MUAR – Misteri bau busuk yang menghantui penduduk di Kampung Baru Lenga dekat sini, sejak beberapa hari lalu terungkai susulan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan berulat dan hampir reput, kelmarin.
Mayat Gan Hock Ang, 34, ditemui dalam keadaan terbaring yang lengkap berpakaian serta berselimut di atas katil disalah sebuah bilik rumah berkenaan, kira-kira jam 9 malam.
Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Gan, 40an, berkata, adiknya tinggal bersendirian di rumah itu setelah berpindah dari Kuala Lumpur selepas perayaan Tahun Baru Cina yang lalu.
Menurutnya, adiknya masih belum mendirikan rumah tangga itu menghidap penyakit kencing manis dan hepatitis sejak beberapa tahun lalu.
“Disebabkan penyakit itu juga, adik pernah pengsan sehingga terpaksa dimasukkan ke dalam wad sebuah hospital di Kuala Lumpur selama enam bulan.
“Saya hantar adik pulang ke kampung kerana dia sangat beriya-iya mahu tinggal di sini dan tidak sangka meninggal dunia ketika bersendirian di rumah,” katanya.
Gan berkata, kali terakhir menghubungi Hock Ang kira-kira dua minggu lalu dan kedengaran nada suaranya ceria seperti biasa.
"Jiran memberitahu tidak melihat kelibat adik sejak beberapa hari lalu dan mereka menyangka Hock Ang berada di Kuala Lumpur.
“Bagaimanapun, jiran telah menghubungi pihak polis apabila terhidu bau busuk yang kuat dari arah rumah ini dan mendapati adik sudah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner, Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.
"Siasatan awal mendapati mangsa mungkin mati sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau dan mereput.
“Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah disyaki.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat,” katanya.
Sinar Harian
26 Jul 2013
0 comments:
Post a Comment