangan ini,” katanya.

Sinar Harian
28 Jul 2013

Sunday, July 28, 2013

Bayi 13 bulan tersepit mesin pengadun kuih

Anggota bomba membantu mengeluarkan tangan bayi tersebut

Maznah cuba memujuk anaknya yang menangis kesakitan

MUAR – Seorang bayi berumur 13 bulan terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam apabila tangan kirinya tersepit di mesin pengadun ketika mengikut ibunya bekerja membuat kuih raya di sebuah kilang di Taman Utama Bakri, semalam.

Berikutan kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Mohd Uqshah Iman Ramli bengkak tangan kiri serta berdarah dan bengkak di bahagian mulutnya.

Ibunya, Maznah Osman, 37, berkata, sebelum kejadian Mohd Uqshah bermain-main berhampiran mesin itu yang diletakkan di atas lantai dan dikendalikan olehnya.

“Melihat perbuatannya, saya beberapa kali melarangnya daripada bermain berdekatan mesin itu.

“Tiba-tiba saya dikejutkan dengan tangisan serta jeritannya dan mendapati tangan kirinya tersepit di mesin tersebut yang sedang bergerak,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia cuba membantu menyelamatkan anaknya tetapi tidak berjaya. Badan Mohd Uqshah bergerak sama mengikut mesin itu yang sedang berpusing sehingga menyebabkan mulutnya terhantuk sebelum berdarah dan bengkak.

“Seorang pekerja bertindak pantas menutup suis mesin, namun tangan anak yang tersepit antara bekas tepung dan badan mesin berkenaan masih tidak dapat ditarik keluar.

“Tiga anggota bomba yang datang membantu terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membuka skru sebelum tangan anak berjaya ditarik keluar,” katanya.

Maznah berkata, anaknya kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk rawatan segera.

Sementara itu, pemilik kilang berkenaan, Norhadidah Harun, 43, berkata, semasa kejadian dia berada dalam tandas di tingkat atas sebelum mendengar bayi berkenaan menjerit.

"Mujur salah seorang pekerjanya bertindak pantas menutup suis mesin dan jika tidak dikhuatiri keadaan lebih buruk boleh berlaku," katanya.

Sinar Harian
28 Jul 2013

Friday, July 26, 2013

Mayat reput berselimut ditemui

MUAR – Misteri bau busuk yang menghantui penduduk di Kampung Baru Lenga dekat sini, sejak beberapa hari lalu terungkai susulan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan berulat dan hampir reput, kelmarin.

Mayat Gan Hock Ang, 34, ditemui dalam keadaan terbaring yang lengkap berpakaian serta berselimut di atas katil disalah sebuah bilik rumah berkenaan, kira-kira jam 9 malam.

Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Gan, 40an, berkata, adiknya tinggal bersendirian di rumah itu setelah berpindah dari Kuala Lumpur selepas perayaan Tahun Baru Cina yang lalu.

Menurutnya, adiknya masih belum mendirikan rumah tangga itu menghidap penyakit kencing manis dan hepatitis sejak beberapa tahun lalu.

“Disebabkan penyakit itu juga, adik pernah pengsan sehingga terpaksa dimasukkan ke dalam wad sebuah hospital di Kuala Lumpur selama enam bulan.

“Saya hantar adik pulang ke kampung kerana dia sangat beriya-iya mahu tinggal di sini dan tidak sangka meninggal dunia ketika bersendirian di rumah,” katanya.

Gan berkata, kali terakhir menghubungi Hock Ang kira-kira dua minggu lalu dan kedengaran nada suaranya ceria seperti biasa.

"Jiran memberitahu tidak melihat kelibat adik sejak beberapa hari lalu dan mereka menyangka Hock Ang berada di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, jiran telah menghubungi pihak polis apabila terhidu bau busuk yang kuat dari arah rumah ini dan mendapati adik sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner, Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa mungkin mati sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau dan mereput.

“Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah disyaki.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat,” katanya.

Sinar Harian
26 Jul 2013

Friday, July 19, 2013

Bukan dipinggirkan anak

Gan Jackson menyampaikan bantuan kepada Rahmah pada program U Care, semalam.

MUAR - “Saya tinggal sendirian bukan kerana dipinggirkan anak, ia pilihan sendiri kerana tak mahu susahkan mereka,” demikian pengakuan Rahmah Yacob, 91.

Rahmah yang tinggal di 131A, Jalan Sungai Abong di sini, menerima bantuan wang tunai RM500 menerusi program U Care dari-  pada Kedai Kasut You Sdn Bhd dengan kerjasama Sinar Harian, semalam.

Warga emas itu berkata, meskipun tinggal bersendirian selepas kematian suami lima tahun lalu,  anaknya kerap menziarahi dan menghantar makanan.

“Saya ada lima anak tetapi dua daripadanya sudah meninggal dunia. Anak sulung berusia 60 tahun tinggal di Parit Tiram, anak kedua di Sungai Abong, yang bongsu pula  menetap di Batu Pahat.

“Jika mereka tidak dapat datang ziarah, mereka akan telefon saya untuk bertanya khabar,” katanya.

Dia menghuni rumah itu lebih 60 tahun lalu yang juga milik anak saudaranya dengan sewaan sebanyak RM120 setahun.

Jelasnya, dia yang tidak memiliki tanah sendiri untuk membina rumah, tinggal di kediaman tersebut atas ihsan anak saudaranya tanpa menaikkan kadar sewa sejak dahulu lagi.

“Sebahagian bumbung rumah ini bocor dan apabila hujan saya akan  susun baldi untuk tadah air hujan elak lantai rumah basah,” katanya.

Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan lebih 10 tahun lalu itu berkata, kudratnya untuk berjalan kian berkurangan ditambah pula masalah lutut dihidapinya memaksanya bergantung dengan  tongkat untuk bergerak.

Menurutnya, sesekali anaknya akan membawanya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk  pemeriksaan kesihatan.

“Saya bersyukur tidak menghidap apa-apa penyakit yang serius hanya sakit lutut sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmah menyifatkan bantuan diterimanya itu  sebagai rezeki tidak dijangka yang akan digunakan untuk membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kedai Kasut You Sdn Bhd, Gan Jackson berkata, syarikatnya memperuntukkan sebanyak RM22,000 bagi program berkenaan yang dilaksanakan di negeri ini dan Terengganu sempena Ramadan.

Menurutnya, ia adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat syarikat dan ia pertama kali  diadakan di negeri ini.

“Kita akan menjadikan ia (bantuan) sebagai acara tahunan juga bakal menyusul dengan program Back to School di negeri ini tidak lama lagi,” katanya.

Sinar Harian
19 Jul 2013

Monday, July 15, 2013

Marin rampas mercun, bunga api bernilai RM15,000

MUAR - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 26 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM15,000 dalam serbuan di sebuah rumah kosong di Jalan Sungai Balang di sini hari ini.
 
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Dua Muar ASP Nordin Osman berkata serbuan dilakukan pada pukul 8 pagi berdasarkan maklumat orang ramai mengenai pengedaran barangan larangan terbabit.
 
Beliau berkata PPM bertindak memecah masuk rumah itu apabila mendapati tiada sesiapa di dalam premis itu selepas menunggu beberapa jam.
 
"Hasil pemeriksaan kemudian menemui 26 kotak besar berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api tersimpan di bahagian tengah rumah," katanya kepada pemberita di sini.
 
Nordin berkata setakat ini belum ada sebarang tangkapan berhubung rampasan itu dan siasatan sedang diteruskan untuk mengesan penyewa dan pemilik premis yang bertanggungjawab.

Beliau berkata pihaknya percaya kesemua mercun dan bunga api yang dibawa masuk dari China itu adalah untuk diedarkan kepada peniaga yang menjual mercun dan bunga api di sekitar Parit Jawa, di sini dan Semerah di Batu Pahat.
 
Katanya polis percaya pihak yang terlibat baru sahaja memulakan kegiatan pengedaran mercun dan bunga api terbabit berdasarkan penemuan resit transaksi pembelian bernilai RM6,000 yang ditemui di rumah itu.
 
"Rampasan ini merupakan yang pertama sejak Ramadan bermula lima hari lepas dan taktik menyimpan di rumah kosong itu merupakan taktik terbaru," katanya.
 
Menurutnya, mereka yang terlibat dengan kegiatan seumpama itu sebelum ini menjadikan tapak semaian pokok sebagai tempat menyimpan barangan tersebut bagi mengaburi pihak berkuasa.  - Bernama

15 Jul 2013

Thursday, July 11, 2013

Bekalan isi durian mencukupi

Faridulatrash (tiga, kiri) turut mencuba penyediaan makanan berasaskan durian yang diketuai oleh Chef Razak (empat, kiri) ketika Kursus Makanan Berasaskan Produk Durian anjuran Fama Daerah Muar di Pusat Bimbingan Usahawan Tani, Pagoh dekat sini, kelmarin.

MUAR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mempunyai bekalan isi durian mencukupi bagi menampung permintaan yang tinggi terhadap buah itu selepas  mengalami proses evolusi pada pertengahan 2006.

Pengarah Fama negeri, Faridulatrash Md Mokri berkata, setakat ini agensi itu mempunyai 18 tan metrik isi durian yang disimpan di pusat penyimpanan sejuk beku di Tangkak, Johor dan Kuantan, Pahang.

“Sebagai contoh di Kuantan, kita mempunyai 10 tan metrik isi durian kerana negeri itu yang sememangnya terkenal dengan masakan ikan patin masak tempoyak telah menggunakan isi durian sebagai bahan utamanya.

“Kini isi durian telah dikomersialkan dalam pelbagai penyediaan makanan seperti kek lapis durian, crepe durian, kek kukus durian, cendol durian, aiskrim durian dan donut durian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Makanan Berasaskan Produk Durian anjuran Pejabat Fama Daerah Muar di Pusat Bimbingan Usahawan Tani, Pagoh dekat sini, kelmarin.

Beliau berkata, produk makanan berasaskan durian keluaran tempatan semakin mendapat tempat dan telah berjaya menembusi pasaran luar negara seperti China, Taiwan dan Bangladesh.

“Ini sekaligus dapat menyelesaikan masalah lambakan durian yang pernah berlaku dalam negara sekitar tahun 2005 hingga 2008 yang turut menyebabkan harga raja buah itu jatuh merudum.

“Kita menggalakkan masyarakat luar bandar khususnya supaya mengambil peluang ini untuk meningkatkan ekonomi kerana ramai di antara mereka mempunyai tanaman durian,” katanya.

Mengenai program, tersebut, Faridulatrash berkata, lebih 40 usahawan dari daerah ini, Ledang dan Johor Bahru menyertai kursus tersebut bagi mempelbagaikan produk berasaskan durian.

“Peserta terdiri daripada pengusaha kedai kek, suri rumah dan graduan lepasan universiti yang berhasrat menjadi usahawan muda.

“Mereka diajar bermula daripada pembuatan sehingga kaedah pembungkusan dengan kos yang sangat minima”, katanya.

Seorang peserta, Murni Asyikin Normaen, 21 berkata, penyertaannya dalam kursus ini adalah dimanfaatkan untuk menimba ilmu dalam pembuatan kek dan aiskrim durian yang makin digemari ramai.

Sinar Harian
11 Jul 2013

Laman sesawang HPSF digodam

Laman sesawang HPSF yang digodam oleh pihak tertentu.

MUAR - Laman sesawang Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, dipercayai digodam pihak tertentu menyebabkan ia tidak dapat diakses oleh orang ramai sejak beberapa hari lalu.

Laman sesawang http://hpsf.moh.gov.my tidak dapat dibuka selain memaparkan kenyataan ‘Controlled by Dr. Death’ selain mesej berbentuk isu pembunuhan di Myanmar.

Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Saifullah, 27, berkata beliau terkejut apabila mendapati laman sesawang itu hanya memaparkan skrin hitam dan tulisan tertentu selain tidak dapat berfungsi seperti biasa  kira-kira jam 11 pagi.

Katanya, pihak tidak bertanggungjawab tidak seharusnya menggodam laman sesawang penting seperti hospital kerana ia boleh menyusahkan pengguna lain yang mungkin mahu mendapatkan maklumat penting atau nombor telefon jika berlaku kecemasan.

“Saya berharap masalah ini dapat segera diperbaiki kerana ia jelas menyukarkan pelawat seperti saya yang mahu mendapatkan maklumat mengenai hospital berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HPSF, Dr Salehudden Abd Aziz berkata,  kejadian disedari pihaknya pada kira-kira jam 7.30 pagi dan dipercayai bermula selepas jam 5.30 petang kelmarin iaitu kali terakhir pihak hospital boleh mengakses laman sesawang itu.

“Kita sudah memaklumkan hal ini kepada pihak bertanggungjawab dan akan ditutup segera untuk menjalankan siasatan, ini kali pertama ia terjadi dan mungkin dilakukan bukan secara khusus untuk laman sesawang HPSF saja,” katanya, semalam.

Beliau berkata, masalah berkenaan akan cuba diselesaikan secepat mungkin dalam tempoh 24 jam dan sebagai langkah berjaga-jaga, pihak hospital akan menaik taraf perisian lebih baik bagi mengelakkan ia kembali digodam.

"Pihak hospital juga sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan lanjut.

Sinar Harian
11 Jul 2013

Wednesday, July 10, 2013

Gadis lalok geng pecah rumah

Azman menunjukkan barang rampasan selepas menahan lima suspek di sebuah rumah di Jalan Salleh di sini, kelmarin. Gambar kecil: Antara peralatan yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah.

MUAR  - Seorang remaja perempuan antara lima ahli kumpulan pecah rumah yang ditahan melibatkan rampasan bernilai kira-kira RM70,600 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Salleh, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, remaja berusia 16 tahun yang sudah tidak bersekolah itu bersama rakannya berumur lingkungan 30an ditahan sekitar jam 6 pagi dalam keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah.

“Serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah dan telah menemui sebuah kereta Proton Waja yang dicuri di Kandang, Melaka awal tahun lalu.

“Selain itu, tiga paket kecil dipercayai dadah jenis syabu, 10 biji pil Eramin 5, satu komputer riba dan enam telefon bimbit juga dijumpai.

“Polis turut menemui peralatan pecah rumah seperti empat bilah parang, sebilah kapak, dua topeng muka dan satu besi pengumpil termasuk barang-barang seperti satu lesen memandu dan tiga kad kredit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, di sini, semalam.

Azman berkata, selain remaja perempuan itu, kumpulan berkenaan terdiri daripada suspek utama berusia 30an merupakan seorang peniaga buah-buahan, manakala tiga yang lain berumur 20an.

Katanya, dua daripada lima suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kedua-duanya disabitkan kesalahan pada 2009.

“Melalui saringan ujian air kencing, semua suspek positif dadah jenis syabu dan direman bermula semalam sehingga Isnin ini.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengesan kemungkinan ada saki baki ahli kumpulan yang masih bebas juga kes-kes lain yang dilakukan suspek,” katanya.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya kesemua suspek itu, pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes jenayah berkaitan ragut, samun dan curi kereta yang berlaku di Muar dan Melaka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379, Seksyen 379A, Seksyen 397 dan Seksyen 392 kanun keseksaan serta Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sinar Harian
10 Jul 2013

Friday, July 5, 2013

Harga ayam tidak seragam

Ismail yang menjual ayam di kedainya di Pasar Awam Maharani.

Rosnah terpaksa menjual ayam RM8.70 selepas pembekal menaikkan harga sejak tiga hari lalu.

MUAR - Harga ayam tidak seragam yang dijual di beberapa kedai dan pasar di daerah ini mencetuskan kekeliruan serta rungutan dalam kalangan pembeli.

Tinjauan ke Pasar Awam Maharani mendapati, ayam proses bersih dijual pada harga RM8.20 sekilogram, manakala peniaga di kawasan kampung pula menjual dengan harga yang lebih mahal iaitu RM8.70 sekilogram

Suri rumah, Fatimah Abdullah, 51, terkejut apabila mengetahui berlaku  perbezaan harga ayam yang ketara dijual peniaga mengikut lokasi.

“Saya selalu beli ayam di pasar di bandar dan tahu perkara ini (perbezaan harga ayam) daripada rakan yang membelinya di tempat lain.

“Perbezaan harga kali ini agak ketara berbanding sebelumnya yang hanya beza 10 sen atau 20 sen sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu memantau perkara itu supaya peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga selain membuat penetapan supaya ayam dijual pada harga yang seragam.

Peniaga, Ismail Aziz mengakui menaikkan harga ayam daripada RM7.80 sekilogram kepada RM8.20 sekilogram empat hari lalu, apabila menerima bekalan ayam daripada pembekal pada harga yang agak tinggi.

Jelasnya, dia tidak dapat memastikan berapa lama harga baru itu akan dapat  bertahan memandangkan harga ayam ketika ini agak tidak konsisten.

“Lazimnya, setiap kali Ramadan harga ayam akan turun tetapi ia tidak dapat dijangkakan pada tahun ini yang bakal disambut minggu depan.

“Pembeli tidak perlu risau, kerana pada Aidilfitri nanti, ayam akan menjadi barangan kawalan dan harganya akan turun kepada RM7.50 sekilogram,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Rosnah Hassan, bimbang jika harga ayam akan terus meningkat sehingga menjelang Aidilfitri, selepas kenaikan yang berlaku pada musim cuti persekolahan Jun, lalu.

Menurutnya, dia menjual ayam proses bersih pada harga RM8.70 sekilogram sejak tiga hari lalu, dengan tiga kali kenaikan bermula cuti sekolah lalu, apabila terpaksa membayar ayam RM6 sekilogram daripada pembekal berbanding RM5.70 sebelum ini.

“Kenaikan harga tanpa kawalan ini boleh menjejaskan peniaga daging ayam siap diproses di kawasan kampung,” katanya.
Rosnah berkata, kenaikan harga ayam kali ini antara yang paling tinggi dihadapinya sejak terlibat dalam perniagaan tersebut 25 tahun lalu.

Selain itu, katanya ayam kampung juga turut mengalami kenaikan harga menjadi RM13 sekilogram berbanding RM12.50 sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Cawangan Muar, Mohd Basha Abidin Ali berkata, pihaknya akan menyiasat lebih lanjut perkara tersebut.

Sinar Harian
5 Jul 2013

Sorok susu dalam seluar

Wee Siang menunjukkan hasil rakaman CCTV wanita berjubah yang beberapa kali keluar masuk ke kedainya dalam keadaan mencurigakan.

MUAR - Sindiket mencuri susu kanak-kanak berjenama secara berkumpulan kembali aktif di sekitar Muar apabila menjadikan sebuah pasar raya dekat sini, sebagai sasaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam minggu lalu, tujuh lelaki dan lima wanita dikesan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mencuri di pasar raya terbabit.

Difahamkan, kumpulan itu dipercayai menggunakan tiga kenderaan mewah dan menyembunyikan susu seberat 1.8 kilogram setiap tin di dalam seluar tiga wanita yang memakai jubah.

Pengurus pasar raya itu, Aw Wee Siang berkata, dia menerima maklumat daripada sebuah pasar raya lain yang terlebih dahulu turut berlaku kecurian susu.

Menurutnya, dia kemudian segera mengarahkan pekerja memeriksa rakaman CCTV dan mendapati beberapa lelaki dan wanita memasuki premis dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka berpura-pura seperti beli barang dan menggunakan bungkusan biskut untuk melindungi susu dalam troli sebelum ia dibawa ke sudut yang agak tersembunyi untuk dimasukkan ke dalam seluar tiga wanita secara bergilir-gilir sambil dibantu dua lelaki,” katanya.

Wee Siang mendakwa, tiga ahli lain pula berada dalam kereta dan selebihnya bertindak sebagai pemerhati di dalam serta luar pasar raya berkenaan.

Katanya, tiga wanita berusia dalam lingkungan 40an itu dilihat keluar masuk dalam pasar raya melalui pintu belakang melebihi 10 kali dengan lenggok jalan yang kelihatan agak pelik.

“Apabila sedar sedang diperhatikan, mereka meninggalkan pasar raya ini dengan menaiki kenderaan yang sudah bersedia di luar pasar raya.

“Kejadian berlaku sangat pantas dalam tempoh 40 minit ketika pasar raya sesak dengan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya kumpuan terbabit mempunyai peralatan lengkap untuk membuka besi magnet yang berfungsi sebagai keselamatan yang terdapat pada tin susu itu bagi mengelakkan susu yang diseludup keluar dikesan pihak pasar raya.

“Kali terakhir kejadian seumpama ini berlaku ialah dua tahun lalu dan tidak menyangka ia berulang lagi serta percaya ia dilakukan kumpulan yang sama,” katanya.

Katanya, jumlah kerugian dialami sebanyak RM5,000 apabila 40 tin susu telah dicuri.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob mengesahkan menerima laporan kejadian dan memberitahu usaha menjejaki suspek sedang giat dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 kanun keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Sinar Harian
5 Jul 2013


Geng susu kangkang aktif lagi

AW Wee Siang menunjukkan jenama susu tepung yang dicuri kumpulan penjenayah di sebuah pasar raya di Muar, Johor, semalam.

MUAR 4 Julai - Kumpulan penjenayah yang mencuri susu kanak-kanak berjenama kembali aktif menyebabkan sebuah pasar raya di daerah ini mengalami kerugian sebanyak RM5,000 selepas 40 tin susu dilarikan minggu lalu.

Modus operandi kumpulan berkenaan adalah menggunakan tiga kenderaan mewah jenis Toyota Alphard dan menyembunyikan susu seberat 1.8 kilogram setiap tin dalam seluar tiga wanita yang memakai jubah.

Pengurus pasar raya itu, Aw Wee Siang berkata, kejadian kira-kira pukul 7.20 malam Sabtu lalu itu disedarinya selepas pengiraan stok dan pada masa sama menerima maklumat dari sebuah pasar raya lain yang terlebih dahulu mengalami kes serupa.

Beliau segera mengarahkan kakitangan memeriksa rakaman kamera tertutup (CCTV) dan melihat seramai 12 orang yang terdiri daripada tujuh lelaki dan lima perempuan memasuki pasar raya berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

"Kumpulan ini sangat licik dan kita dapat melihat setiap tindakan mereka melalui rakaman CCTV. Mereka mempunyai taktik sendiri dan berlagak seolah-olah pelangggan dengan pakaian yang tidak mendatangkan curiga kepada sesiapa.

"Mereka berpura-pura seperti membeli barang dan menggunakan bungkusan biskut untuk melindungi susu dalam troli, lalu dibawa ke sudut yang tersembunyi sebelum dimasukkan ke dalam seluar tiga wanita secara bergilir-gilir dibantu dua lelaki," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Wee Siang berkata, tiga anggota lain sindiket itu berada dalam kereta dan selebihnya bertindak sebagai pemerhati dalam serta di luar pasar raya berkenaan.

Katanya, tiga wanita terbabit berusia lingkungan 40-an yang dilihat keluar masuk pasar raya melalui pintu belakang melebihi 10 kali dengan lenggok jalan yang kelihatan agak pelik dan apabila menyedari perbuatan mereka sedang diperhatikan, mereka segera meninggalkan premis tersebut.

"Kejadian berlaku sangat pantas dalam tempoh 40 minit ketika pasar raya sesak dengan orang ramai menyukarkan usaha untuk memberkas suspek.

"Kami percaya kumpulan ini mempunyai peralatan lengkap untuk membuka besi magnet yang berfungsi mengganggu sistem keselamatan bagi mengelak alat pengesan berbunyi," katanya.

Menurutnya, kali terakhir kejadian seumpama ini berlaku adalah dua tahun lalu dan tidak menyangka jenayah ini berulang malah dipercayai kes ini melibatkan kumpulan yang sama.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian ini dan usaha menjejaki suspek sedang giat dilakukan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Utusan
5 Jul 2013

Tuesday, July 2, 2013

Ambulans terlibat kemalangan selepas hantar pulang pesakit

SEBUAH ambulans Hospital Tangkak terlibat kemalangan dengan tiga kereta di Jalan Salleh, Muar, semalam.

MUAR 1 Julai - Sebuah ambulans dari Hospital Tangkak yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar pesakit ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini terbabit dalam kemalangan di Jalan Salleh awal pagi ini.

Bagaimanapun, pemandu dan dua jururawat di dalam ambulans itu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu turut melibatkan tiga buah kereta lain yang dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Proton Saga dari arah Muar cuba memotong ambulans berkenaan.

Malangnya, kereta terbabit bertembung dengan sebuah lagi kereta Proton Saga yang datang dari arah Bukit Pasir sehingga mengakibatkan kereta itu berpusing lalu melanggar bahagian belakang kanan ambulans.

Akibat rempuhan itu, kereta terbabit terbabas ke kanan jalan dan dilanggar sebuah lagi kereta lain yang juga dari arah Bukit Pasir menghala ke Muar.

Penumpang kereta Proton Saga cedera parah dan dihantar ke HPSF di sini untuk rawatan, manakala yang lain hanya cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian dan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kejadian ambulans terbalik itu merupakan kali ketiga dalam masa sebulan dengan yang pertama berlaku apabila sebuah ambulans dari Hospital Pakar Putra Batu Pahat terlibat kemalangan di jalan pintas pukul 9.45 pagi, 8 Jun lalu.

Kejadian kedua pula berlaku apabila sebuah ambulans dari Klinik Kesihatan Grisek yang membawa mangsa kemalangan terlibat nahas jalan raya di Parit Turun, Bukit Gambir, Ledang, kira-kira pukul 7.30 malam, 15 Jun lalu.

Kedua-dua kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Utusan
2 Jul 2013